Rabu, 20 Januari 2016

Malaikat Bernyanyi Di Atas Hutan Selepas 5 Misionari Terbunuh


Oleh Steve Saint:

Olive Mencari Jawapan

Beberapa tahun yang lalu, Olive Fleming Liefield dan suami keduanya, Walt melawat tapak di hutan Ecuador di mana suami pertama Olive, Pete telah mati dilembing bersama dengan Ed McCully, Roger Youderian, Jim Elliot dan ayah saya, Nate Saint.

Mendarat di sebuah lapangan pendaratan yang terpencil, mereka telah ditemui oleh kakak ayah saya, Rachel. Aunt Rachel dan beberapa anggota suku kaum Waodani telah membawa Olive dan suaminya ke tebing pasir yang telah dinamakan Palm Beach oleh ayah saya. 

Melihat untuk pertama kali tempat di mana suaminya telah dibunuh lantas menimbulkan banyak soalan dalam fikiran Olive. Soalan-soalan yang tidak pernah dijawab selama lebih tiga puluh tahun. Yang menjawab soalannya sambil Aunt Rachel menterjemahkan ialah Dawa, isteri salah seorang daripada penyerang yang hadir semasa serangan itu. Dawa, yang masih seorang remaja pada ketika itu, telah bersembunyi di antara pohonan tebu yang menyempadani bahagian seberang sungai, bertentangan Palm Beach, terlalu takut untuk melihat atau mengambil bahagian dalam peranan yang lebih agresif.

Sambil Dawa menyedari minat Olive dalam apa yang telah terjadi pada hari penuh kenangan itu, hari yang telah mengejutkan dan membuat dunia terpegun, orang-orang Kristian mahupun bukan Kristian, lalu Dawa pun mula memberikan maklumat yang dianggapnya penting.

"Cowadi" Bernyanyi Di Atas Paras Pokok

Di tengah penjelasannya, dia menudingkan jari ke arah satu tempat di atas dahanan pokok-pokok hutan yang menyempadani dataran bukit di selatan Palm Beach. "Di situlah kami mendengar "cowadi" (orang-orang asing) menyanyi," dia mengatakan dengan bersahaja.  Sambil Aunt Rachel menterjemah, Olive menghentikannya; "Apakah maksudnya dia mendengar orang-orang asing menyanyi di atas paras pokok-pokok?"

Kesaksian Dawa
Dawa berkata mereka berpakaian dengan kain seperti yang dia lihat pada sekumpulan Cowadi yang menyanyi di sebuah gereja yang dikunjunginya dengan Rachel di Amerika Syarikat.

Olive, Walt dan Aunt Rachel mula memikirkan samada itu mungkin satu koir yang terdiri dari malaikat. Betapa ianya merupakan penghormatan besar dari Tuhan yang penuh kasih. yang mana lima anaknya baru dibunuh, mayat-mayat mereka dihumban tanpa istiadat ke dalam sungai di sebelah tebing di mana mereka dua hari sebelumnya telah membuat pertemuan pertama yang baik dengan dua wanita dan seorang lelaki dari kampung yang sama yang dihuni oleh pembunuh-pembunuh mereka.

Olive ingin memuatkan kisah mengenai kunjungan malaikat itu dalam bukunya, "Unfolding Destinies", oleh itu dia meminta saya untuk menanya tiga orang pahlawan Waodani yang masih hidup, yang telah menjadi sebahagian dari kumpulan membunuh itu untuk pengesahan maklumat.

Kesempatan itu datang apabila saya terbang ke Ecuador untuk membantu anggota-anggota suku kaum itu untuk mengkebumikan Aunt Rachel yang meninggal dunia kerana kanser.

Seorang demi seorang, setiap dari tiga lelaki itu memberitahu saya bahawa mereka melihat apa yang kelihatannya seperti cahaya-cahaya di tempat yang sama di mana Dawa mengatakan bahawa dia telah melihat koir syurgawi itu. Mereka berada di kedudukan yang lebih jauh, yang mungkin boleh menjelaskan perbezaan pada apa yang mereka lihat. Tetapi kesemua mereka berkata mereka mendengar nyanyian. Namun begitu mereka kurang jelas dalam penerangan mereka.

Mencari Lebih Maklumat

Apabila satu projek dimulakan untuk membuat satu filem dan satu drama dokumentari mengenai "Kisah Auca" baru-baru ini, penulis-penulis skrip ingin memasukkan babak "malaikat-malaikat bernyanyi di atas misionari yang mati terbunuh di Palm Beach." Apabila saya membaca skrip itu, saya merasa kurang selesa untuk menyelitkan penggambaran semula yang terperinci mengenai sesuatu yang saya pasti sudah terjadi tetapi yang telah diterangkan dengan kurang jelas.

Pada Januari 2002, saya telah diminta membawa pekerja-pekerja filem dokumentari ke Ecuador untuk menemuramah orang-orang Waodani yang merupakan separuh bahagian kisah ini. Dalam temuramah dengan empat daripada 5 pahlawan Waodani yang masih hidup yang telah mengambil bahagian dalam serangan di Palm Beach di mana ayah saya dan empat kawannya telah dibunuh, saya berusaha untuk mendapatkan penerangan yang lebih jelas dari apa yang telah diberitahu kepada saya sebelum itu, tetapi tidak berhasil.

