Isnin, 7 Disember 2015

"Singing Christmas Tree" Tertinggi Membuat Pertunjukan Menarik

Anggota-anggota koir dari Sekolah Tinggi Mona Shores, Michigan berdiri di atas pokok
Singing Christmas Tree sambil membuat latihan seragam penuh pada 2 Disember 2015

Pokok Krismas yang amat besar dan berhias sambil satu koir pelajar menyanyikan lagu-lagu karol pada hari-hari menjelang Krismas bukanlah sesuatu yang ganjil. Tetapi yang menjadi luar dari kebiasaan adalah pokok amat tinggi yang diperbuat dari keluli itu dihiasi dengan kalungan, lampu berkerlipan dan beratus remaja.

"Singing Christmas Tree" (Pokok Krismas Bernyanyi) Mona Shores menggabungkan semua unsur biasa dalam satu pertunjukan yang luar biasa yang akan menarik beribu-ribu penonton hujung minggu ini. Pokok setinggi 67 kaki ini mempunyai 25,000 lampu, 5,000 kaki panjangnya perhiasan tumbuhan hijau, dan 15 tingkat, di mana lebih kurang 220 anggota koir berdiri. Kira-kira 50 lebih lagi pelajar lagi bernyanyi dari kedudukan berdekatan kaki pokok itu. 

"Ianya pada asasnya... sekumpulan pelajar koir berdiri di atas pokok dan menyanyi muzik Kristian," kata Brynne Wilcox, seorang senior Sekolah Tinggi Mona Shores yang mengambil bahagian dalam dalam siri pertunjukan yang keempat dan terakhirnya, yang akan dipersembahkan mulai hari Sabtu di Frauenthal Center di Muskegon.

Pelajar-pelajar kelas freshman (gred 9) berada di bahagian paling bawah pokok setinggi 5 tingkat bangunan itu, sementara sophomore (gred 10) dan junior (gred 11) mengambil tempat di bahagian pertengahan pokok. Pelajar-pelajar senior (gred 12) menduduki tempat tertinggi pokok. Pada puncak pokok ialah tempat untuk "Tree Angel" (Malaikat Pokok), seorang pelajar senior yang dipilih oleh Shawn Lawton, pengarah Koir Sekolah Tinggi Mona Shores.



"Dia tidak semestinya remaja yang merupakan penyanyi terbaik," Lawton berkata. "Tetapi sebaliknya seseorang yang mempunyai semangat gigih dan mungkin seseorang yang telah melalui banyak kesusahan dan masih tersenyum."

Lawton telah memilih dua Tree Angel tahun ini, merupakan hanya kali kedua hal itu terjadi dalam sejarah 31 tahun pertunjukan itu. Mereka akan saling bergantian di puncak pokok dalam pertunjukan itu.

Wilcox telah ditempatkan tepat-tepat di bawah Tree Angel. "Ianya pastinya sedikit lebih menakutkan apabila anda di paras ke-14 di atas berbanding bila anda berada di paras lantai," katanya.

Tetapi Wilcox tidak perlu khuatir sebab Darcy Welsh dan rakan-rakan "Tree Monkey" (Monyet Pokok) tidak pernah jauh. Welsh adalah di antara lebih kurang dua dozen ibu bapa kepada peserta-peserta koir yang menaiki bahagian dalaman pokok dan berjaga-jaga di atas pelantar di belakang penyanyi-penyanyi, siap untuk membantu sesiapa yang merasa pening oleh kerana ketinggian atau suhu panas dari lampu-lampu yang bersinar dekat mereka.

"Jika kami perlu membawa mereka keluar dari pokok, kita ada kawasan khas yang dijaga oleh jururawat-jururawat, dan yang ada makanan dan minuman," kata Welsh, yang juga merupakan graduan dari Sekolah Tinggi Mona Shores dan bekas peserta Pokok Krismas Bernyanyi itu.

Kesemua 275 penyanyi yang terdiri daripada pelajar-pelajar selamat menjalani latihan seragam penuh pada Rabu malam untuk tontonan percuma ahli-ahli masyarakat dengan keperluan istimewa, warga tua, dan mereka yang lain yang tidak berupaya mengikuti pertunjukan itu.

Para hadirin bersorak dengan gembira apabila Singing Christmas Tree - yang diselubungi gelap pada permulaan pertunjukan - tiba-tiba bercahaya sambil koir menyanyikan "Gloria."

"Ianya sangat bererti bagi saya untuk meneruskan tradisi ini," kata Lawton.





(Diterjemah oleh SDP daripada artikel ABC News bertajuk, "Michigan Students Ascend 5-Story Singing Christmas Treebertarikh 4 Disember 2015 penulisan Mike Householder, Associated Press)