Isnin, 25 April 2016

JPN Merayu Keputusan Mahkamah Yang Mengesahkan Hak Seorang Muslim Sarawak Untuk Menjadi Kristian Semula

Foto Malay Mail Online/Choo Choy May 

KUALA LUMPUR, 25 April 2016 -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang telah mengesahkan hak seorang Muslim Sarawak untuk dikenali sebagai Kristian semula secara sah di sisi undang-undang.

Peguam Chua Kuan Ching berkata bahawa JPN merupakan satu-satunya daripada tiga responden untuk menfailkan notis rayuannya terhadap anak guamannya Roneey anak Rebit pada 22 April, hari kerja terakhir sebelum berakhirnya tempoh 30 hari  pada 24 April.

"Jadi mereka baru saja menfailkan rayuan pada hari Jumaat, mereka merayu ke Mahkamah Rayuan, jadi kita akan lihat apa yang akan terjadi dengan itu," dia memberitahu Malay Mail Online ketika dihubungi.   

Sebab-sebab untuk rayuan JPN akan terkandung dalam memorandum rayuan yang mereka perlu failkan di mahkamah dalam masa lapan minggu, kata Chua.

Dalam satu keputusan penting "landmark" pada 24 Mac, Mahkamah Tinggi Kuching telah membuat keputusan yang memihak Roneey dan mengeluarkan perintah kepada JPN untuk mengeluarkan MyKad baru dengan nama kelahirannya dan dengan memadamkan pengkelasannya sebagai Muslim.
  
Chua mengesahkan bahawa anak guamannya belum menerima MyKad baru daripada JPN.

"Oleh kerana mereka telah menfailkan rayuan, kami terpaksa menghadapinya. Kami sebenarnya agak kecewa," katanya.

Dia berkata walaupun mereka telah menjangka bahawa rayuan akan difailkan, dia berkata bahawa tindakan berkeras JPN adalah "tentu sekali tidak sesuai" oleh kerana dua pihak lain yang terbabit termasuk Jabatan Agama Islam Sarawak tidak ada bantahan terhadap kemenangan anak guamannya di mahkamah. 

Dia menerangkan bahawa keputusan mahkamah bulan lepas yang memihak anak guamannya adalah keputusan penting "landmark" kerana ianya melibatkan pengesahan hak berperlembagaan untuk kebebasan beragama bagi seorang dewasa yang telah dijadikan Muslim semasa kanak-kanak.

"Dia telah dilahirkan sebagai bukan Muslim, oleh itu apabila dia telah mencapai umur kematangan, dia mempunyai hak untuk menentukan kepercayaan agamanya. Diputuskan dengan betul oleh hakim Mahkamah Tinggi, dia cuma mempertahankan hak kebebasannya di bawah Perlembagaan," katanya.

Roneey, kini 41 tahun, berusia lapan tahun apabila ibu bapa Kristiannya memeluk agama Islam dan dia dikehendaki untuk mengikuti agama ibu bapanya.

Semasa keputusan 24 Mac itu, hakim Mahkamah Tinggi Kuching, Datuk Yew Jen Kie telah mengatakan bahawa Roneey tidak boleh dianggap sebagai Muslim dan tidak tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, oleh kerana dia tidak masuk Islam oleh kehendaknya sendiri.

Keputusan hakim itu bermakna Roneey boleh dikenali semula sebagai orang Kristian secara sah di sisi undang-undang, setelah dikenali berpuluh tahun sebagai Muslim dengan nama Azmi Azam Shah dalam rekod pengenalan rasmi.

Kes mahkamah Roneey telah diajukan kerana JPN telah bertegas bahawa dia harus mendapatkan perintah daripada Mahkamah Syariah sebelum ianya boleh menggugurkan kata "Islam" daripada kad pengenalannya.

Dalam semakan kehakiman yang difailkan di makamah sivil, Roneey telah memohon untuk perintah dikeluarkan untuk memastikan Jabatan Agama Islam Sarawak dan Majlis Islam Sarawak secara rasmi melepaskannya daripada agama Islam supaya dia dapat mengisytiharkan dirinya sebagai orang Kristian. Kedua-dua badan agama itu dilaporkan tidak membantah mengeluarkan surat perlepasan yang seperti itu.

Lelaki Bidayuh itu, di antara perkara-perkara lain, juga ingin mendapatkan perintah mahkamah untuk memastikan JPN mengubah semua rekod-rekod agamanya di Pendaftaran Negara kepada Kristian.

(Diterjemahkan daripada artikel Malay Mail Online bertajuk, "NRD Appeals Against Court Recognition of Sarawakian Muslim Convert's Bid To Be Christian Again" penulisan Ida Lim bertarikh 25 April 2016)