Gambar fail band Boys' Brigade semasa perarakan tahun lepas. |
KUCHING: Lebih kurang 10,000 peserta dari Gereja Methodis, Roman Katolik, Anglikan, Baptis, Sidang Injil Borneo, Seventh Day Adventist, Salvation Army, dan Gereja-gereja dari Persekutuan Pastor-Pastor Kuching akan mengambil bahagian dalam Perarakan Krismas tahunan hari ini (5 Disember).
Tujuan perarakan itu adalah untuk menyebarkan mesej damai dan menyambut makna sebenar Krismas dengan penduduk-penduduk Kuching.
Tema perarakan tahun ini adalah "Yesus Pengharapan Kita."
Anggota-anggota gereja akan menyanyikan lagu-lagu karol Kristian seperti 'Silent Night', 'Joy to the World', 'Hark! The Herald Angels Sing', 'O Come, All Ye Faithful', dan 'We Wish You A Merry Christmas'.
Sebilangan mereka akan berbaju kostum berwarna-warni yang menggambarkan babak-babak kelahiran Yesus dengan memain peranan sebagai Yusuf, Maria, malaikat-malaikat, gembala-gembala dan orang-orang majus dari Timur.
Akan juga diadakan persembahan-persembahan oleh pemain-pemain shofar, pemain dram tradisional, penari-penari tamborin, dan kumpulan-kumpulan band muzik termasuk enam dari Boys' Brigade dan Girls' Brigade.
Para peserta akan memberikan hadiah-hadiah Krismas, belon dan risalah kepada orang ramai sebagai tanda muhibah dan saling berkongsi.
Sebilangan gereja juga akan membuat perarakan dengan kenderaan berhias warna-warni bertema Krismas.
Arah perarakan berjarak kira-kira 4 km akan bermula dari Majlis Bandaran Kuching Selatan (MBKS) di Jubilee Ground ke Jalan Padungan, Jalan Tun Abdul Rahim (Waterfront), Lebuh Temple (Harbour View Hotel), Lebuh Wayang (Medan Pelita / Star Cineplex), Jalan Tabuan (Ting Ting Supermarket / Borneo Hotel), Jalan Ban Hock (Grand Continental Hotel / flat MBKS) dan kembali ke MBKS Jubilee Ground.
Lalulintas akan terganggu dari 7 malam ke 9 malam oleh perarakan itu, dan jalan berdekatan MBKS Jubilee Ground akan ditutup kepada lalulintas antara 5 petang hingga 10 malam.
Semua peserta perarakan dinasihatkan untuk berkumpul di MBKS Jubilee Ground, yang bersebelahan Sekolah Rendah Chung Hua No.3, pada 6 petang.
Pujian dan Penyembahan akan diadakan pada 6.30 petang sebelum perarakan bermula pada 7.15 malam, dengan penyampaian hadiah-hadiah kepada orang ramai pada 8.15 malam sebelum kembali ke MBKS Jubilee Ground pada 9.30 malam.
Semua peserta perarakan dinasihatkan untuk menyediakan hadiah-hadiah.
Gereja-gereja dari Persekutuan Pastor-Pastor Kuching termasuklah The Blessed Church, Good News Fellowship, Gereja Grace Assembly, 611 Kuching, Gereja Calvary Family, City Harvest Fellowship, Gereja Trinity Community, Gereja Hope Kuching, Gereja Latter Rain, Gereja Amazing Grace dan Gereja Summer City.
(Sila hubungi William pada talian 019-8164385 atau Lawrence pada talian 016-8880813 untuk butir-butir lanjut).
(Diterjemahkan daripada artikel The Borneo Post bertajuk, "10,000 Expected At Kuching Christmas Parade" bertarikh 5 Disember 2015)