Khamis, 3 Disember 2015

Ahli-Ahli Kaji Purba Menemukan Kesan Cop Mohor Raja Hizkia


Ahli-ahli kaji purba Israel telah menemukan satu kesan cop dari cop mohor Raja Hizkia, raja yang dikisahkan dalam Alkitab, yang telah membantu membina Yerusalem menjadi sebuah metropolis kuno.," begitu dilaporkan oleh Religion News. 

Raja Hizkia
Hizkia adalah seorang raja Yehuda yang penting sekitar 700 tahun Sebelum Masihi dan juga tercatat dalam silsilah keturunan Yesus (Matius 1).

Ia percaya kepada TUHAN, Allah Israel, dan di antara semua raja-raja Yehuda, baik yang sesudah dia maupun yang sebelumnya, tidak ada lagi yang sama seperti dia. (2 Raja-Raja 18:5)

Kepingan tanah liat yang kecil berukuran 1 sentimeter itu dengan kesan cop berbentuk bulat yang dikenali sebagai bulla, mungkin telah dibuat oleh Raja Hizkia sendiri untuk mengesahkan satu gulungan papirus. 


Bulla itu telah ditemukan oleh pasukan Hebrew University "dalam satu galian di kaki tembok sebelah selatan yang mengelilingi bahagian Kota Lama Yerusalem, satu kawasan yang kaya dengan artifak dari zaman dua bait suci kuno Yahudi," kata Religion News. 


Bulla itu telah dijumpai lima tahun yang lalu, tetapi telah diletak di tempat simpanan bersama 33 bulla yang lain. Setelah diperiksa dengan lebih teliti oleh seorang ahli pasukan, kesan cop dan maknanya menjadi jelas: "Menjadi milik Hizkia (anak) Ahaz Raja Yehuda."

Artifak itu dihiasi dengan motif ala Mesir, satu bentuk matahari bersayap dan satu bentuk ankh, yang melambangkan kehidupan," begitu dilaporkan oleh Times of Israel.

Ketua penggalian Dr. Eilat Mazar berkata, "Motif Mesir itu telah tersebar pada kurun kedua Sebelum Masihi ke seluruh rantau itu," oleh itu ianya mempunyai pengertian yang berbeza daripada yang difahami oleh orang-orang Mesir.


The Times of Israel meneruskan, "Orang-orang Yehuda zaman kuno menggunakan bentuk matahari untk melambangkan Yang Maha Kuasa, dan sayap yang menghala ke bawah mungkin melambangkan pengucapan Hizkia bahawa 'kekuasaanku adalah kerana perlindungan Tuhan.'"

Mazar berkata artifak itu adalah "yang paling dekat kita boleh dapat akan sesuatu yang kemungkinan besar telah dipegang oleh Raja Hizkia sendiri." Penemuan ini "menguatkan apa yang kita sudah tahu dari Alkitab mengenai [Hizkia]," katanya.



(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel Church Leaders bertajuk, "Archaeologists Discover Seal Of Biblical King Hezekiah" bertarikh 2 Disember 2015)