Jumaat, 4 Disember 2015

14 Tahun Selepas Menerima Hadiah Kotak Kasut Krismas, Gadis Filipina Berkahwin Dengan Jejaka Yang Menghantarnya


Kisah cinta "Shoebox Christmas" (Hadiah Kotak Kasut Krismas) ini telah diterbitkan oleh Good News Network pada 26 November tahun yang lalu...

Joana mendapat hadiah kotak kasut Krismas
Apabila seorang anak kecil perempuan Filipina menerima kotak kasut Krismas penuh dengan hadiah pada tahun 2000, dia tidak membayangkan bahawa pada suatu hari nanti dia akan bertemu dengan budak lelaki berusia 7 tahun dari Idaho, yang telah membungkus hadiah itu di sebuah pekan kecil 7,000 batu jauh dari tempatnya. 

Dan dia tidak pernah bermimpi bahawa dia akan mengahwini budak lelaki Amerika itu, kini sudah dewasa, 14 tahun kemudian.

Pada bulan ini, Joana dan suami barunya Tyrel Wolfe menyerahkan hadiah-hadiah kotak kasut merekan sendiri di ibu pejabat Samaritan's Purse di North Carolina, di mana Operation Christmas Child beroperasi, dan memberitahu kisah mereka yang menarik hati.

Surat Yang Terhilang

Joana menerima kotak kasut itu di kem Alkitab untuk Kanak-Kanak di Quezon City, suatu kawasan pinggiran bandaraya Manila. Beserta hadiah itu adalah foto sebuah lelaki kecil berbaju koboi yang memegang tali lasso koboi. Budak lelaki itu juga meninggalkan nama dan alamatnya. 

Foto yang disertakan Tyrel
dalam kotak kasut Krismas
Joana ingin menulis dan memberitahu budak lelaki itu bagaimana kotak itu telah membawa kesan kepadanya. Walaupun dia telah mengirimkan sepucuk surat kepada budak lelaki berambut perang muda itu, surat itu tidak sampai kepadanya. 

Sebelas tahun kemudian, Joana berikhtiar menggunakan Facebook untuk cuba mengesan orang yang telah membungkus kotak hadiah untuknya: "Saya masih ingin mengucapkan terima kasih kepada orang yang telah memberikan kotak itu yang sangat bererti bagi saya." 

Satu-satu informasi yang dia ada ialah namanya: Tyrel Wolfe. Apabila dia melakukan carian, pelbagai pilihan dipaparkan. Satu nama dari Idaho muncul. Budak lelaki dalam foto itu berpakaian koboi dan berlatar belakangkan kawasan pedalaman dengan pemandangan gunung. Joana tidak pernah pergi ke Amerika Syarikat, tetapi dia tahu Idaho bergunung-ganang. Adakah ini Tyrel Wolfe yang dicari itu? Dia mengklik link itu dan membuat permintaan untuk bersahabat.

Di komuniti perkampungan di Midvale, Idaho (populasi 160 penduduk), Tyrel merasa hairan dengan mesej dari seorang gadis yang tidak dikenali di Filipina.

Mereka memulakan persahabatan melalui Facebook dan kirim mengirim surat dan foto untuk tahun berikutnya. Semakin banyak mereka berhubung, semakin banyak Tyrel dan Joana mendapati hal-hal yang mereka sama-sama suka. Mereka kedua-duanya sangat meminati muzik - walaupun berbeza rentak - dan kedua-duanya menyanyi dan bermain sekurang-kurangnya satu alat muzik. Joana juga telah sering mengimpikan kehidupan yang hening di kawasan pedalaman.

Walaupun dijarakkan oleh perbezaan masa 15 jam, mereka mengkhususkan masa pada waktu pagi dan lagi pada waktu malam untuk lawatan harian Facebook. Tetapi jika mereka ingin perhubungan mereka terus berkembang, mereka perlu bertemu secara muka.

Perjalanan ke Filipina


Pada Jun 2013, selepas berjimat cermat untuk membeli tiket kapalterbang, dan mendapat keizinan dengan nasihat berhati-hati daripada ibubapanya, Tyrel pun terbang ke Manila. Dia pernah mengikuti misi Kristian ke luar negara sebelum itu, tetapi tidak pernah ke Asia, dan tidak pernah menjelajah seorang diri.

