Jumaat, 3 Jun 2011

Syurga Itu Nyata (Mimpi Seorang Anak)

Diceritakan oleh Samuel (umur 9 tahun);

Pada hari Ahad yang lepas (29 Mei 2011), saya tertidur di gereja. Semasa itu saya mendapat mimpi yang indah sekali.

Saya bermimpi melihat beberapa makhluk jahat yang mahu makan daging saya dan mencabut kepala saya. Saya takut. Saya melangkah ke belakang. Tiba-tiba Yesus yang diiringi beberapa malaikat (dua di kanannya dan dua di kirinya) muncul dari belakang saya dan makhluk-makhluk jahat itupun  terus menghilang.

Kemudian Yesus membawa saya ke syurga. Syurga itu tempat yang sungguh cantik. Saya berasa sungguh gembira dan bebas sekali. Pertamanya saya melihat banyak pohon-pohon yang berbuah. Saya melihat sungai yang begitu bersih dan murni. Saya dapat melihat dengan jelas ikan-ikan yang berenang di dalam air. Rumput di sana juga sangat hijau.

Kita boleh rasakan angin sepoi-sepoi sambil memakan buah-buah di situ. Emak dan abang saya sedang memakan blueberry. Saya melihat kawan saya, Jerry sedang memakan strawberry. Bapa saya mahu makan pisang tetapi dia tidak dapat mencapainya. Seekor monyet yang masih bayi memetiknya untuk bapa saya. Kami semua sungguh gembira dan jus buah itu yang bersepah ke merata muka kami, dapat kami sedut semuanya ke dalam mulut dengan satu sedutan yang panjang.

Adik perempuan dan lelaki saya sedang berlumba-lumba, dengan seorang menunggang singa dan seorang lagi harimau. Singa dan harimau itu tidak ganas dan tidak mencederakan manusia. Apabila saya memandang ke atas dan melihat betul-betul, saya dapat melihat beberapa malaikat berterbangan tinggi di atas.

Saya melihat datuk saya yang sudah meninggal dunia satu setengah tahun yang lalu. Dia kelihatan segak dan muda. Mula-mula saya tidak menyedari itu dia, tetapi dia datang memanggil saya, "Samuel, kau nampak sangat muda dan kacak." Dia pula berupa seperti pemuda dua puluh tahun. 

Samuel menuliskan apa yang dimimpinya

Perasaan saya sangat gembira di syurga. Tiba-tiba saya terbangun dari mimpi saya. Syurga itu begitu nyata sekali. Saya benar-benar sangka saya sudah pergi ke syurga. Sewaktu saya terbangun, saya terasa sedih sebentar, kenapa saya kembali lagi ke bumi ini. Syurga itu sungguh-sungguh nyata, ada beberapa titisan air mata di muka saya.