Jumaat, 9 Januari 2015

Nama Ibrani untuk Mesias: Yeshua atau Yahshua?

Dr Daniel Botkin menerangkan linguistik Ibrani mengenai nama-nama "Yeshua" dan "Yahshua" dan bagaimana "Yahshua" ialah terjemahan yang salah oleh pendukung-pendukung Sacred Name mengikut tafsiran yang salah.

Oleh Dr. Daniel Botkin:

Nama Ibrani untuk Mesias biasanya diterjemahkan sebagai samada Yeshua atau Yahshua. Dalam keadaan yang biasa saya tidak akan bersusah payah menulis sebuah artikel mengenai sesuatu hal yang kecil seperti bezanya antara bunyi vokal "e" dan "ah." Bagaimanapun ada keperluan untuk menjawab persoalan ini kerana setengah-setengah orang yang menggunakan kata Yahshua mengatakan hal-hal yang tidak benar mengenai orang-orang yang menggunakan kata Yeshua

Orang-orang yang menentang penggunaan kata Yeshua mendakwa bahawa sebutan ini adalah hasil konspirasi Yahudi untuk menyembunyikan nama Juruselamat yang sebenar. Mereka yang memanggil Mesias dengan kata Yeshua dituduh meneruskan konspirasi Yahudi itu dan "menyangkal nama-Nya" dan "merendahkan-Nya" dengan penggunaan kata Yeshua. Jika anda tidak pernah membaca atau mendengar mengenai tuduhan-tuduhan yang tidak munasabah ini, lambat-laun anda akan mendengarkannya juga. Dari masa ke masa, saya menerima surat peribadi mengenai perkara ini.


Yeshua - nama Yesus dalam bahasa asal Ibrani

Penyokong-penyokong nama Yahshua mendakwa bahawa nama Mesias adalah sama dengan nama Yoshua, ditulis uvwhy atau uwvwhy (Strong's #3091). Masalahnya ialah kedua-dua ejaan untuk nama Yoshua ini tidak mungkin disebut "Yahshua." Huruf ketiga dalam nama Yoshua (dibaca dari kanan ke kiri) adalah huruf vav (w) dan huruf vav tidak dapat tiada bunyinya. Huruf vav mestilah disebut sebagai "v' atau "o" atau "u." (Dalam kes Yosua, ia mengambil bunyi "o", memberi kita "Ye-ho-SHU-a." Strong's mengesahkan sebutan ini).

Untuk sesuatu nama disebut "Yahshua," ianya perlu dieja: uWv-hy, dan tiada nama yang seperti itu wujud dalam Bible bahasa Ibrani, Anda tidak perlu hanya percaya saya. Dr. Benny Ben-Gigi mengatakan mengenai kata Yahshua bahawa "tidak ada nama seperti itu dalam bahasa Ibrani" dan "ada orang-orang yang telah menciptakannya untuk mengikuti teologi mereka." Dr. Ben-Gigi ialah orang Israel, dan bekas ketua jabatan program Ibrani di Arizona State University. Dia adalah pengarang buku First Steps in Hebrew Prayers, dan dia telah merangka dan menghasilkan kursus pembelajaran bahasa "Living Israeli Hebrew." Dr. David Bivin, seorang Kristian, berkata bahawa kata Yahshua itu "berasaskan pada kesalahfahaman." Dr. Bivin ialah sarjana Ibrani yang terkemuka dan juga guru dan pengarang Fluent Biblical Hebrew.

Saya tidak mengenal seorang pun individu yang cukup mengenali bahasa Ibrani sehingga boleh benar-benar membaca dan memahaminya dan boleh berbual-bual dalamnya yang menggunakan kata Yahshua.

Diharap jangan salah faham. Seseorang tidak perlu faham linguistik Ibrani atau Yunani untuk menjadi seorang yang rohani. Tetapi jika seseorang ingin mengambil tanggungjawab mengajar orang lain mengenai subjek berkenaan linguistik dan Ibrani, dia harus tahu bahasa Ibrani, dan dia harus memiliki sedikit asas mengenai linguistik. Ini terutamanya perlu jika dia ingin menggunakan pengajaran linguistiknya yang berdasarkan Ibrani untuk menuduh saudara-saudara seiman sebagai terlibat dalam "konspirasi Yahudi" untuk "menyangkal nama sebenar Mesias."

Kepada orang-orang yang benar-benar memahami bahasa Ibrani - orang-orang seperti Dr. Ben-Gigi, Dr. Bivin dan lain-lain - adalah sangat jelas bahawa orang-orang yang bertegas untuk menggunakan kata Yahshua mempunyai pengetahuan yang sangat sedikit tentang bahasa Ibrani. Kebanyakan orang-orang ini yang menampilkan diri mereka seperti sarjana-sarjana hanya tahu Ibrani yang terkandung dalam Konkordansi Strong's. Strong's ialah alat bantu belajar yang bagus dan tempat permulaan yang baik, tetapi ianya bukan saluran di mana seseorang dapat mempelajari bahasa Ibrani.

Jadi, dari mana datangnya terjemahan Yahshua itu? Terjemahan nama itu dapat dikesan dari asal-usul gerakan Sacred Name, gerakan yang bertumbuh dari Church of God, 7th Day, pada penghujung 1930an. Saya ada menyimpan dalam fail saya, sebuah artikel bertajuk, "A Brief History of the Name Movement in America" oleh L.D. Snow, seorang pendukung Sacred Name. Menurut artikel ini, "John Briggs and Paul Penn adalah yang pertama untuk menyebut dan menggunakan nama Yahshua." Ini adalah pada 1936 dan 1937, kata artikel itu. Tidak ada maklumat diberikan bagaimana Briggs dan Penn mendapatkan terjemahan (yang salah) itu.

Mengapakah kata Yahshua ini tidak digunakan oleh orang lain selain daripada pengikut-pengikut Sacred Name dan orang-orang yang telah dipengaruhi oleh mereka? Kemungkinannya kerana nama seperti itu tidak wujud dalam Bible bahasa Ibrani, dan sejauh pengetahuan saya, juga tidak terdapat dalam kesusasteraan Ibrani yang lain. Nampaknya Dr. Ben-Gigi mengatakan dengan betul bahawa orang-orang telah menciptakan nama Yahshua untuk mengikut teologi mereka.

Untuk artikel sepenuhnya, sila klik di sini.

(Dipetik dan diterjemah daripada artikel Petahtikvah bertajuk, "The Messiah's Hebrew Name: Yeshua or Yahshua?")