Khamis, 24 Disember 2015

Tiada Sambutan Krismas Di Brunei


Bandar Seri Begawan: Perayaan Krismas bakal disambut esok, tetapi tiada pokok dihiasi lampu berwarna-warni atau topi Santa Claus di Brunei selepas sambutan berkenaan diharamkan di negara itu.

Pemerintah Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah pada tahun lalu menguatkuasakan Undang-Undang Islam dan mengharamkan perayaan agama lain di negara itu. 

Pemimpin agama Islam di Brunei baru-baru ini memberi amaran perayaan Krismas diharamkan kerana bimbang ia mungkin mempengaruhi orang Islam. 

"Penggunaan simbol agama seperti salib, membakar lilin, hiasan pokok Krismas, nyanyian lagu keagamaan dan ucapan Krismas adalah bertentangan dengan ajaran Islam," kata seorang pemimpin agama yang disiarkan di akhbar tempatan. 

Mereka yang didapati bersalah nelanggar larangan berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara selama lima tahun. 

Kerajaan juga memberi amaran, orang Islam boleh dikenakan tindakan jika didapati memakai pakaian atau topi seperti Santa Claus.

Walaupun orang Kristian boleh menyambut perayaan itu tetapi mereka tidak boleh melakukannya di tempat terbuka atau secara berlebihan. 

Pasaraya, hotel dan premis perniagaan juga diberi amaran supaya tidak memasang hiasan Krismas di premis mereka.  AFP