Pada hari selepas selesai perfileman temuramah-temuramah dengan orang-orang Waodani, kumpulan pekerja filem itu telah disertai oleh dua orang kawan kami, Kevin McAfee dan Steven Curtis Chapman. Mereka telah mengambil penerbangan untuk menyertai kami melakukan perfileman untuk jelajah Steve yang akan datang yang akan memaparkan "Kisah Auca", dan juga untuk membuat perfileman babak-babak bagi dokumentari itu. Steven dan saya sedang duduk dan berbual-bual di pondok memasak sementara Kimo, salah seorang pahlawan yang saya baru temuramah, sedang cuba berkomunikasi dengan seorang daripada pekerja-pekerja filem.

"Seperti Yang Pernah Saya Dengar"

Saya terkejut mendengar muzik datang dari rumah panjang di belakang kami, Kemudian saya menyedari bahawa Kevin sedang menguji peralatan suara yang telah dibawa olehnya.

Tiba-tiba Kimo berpaling ke arah muzik dan mendengar dengan penuh perhatian. Selepas seminit dia mengatakan, "manami ihindabopa" (seperti yang pernah saya dengar).

Saya tidak memahami apa yang dimaksudkannya sehingga saya menghubungkan kenyataannya yang jelas berkaitan muzik dan mengingati bahawa saya baru-baru saja menanya dia apa yang telah didengarnya di Palm Beach.

Kesaksian Kimo
Kimo meneruskan perbualan bahasa isyaratnya. Tiba-tiba dia berpaling ke arah muzik sekali lagi dan secara khusus mengesahkan, "Saya telah mendengar itu dulu, lama dahulu. Itulah yang saya dengar, seperti itulah, semasa ayah kamu meninggal."

Saya menerangkan kepada Steven Curtis apa yang Kimo sedang katakan, kemudian memanggil kepada Kevin untuk menghentikan muzik di bahagian itu. Kimo jelas sedang merujuk kepada salah satu jenis muzik itu berkenaan apa yang dia ingati.

Saya menjemput Kimo untuk memasuki rumah panjang bersama kami. Tapi malangnya Kevin tidak dapat memberitahu kami secara khusus di mana tempatnya lagu itu di CD. Kevin mula memainkan beberapa lagu dalam senarai lagu itu. Saya tidak dapat mengingati muzik itu secukupnya untuk mengesannya. Sambil lagu kelima atau keenam dimainkan, Steven Curtis berkata, "Saya fikir ini mungkin lagunya." Hampir serentak Kimo berkata, "Saya nampak cahaya-cahaya seperti bintang dan itulah yang saya dengar."

Kemudian dia menambah, "Bila saya dengar itu lama dahulu, saya, merasa takut. Ketika saya mendengar itu, saya tahu bahawa kami telah melakukan sesuatu yang tidak baik di situ. Sekarang tidak lagi hidup dengan marah dan benci, saya lihat dengan jelas bahawa kamu telah membawa kembali ini (setahu saya mereka tidak ada perkataan untuk muzik yang dihasilkan oleh alat muzik) kepada kami." Kemudian dia bangkit dan meninggalkan rumah panjang itu.

Nama Lagu Dalam CD

Kevin mengeluarkan CD itu untuk mencari tajuk lagu yang telah dikenalpasti oleh Kimo. "Kamu tak akan percaya ini," kata Kevin. "Lihat," dan dia menunjuk kepada CD itu, dan ianya lagu no. 8.

Yesus memberitahu kita untuk, "Pergilah, jadikan semua bangsa murid-Ku." Ayah saya dan empat kawannya telah menyertai angkatan ribuan "pengikut Tuhan" yang telah menyerahkan hidup mereka untuk menggenapi Amanat Agung itu.

Tajuk lagu yang dikenalpasti Kimo sebagai apa yang didengarnya selepas membunuh Ayah saya, Jim dan Pete dan Roger dan Ed; ialah sebuah lagu yang ditulis khas untuk filem Dokumentari (yang dibuat untuk mengisahkan rancangan Tuhan untuk menjangkau satu suku kaum di perhutanan Amazon yang kelihatan tidak penting dalam segala aspek melainkan Tuhan mengasihi mereka dan ingin mereka tahu bahawa mereka boleh menjadi anak-anak-Nya melalui pengorbanan Itota "satu-satunya Anak Allah, anak lelaki) iaitu "Every Tribe, Every Nation" (Setiap Suku, Setiap Bangsa).

Pemergian Yang Diringi

Sambil saya mendengar muzik, yang baru ditulis, yang Kimo menyatakan dengan begitu jelas bahawa dia telah mendengarnya semasa di Palm Beach, hati saya dipenuhi suatu perasaan penuh damai.

Jika Dawa, Kimo, Yowe dan Mincaye telah mendengar koir malaikat dari luar dunia kita, saya tidak ragu bahawa Jim, Ed, Pete, Roger dan Ayah lebih lagi telah ditunjukkan kehadiran malaikat itu. Mereka tidak mati bersendirian. Saya percaya kini bahawa Tuhan telah menghantar pasukan penyambut untuk bernyanyi bagi mereka dan mengiringi mereka masuk hadirat-Nya.

Video: Mengenai Malaikat Bernyanyi Di Atas Hutan Ecuador


(Dipetik dan diterjemahkan oleh SDP daripada artikel I-Tec bertajuk "Angels, Yes I Think It Was Angels" penulisan Steve Saint bertarikh 30 Januari 2002)