Rabu, 28 Oktober 2015

City Harvest Mengalami Penurunan Keahlian 25% Sejak 2009

Kebaktian di City Harvest Church, Singapura

Ramai bekas ahli percaya bahawa pengurangan itu mula terjadi apabila siasatan jenayah dilancarkan pada 2010.

Enam orang pemimpin City Harvest Church (CHC) mungkin telah melanggar undang-undang tetapi mereka mempunyai niat yang baik, menurut ahli-ahli yang masih setia di gereja sambil kumpulan itu menanti penghukuman diputuskan. 

"Kami telah melihat permulaan Projek Crossover dan melihat orang-orang diberkati, jiwa-jiwa mengalami perubahan dan transformasi secara langsung dari projek itu," kata penerbit muzik Eric Wong, 37 tahun, yang telah bersama CHC selama 17 tahun.

Namun begitu, mereka yang telah meninggalkan CHC berkata mereka hilang kepercayaan kepada kepimpinan dan bahawa soalan-soalan mengenai salah urus kewangan tidak dijawab.

Pada Rabu lepas, mahkamah mendapati bahawa enam tertuduh itu - termasuk pastor yang juga pengasas - telah menyalahgunakan berjuta-juta wang gereja untuk Projek Crossover, suatu misi gereja untuk menginjil melalui karier muzik penyanyi pop Ho Yeow Sun, isteri Kong.

Keputusan hakim itu telah mengakhiri siasatan jenayah yang telah bermula sejak 2010 - yang ramai bekas ahli berpendapat adalah permulaan kemunduran salah satu mega-church terbesar Singapura.

Pada 2009, CHC mempunyai keahlian 23,565 orang, menurut angka daripada laporan tahunannya.

Angka itu semakin menurun sejak waktu itu, jatuh ke 17,522 tahun lepas, pengurangan sebanyak 25% sejak 2009. 

Kakitangan kerajaan Melvin Lee yang telah meninggalkan CHC pada 2013, mengatakan tentang percanggahan di antara bukti yang dikemukakan di mahkamah dan apa yang diberitahu kepada ahli-ahli di gereja. Kong "telah memberitahu kami bahawa tiada dana gereja yang digunakan dalam projek itu, tetapi nampaknya dana gereja memang telah digunakan," katanya yang berumur 27 tahun, dan yang telah menyertai gereja itu pada 2003. "Itulah waktunya saya ambil keputusan untuk pergi."

Usahawan wanita P.L. Toh, 51 tahun, berkata siasatan Suruhanjaya Badan Kebajikan (COC) - yang telah dijalankan serentak dengan siasatan jenayah - juga telah mendedahkan salah laku. Sebagai contoh, ianya mendapati sekurang-kurangnya S$2.1 juta dana CHC telah digunakan untuk mendanai Projek Crossover dengan berselindung sebagai derma untuk gereja bersekutunya di Kuala Lumpur. 

"Itulah waktunya kami rasa kami telah diperdaya... dan pada saat itu mata saya mula tercelik," kata Toh.

Bekas usahawan terbaik Nanz Chong-Komo, 46 tahun berkata, "Kenyataan sudah terserlah - orang-orang yang tetap tinggal percaya; mereka yang tidak lagi bersama telah berhenti percaya kepada kepimpinan."



Tetapi nampaknya ramai daripada mereka yang memilih untuk terus tinggal masih memiliki kepercayaan yang kuat.

"Kami tahu apa yang gereja lakukan pada waktu itu, dan mengenai karakter dan integriti pemimpin-pemimpin kami, kami secara peribadi tidak pernah mempunyai keraguan," kata pegawai eksekutif bank Lester Chee, 26 tahun.

Ahli-ahli yang lain berkata mereka telah membina hubungan dan ada juga yang telah menemukan teman hidup hidup mereka di gereja itu - dan jika mereka meninggalkan gereja itu, ianya seperti meninggalkan keluarga mereka.

"Tidak ada tempat lain untuk saya pergi; saya telah menemukan keluarga saya di sana. Itu adalah impak terbesar dalam hidup saya - ianya adalah hubungan-hubungan yang terjalin di gereja," kata Encik Roger Ng, 26 tahun, yang telah mengikuti CHC selama 10 tahun.

Sejak 2012, CHC telah mempunyai pengurusan dan majlis baru yang menjalankan urusan gereja, dipimpin oleh Ho, yang telah ditahbiskan menjadi pastor pada bulan Ogos. Dia memimpin visi gereja yang baru, dipanggil CHC 2.0, yang telah dirangka oleh Kong.

Seorang penyokong lama gereja, usahawan Elim Chew, 48 tahun, berkata: "Kami telah berada di tahap terbawah dan hanya satu arah sahaja ke depan. Kami percaya kepada kepimpinan dan majlis kami untuk menguruskan gereja seperti yang telah mereka lakukan untuk tiga tahun yang lepas."

(Diterjemah oleh SDP daripada artikel The Straits Times bertajuk, "City Harvest Church Sees 25% Drop In Members Since 2009" penulisan Danson Cheong bertarikh 24 Oktober 2015)