Rabu, 4 Mac 2015

Guru Sabah Dalam Kontroversi Penukaran Agama Telah Dipindah Ke Sekolah Agama Islam

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Jame Alip (tengah) memberitahu wartawan bahawa
guru dalam kontroversi penukaran agama telah dipindahkan ke sebuah sekolah agama Islam 

KOTA KINABALU, 3 Mac - Guru Muslim yang telah menimbulkan kemarahan kerana didakwa cuba menukar agama seorang pelajar Kristian baru-baru ini telah dipindahkan ke sebuah sekolah agama Islam di Inanam, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Datuk Jame Alip hari ini.

Perpindahan guru itu ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Ahmadshah telah disahkan bulan ini dan dilihat sebagai keputusan terbaik untuk semua pihak yang terlibat, memandangkan kemarahan umum dan gangguan melalui media sosial, tambahnya.

"Guru itu gembira dengan pertukaran baru ke sekolah agama Islam, dan ibu bapa juga berpuas hati. Inilah keputusan terbaik untuk semua orang dan memberi peluang untuk meredakan keadaan," pendidik senior itu memberitahu wartawan di Wisma Pendidikan hari ini.

Rakyat Sabah yang marah telah berkempen menentang guru itu, yang dulunya mengajar di SMK Kinarut di mana seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun didakwa telah bertukar agama ke Islam tanpa pengetahuan ibu bapanya.

Mesej-mesej yang menjadi viral telah memuatkan nama dan sekolah guru itu, menggesa agar tindakan diambil dan agar ibu bapa yang lain berjaga-jaga terhadap sebarang aktiviti penukaran agama yang tidak dibenarkan oleh undang-undang.

Jame berkata guru itu, seorang ustazah, telah menerima SMS melalui telefon yang mengganggunya dan menyalahkannya untuk kejadian itu dan bahawa memindahkannya ke sebuah sekolah agama Islam adalah jalan terbaik baginya.

"Kedua-dua guru itu dan suaminya, yang masing-masing merupakan pribumi Sabah dari Tuaran dan Kota Belud, telah dipindahkan ke sekolah baru itu," katanya.

Kontroversi itu terdedah awal bulan ini apabila penoreh getah berusia 46 tahun, Jilius Yapoo membuat laporan polis yang mendakwa bahawa anak perempuannya telah ditukar agama ke Islam semasa di asrama sekolah SMK Kinarut.

Pelajar itu, yang asalnya seorang Kristian dari gereja Sidang Injil Borneo, dilaporkan telah mengucap kalimah syahadah untuk mengisytiharkan penerimaannya terhadap Islam dan memakai tudung tanpa pengetahuan ibubapanya.

Kejadian itu didakwa telah disaksikan oleh bekas warden asrama sekolah tersebut, namun begitu Jame hari ini menolak khabar angin itu.

Guru itu telah dipindahkan ke SMK Tamparuli pada penghujung tahun lepas sebelum kejadian itu dilaporkan.

Mengikut siasatan jabatan, gadis 16 tahun itu telah membuat keputusan memeluk Islam atas keinginannya sendiri dan dan dengan itu jabatan telah menyatakan guru itu tidak bersalah. 

Bapa kepada anak itu, Jilius, masih dalam proses untuk memindahkan empat orang anaknya, termasuk anak berusia 16 tahun di tengah kontroversi itu, ke sebuah sekolah lain dengan asrama yang ditadbirkan oleh rahib-rahib Katolik.

"Ke mana-mana saja sekolah yang mereka ingin pergi, kita akan berikan kerjasama dan sokongan, selagi mereka rasa selesa," kata Jame. 

Adalah dimaklumkan oleh saudara-mara keluarga itu, keempat-empat pelajar itu, dari Tingkatan Satu ke Tingkatan Empat akan berpindah ke SMK Kiulu dengan bantuan seorang penaja yang tidak ingin dinamakan. 

"Mereka telah secara rasmi meninggalkan SMK Kinarut dan akan bermula di sekolah baru minggu depan," kata saudara keluarga itu dan pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Michael Frederick.

Menurut undang-undang, agama seorang anak yang di bawah umur adalah ditentukan oleh ibu bapanya. Di bawah undang-undang agama, mengucapkan kalimah syahadah mencukupi untuk menjadikan seseorang Muslim, tetapi tidak di bawah perlembagaan, yang menyatakan bahawa anak di bawah umur memerlukan persetujuan dari ibubapanya.

(Diterjemahkan daripada artikel The Malay Mail Online bertajuk, "Sabah Teacher In Alleged Conversion Row Now In Islamic Religious School" penulisan Julia Chan bertarikh 3 Mac 2015)