Isnin, 14 Mac 2016

Pastor Petrus Agung Bina "Holy Stadium" Di Semarang, Indonesia

Gereja JKI Injil Kerajaan, "Holy Stadium" di Semarang, Indonesia

Bukanlah satu perkara biasa untuk melihat gereja yang saiznya sebesar stadium di Indonesia, negara Muslim terbesar di dunia. Tetapi Jemaat Kristen Indonesia (JKI) tidak takut untuk mengambil risiko.

Meskipun terdapat undang-undang tradisi yang melarang mana-mana kumpulan untuk membina bangunan yang lebih besar daripada masjid besar di kota itu, jemaat itu, yang terletak di Semarang, ibukota Jawa Tengah, sedang membina sebuah arena dengan 12,000 tempat duduk yang digelar "Holy Stadium" yang dijangka akan dibuka pada musim bunga ini.

Meskipun masjid terbesar di Semarang mempunyai tempat duduk untuk 3,000 orang, JKI--yang telah bertumbuh daripada 25 orang kepada 6,000 orang sejak 1991 dan kini mengendalikan sebuah radio stesyen FM, satu-satunya kafe di kota itu yang tidak membenarkan merokok, satu pelayanan perubatan, dan sebuah pusat rawatan dadah--telah menerima permit untuk pembinaan stadiumnya dalam masa tercepat.

Pendeta Petrus Agung telah 
melancarkan gereja JKI
di Semarang  pada 1991
Pastor Petrus Agung, yang memimpin pelayanan itu dengan isterinya, Tina menyatakan bahawa semuanya adalah kerana berkat kebaikan Tuhan. Diselamatkan pada usia 17 tahun, Agung berkata bahawa dia telah dipanggil menjadi pastor pada 1990 apabila Tuhan berbicara kepadanya tiga kali. "Pada kali pertamanya saya fikir itu adalah Iblis," dia memberitahu Charisma. "Apabila suara itu berkata 'Mulakan gereja di kota ini,' saya tertawa dan berkata, "Iblis, kamu adalah pembohong. Saya seorang penginjil. Saya tidak ada panggilan menjadi pastor. Ini akan berakhir dengan teruk." 

Tetapi suara itu berterusan. "Sebelum saya menegur suara itu untuk kali ketiga, Tuhan berkata, 'Ini Aku.' Aku menangis dan berkata, "Ampunilah aku, Tuhan.' Dan Dia berkata, "Mulakan gereja."

Agung mentaati. melancarkan JKI pada 1991 dengan isterinya, beberapa orang pemain muzik dan sebilangan kawan-kawan. Dalam masa tujuh tahun, Agung berkata, gereja itu telah bertumbuh ke 400 orang, yang dikatakannya kecil mengikut ukuran Indonesia. "Terdapat berjuta orang di sekeliling kami, jadi itu adalah sangat perlahan," dia memberitahu Charisma.

Kadar pertumbuhan gereja berubah selepas Agung mula berbicara di perhimpunan agung sekolah-sekolah awam dan swasta. Di sebuah sekolah, katanya, seorang pengetua membawa semua pelajar-pelajar ke dalam auditorium dan memberitahu pastor itu bahawa dia boleh berbicara secara bebas dengan pelajar-pelajar itu untuk dua jam. 

Pada mulanya pemuda-pemudi itu tidak menunjukkan respon. "Saya merasa kecewa," katanya. "Tetapi Tuhan berkata, 'Jangan bimbang. Teruskan berbicara." Selepas 15 minit, Dia berkata berhenti. ... Jadi saya berhenti, dan saya sangka bahawa itu adalah khutbah terburuk saya, tetapi saya berkata: 'Jika anda ingin menerima Yesus ... jika anda ingin mengubah hidup anda, datanglah ke depan, saya akan berdoa untuk kamu.'"

"Mereka berlari ke depan, dan saya mula berdoa untuk mereka. Mereka mula menangis dan menangis. ... dan selalunya berlaku begitu ... dan bukan saja di sekolah-sekolah Kristian."

Pendeta Petrus Agung bergambar dengan
Pastor Kong Hee dari Singapura
di bangunan Holy Stadium
beberapa tahun kemudian
Gereja itu bertumbuh ke 700 orang dalam masa dua bulan, kemudian Kong Hee, pastor City Harvest Church yang beranggota seramai 16,000 orang dari Singapura, datang berkhutbah dalam kebaktian kebangunan rohani dan memberi cabaran kepada Agung untuk percaya bahawa Tuhan akan menumbuhkan pelayanan itu ke 2,000 orang pada penghujung tahun 2000. 

"Saya berkata dalam hati, 'Saya tidak tahu,'" kata Agung. "Tetapi saya ingin bersopan kepadanya, jadi ...  saya kata, "2,000 bolehlah."

Kemudian pada kebaktian kebangunan rohani pada malam itu, Kong Hee mengejutkan kawannya lagi. "Dia berkata sesuatu yang berkuasa: "Mari kita katakan 2,000 orang sebelum tahun 2000. Jadi pada penghujung 1999, kamu akan mencapai 2,000,'" Agung mengingat kembali. "Saya begitu takut sekali apabila dia mengucapkan itu."

Tetapi sebelum Krismas 1999, JKI telah memiliki lebih daripada 2,000 anggota, dengan beratus orang yang diselamatkan pada tahun itu. Agung berkata sejak masa itu, gereja telah mengadakan kebaktian baptisan hampir setiap bulan.

Gedung Gereja JKI Injil Kerajaan  di Semarang yang
digelar "Holy Stadium" mempunyai tempat duduk
untuk 12,000 orang telah mula dibina pada 2003,
selesai dibina dan didedikasikan pada 2007
Walau pun jemaat gereja, yang purata usianya 21 tahun, mendapat pendapatan kurang daripada US$300 sebulan, mereka telah memberi secara berkorban barangan kemas, basikal, rumah dan tanah untuk membina bangunan baru itu. Agung dan isterinya memberi kereta dan wang mereka, dan barang kemas pusaka isterinya, termasuk cincin-cincin perkahwinannya, untuk projek itu. Tetapi pasangan itu percaya bahawa mereka tidak dapat mengatasi Tuhan dalam memberi.

Pada hari ini, pelayanan itu tidak berhutang, dan Holy Stadium telah terbayar 80% meskipun pembinaannya belum lagi selesai. Oleh kerana tsunami yang telah membawa bencana kepada beberapa bahagian Asia Selatan, gereja itu telah menjadi pusat untuk mengedarkan bantuan dan barangan keperluan.

Agung berkata bahawa ketaatan kepada Tuhan adalah sebab utama pertumbuhan gerejanya. "Kita perlu mendengar apa yang dikatakan-Nya dan kemudian mentaatinya,' dia berkata. "Lakukan saja, apapun yang Dia katakan."

Nota: Sewaktu artikel Charisma Magazine ini diterbitkan, "Holy Stadium" masih dalam pembinaan. Sejak waktu itu, "Holy Stadium" telah selesai dibina dan didedikasikan pada 2007. 



(Diterjemah oleh SDP daripada artikel Charisma Magazine bertajuk "Pastor Builds 12,000 Seat "Holy Stadium" In Muslim Stronghold" penulisan Larry Keefauver)