Ahad, 14 Disember 2014

Paderi Katolik Johor Ditahan Miliki Buku Mengandungi Perkataan Allah

Father Cyril Mannayagam (kanan) dalam satu upacara Easter
bersama penganut Katolik dari masyarakat Orang Asli.

Seorang paderi Katolik di Muar, Johor ditahan bersama 30 naskhah buku miliknya yang mengandungi perkataan Allah yang dikatakan adalah bagi kegunaan Orang Asli di bawah seliaannya.

Father Cyril Mannayagam, 44, berkata, walaupun polis tidak meneruskan kes terhadapnya, buku "Kepujian Kepada Tuhan Allah" itu dirampas dan masih belum dikembalikan kepadanya.

"Saya memberitahu mereka ia untuk kegunaan gereja di kawasan saya, dan saya mahu gunakannya untuk pengikut Orang Asli di Bekok, Tangkak," kata paderi Gereja St. Andrew di Muar itu kepada The Malaysian Insider.

Katanya, polis masih menunggu arahan selanjutnya daripada pihak berkuasa sebelum memutuskan tindakan lanjut terhadap buku berkenaan.

Cyril (gambar sebelah), yang sudah lima tahun menjadi paderi, berkata buku itu dihantar untuk dibuat salinan kira-kira jam 1 petang di Tangkak pada 5 Disember lalu sebelum kembali empat jam kemudiannya untuk mengambilnya.

"Bila saya sampai semula di kedai, penjaga kaunter berkata ada dua anggota polis sedang menunggu saya di luar kedai. Jadi saya pergi bertemu mereka.

"Mereka bertanya sama ada buku itu milik saya dan saya jawab ya. Kemudian mereka tanya saya sudah membuat pembayaran atau belum," katanya.

Selepas pembayaran dibuat, dua lelaki itu mendekatinya yang ketika itu bersama pengikutnya dan mengenalkan diri sebagai anggota polis serta mengarahkannya untuk mengikut mereka ke balai.

"Apabila ditanya, mereka berkata perkataan 'Allah' hanya untuk orang Islam dan bukan Islam dilarang menggunakannya," katanya.

Selepas di bawa ke Balai Polis Tangkak berhadapan kedai berkenaan, Cyril menghubungi peguamnya.

"Peguam saya memberitahu pegawai di balai, saya adalah seorang paderi dan memberi amaran isu ini akan menjadi besar jika mereka meneruskannya. Selepas berunding, kami dibebaskan.

"Namun mereka merampas 30 buku itu walaupun saya menjelaskan ia hanya untuk penganut Orang Asli," katanya.

Cyril, yang bekerja bersama penduduk Orang Asli sejak empat tahun lalu berkata, buku itu untuk digunakan sekitar 100 penganut Kristian daripada Orang Asli beragama Katolik.

"Kami sering mengadakan perjumpaan di Rumah Besar di sebuah kampung di Bekok," katanya.

Beliau turut melahirkan kekecewaan dengan rampasan itu dan berkata kebebasan agama yang dijamin Perlembagaan tidak diikuti.

"Mereka langsung tidak tahu kandungan dan kegunaan buku itu," katanya.

"Jika buku itu tidak diserahkan kembali, saya akan bawa mereka ke mahkamah," kata Cyril.

Insiden itu timbul sebulan selepas pihak berkuasa agama Selangor mengembalikan Bible berbahasa Melayu dan Iban kepada Kristian Sarawak, melalui Association of Churches of Sarawak (ACS) dalam sebuah majlis di Selangor pada 14 November lalu.

Kitab itu dirampas Jabatan Agama Islam Selangor (Mais) daripada kedai buku Persatuan Bible Malaysia (BSM) pada 2 Januari.

Meskipun isu itu dianggap selesai, tindakan pihak berkuasa agama Selangor mengecap amaran di dalam Bible itu menimbulkan kemarahan pemimpin Kristian.

Perkataan "Allah" juga dilarang digunakan oleh bukan Islam di Johor di bawah Seksyen 48(6) Enakmen Pentadbiran Agama Islam  (Negeri Johor) 2003.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk, "Paderi Katolik Johor Ditahan Miliki Buku Mengandungi Perkataan Allah" penulisan Elizabeth Zachariah bertarikh 14 Disember 2014)