"Sekali saya melihat wajahnya, suatu perasaan yang sungguh menakjubkan menguasai saya," kata Joana. "Saya begitu gembira sehingga menangis."

Tyrel tinggal untuk 10 hari dan mula mengenali Joana dalam suasana kampung halamannya. Sebelum kunjungan itu, mereka telah bersetuju untuk tidak berpacaran secara rasmi sehinggalah Tyrel meminta keizinan ayah Joana secara peribadi. Pada pertengahan tempoh lawatannya, Tyrel akhirnya memberanikan dirinya untuk meminta kepada ayah Joana yang bersifat pelindung dan seorang pastor. Ayah Joana memberi keizinannya tanpa ragu-ragu.

"Saya ingin menghabiskan setiap waktu yang mungkin dengan Joana semasa di situ, sebab apabila saya pergi dari situ, saya tidak tahu apa yang bakal berlaku," kata Tyrel. "Saya cuma tahu bahawa Joanalah gadis pilihan saya."

Untuk Memiliki dan Melindungi

Tyrel dan Joana telah berkahwin pada
5 Okt 2014 di ladang ibubapa Tyrell
Tyrel kembali ke Idaho dengan penuh keazaman untuk pergi lagi ke Filipina. Dia bekerja lebih waktu sebagai tukangbina laluan jejak kaki dan jambatan di taman-taman negera di kawasannya, menyimpan setiap dollar yang mungkin supaya dia boleh melawat Joana lagi pada musim cuti. Kali ini dia tinggal di situ untuk sebulan.

Akhirnya dia siap untuk membuat lamaran. Berkata dalam bahasa Tagalog, Tyrel meminta izin ayah Joana untuk mengahwini gadis impiannya.

Pasangan itu bertunang di Filipina dan mereka mendapatkan visa untuk Joana melalui statusnya sebagai tunang.

Pada 5 Oktober, mereka telah berkahwin dalam satu upacara di kawasan terbuka di ladang ibubapa Tyrel yang sebesar 400 ekar. Tyler memakai barong, baju bercorak tradisi Filipina yang dipakai oleh pengantin lelaki.

Para Tetamu Perkahwinan Menderma Kotak-Kotak Kasut

"Emak sayalah yang mula-mula mencadangkan itu," kata Tyrel mengenai idea untuk meminta para tetamu membawa kotak kasut berisi hadiah untuk didermakan. "Operation Christmas Child" telah membawa Joana dan saya bersama, oleh itu kami ingin menjadikan projek itu sebahagian daripada sambutan perkahwinan kami."

Joana suka cadangan itu dan menyelitkan risalah "Bungkusilah Hadiah Kotak Kasut" dengan setiap jemputan kahwin. Sesetengah tetamu membawa kotak-kotak kasut, sesetengah lagi memberi derma.

Kotak-kotak kasut (Shoebox) Krismas
Daripada hanya menghantar kotak-kotak kasut itu di salah satu daripada banyak lokasi penyerahan untuk Samaritan's Purse, pasangan Wolfe itu bersetuju ianya akan lebih bererti jika mereka menghantar kotak-kotak itu ke ibu pejabat badan kebajikan Kristian itu, dan melengkapi perjalanan kotak kasut dalam hidup mereka sendiri.

Kini enam minggu setelah berkahwin, Tyrel dan Joana menanti-nantikan Krismas mereka yang pertama bersama-sama di Amerika. Mereka telah memulakan satu tradisi yang mereka harap dapat teruskan seumur hidup mereka, membungkus hadiah kotak kasut bagi Operation Christmas Child.

"Dan apabila kita mula mempunyai anak, kami juga mahu melibatkan mereka dalam membungkus kotak-kotak itu," kata Tyrel yang tersenyum sambil memegang tangan isterinya. "Saya masih ingat semasa saya masih kanak-kanak, saya sungguh teruja untuk mengetahui bahawa hadiah-hadiah yang saya letak dalam kotak itu akan membawa sukacita kepada kanak-kanak lain di tempat lain di dunia.

"Yang saya tidak tahu ialah sukacita yang ianya akan bawa kembali kepada saya satu hari kelak."



(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel Good News Network bertajuk, "14 Years After Receiving Shoebox Gift, Filipino Marries Boy Who Sent It" bertarikh 26 November 2014)