Foto: Unsplash / Eutah Mizushima |
Berapakah nilai diri kita? Pada pandangan orang lain, nilai itu mungkin berbeza-beza bergantung pada apa yang mereka dapatkan daripada kita. tetapi di mata Tuhan, anda jauh lebih bernilai daripada yang anda sangkakan.
Ekonomi mengajar kita bahawa nilai sesuatu sangat bergantung kepada berapa banyak seseorang rela membayar untuk mendapatkannya. Jika kita mengikut prinsip ini dalam menentukan nilai diri kita, ini bererti nilai kita tersangat tinggi kerana Allah rela membayar harga dengan nyawa Anak-Nya sendiri untuk mendapatkan kita.
Jadi jika saya begitu berharga pada Tuhan, mengapakah sesetengah orang merasa diri mereka tidak bernilai? Sukar bagi kita menolak realiti bahawa sesetengah orang telah kehilangan harapan, kehilangan damai dan kehilangan nyawa mereka sendiri kepada kebohongan bahawa mereka tidak berharga. Berikut ialah 4 pembohongan yang merompak perspektif bahawa kita begitu bernilai kepada Tuhan.
Pembohongan #1: Anda adalah apa yang orang lain katakan mengenai anda
Orang-orang di sekeliling kita boleh memandang kita dan melihat perkara-perkara yang buruk dalam kita, dan walaupun pemerhatian mereka tepat, itu tidak bererti bahawa apa yang mereka katakan itu benar. Apa yang kita lakukan dan apa yang orang lain lihat kita lakukan tidak mencerminkan langsung nilai kita, Ianya mungkin menunjukkan keupayaan kita, tanggungjawab kita, dan kesetiaan kita, tetapi bukan nilai diri kita.
Tuhan telah menentukan nilai kita, dan Dia berkata bahawa kita cukup bernilai untuk dipanggil anak-anak lelaki dan perempuan, dan anak-anak lelaki dan perempuan tidak pernah kehilangan nilai berdasarkan apa yang orang luar fikirkan. Yohanes 15:15 mengatakan, "Aku tidak menyebut kamu lagi hamba, sebab hamba tidak tahu,
apa yang diperbuat oleh tuannya, tetapi Aku menyebut kamu sahabat, karena Aku
telah memberitahukan kepada kamu segala sesuatu yang telah Kudengar dari
Bapa-Ku."
Pembohongan #2: Nilai bersih (hak milik) anda menentukan nilai keseluruhan anda
Dunia boleh membohongi kita dengan mengatakan bahawa akaun bank kita dan nilai bersih hak milik kita menentukan berapakah nilai kita yang sebenar. Menurut Gift Economy, 23.6 peratus kematian di antara orang-orang kaya dari 2008 ke 2010 telah disebabkan bunuh diri. Orang-orang yang mendasarkan nilai diri mereka pada kekayaan mereka adalah buta sebab hanya darah Yesus merupakan pembayaran yang mencukupi untuk menentukan berapa nilai kita.
1 Petrus 1:18-19 menyatakan, "Sebab kamu tahu, bahwa kamu telah ditebus dari cara hidupmu
yang sia-sia yang kamu warisi dari nenek moyangmu itu bukan dengan barang yang
fana, bukan pula dengan perak atau emas, melainkan dengan darah yang mahal,
yaitu darah Kristus yang sama seperti darah anak domba yang tak bernoda dan tak
bercacat."
Pembohongan #3: Kegagalan anda mengurangkan nilai diri anda
Apabila kita gagal, kita boleh merasakan seperti nilai kita berkurangan berbanding dengan apabila kita berjaya. Itu adalah jauh dari kebenaran. Meskipun manusia gagal dan tidak menepati sasaran, Tuhan mengasihi kita dan mencari jalan untuk membina kita. Sebenarnya, ianya adalah kasih karunia-Nya yang menyebabkan kita berjaya dan bukan hasil usaha kita sendiri, dan jikapun kita gagal, Tuhan tidak pernah gagal.
Ratapan 3:22 menjanjikan kepada kita bahawa "Tak berkesudahan kasih setia Tuhan, tak habis-habisnya rahamat-Nya."
Pembohongan #4: Dosa kita telah menghancurkan identiti kita
Sesetengah orang masih terperangkap dengan masa lampau mereka dan ada yang lainnya sedang tertekan dengan pergumulan yang mereka sedang hadapi kerana memikirkan bahawa dosa kita telah menurunkan nilai kita. Dan ya, dosa boleh membinasakan dan ianya memiliki kuasa untuk mencuri dan membinasakan nilai kita dan juga nyawa kita, tetapi meskipun begitu Tuhan memberi kehidupan sebab Dia tahu bahawa kita sangat bernilai.
2 Korintus 5:17 memberitahu kita bahawa, "Jadi siapa yang ada di dalam Kristus, ia adalah ciptaan baru: yang lama sudah berlalu, sesungguhnya yang baru sudah datang."
(Diterjemah oleh SDP daripada artikel Christian Today bertajuk, "4 Lies That Steal Our Self Worth" penulisan Patrick Mabilog bertarikh 15 Februari 2016)