Rabu, 3 Ogos 2016

Kesaksian Bear Grylls - Tokoh TV "Man Vs Wild"


Ahli kembara British, Bear Grylls, yang membintangi siri tahan lasak TV, Man Vs Wild (Manusia Berdepan Hidupan Liar), pernah makan ular, kala jengking dan mata kambing yak, untuk menahan kelaparan di penjuru-penjuru paling mencabar di dunia. Tetapi teras kewujudannya adalah imannya yang kuat kepada Tuhan, iaitu iman yang telah dipupuk sejak kecil. 

"Saya memiliki iman yang semulajadi sebagai seorang kanak-kanak," Grylls memberitahu Relevant Magazine. "Sebagai kanak-kanak yang masih kecil, saya tidak pernah mempersoalkan Tuhan. Saya cuma tahu Tuhan itu wujud dan merasakan seperti Dia adalah kawan saya."  

Bear Grylls suka mendaki dari usia mudanya
Grylls telah membesar di Isle of Wight, di sebelah selatan pantai Great Britain di Selat Inggeris. Dia telah mendapat tali pinggang hitam dalam karate semasa remaja, memulakan kelab mendaki gunung di Eton College, dan telah menjadi salah seorang yang paling muda untuk mendaki Gunung Everest pada usia 23 tahun.


Ayahnya, Sir Michael Grylls, adalah anggota Skuad Kapal Layar Di Raja, dan telah mengajarnya untuk mendaki dan belayar semasa dia masih kecil. 

Di sekolah, hubungannya dengan Tuhan yang "bebas, semulajadi dan tidak terbatas" telah dicabar oleh apa yang dianggapnya sebagai roh keagamaan. "Apabila saya sampai ke sekolah, ianya (Kekristianan) menjadi lebih bersifat keagamaan dan saya berfikir, 'Saya tidak suka ini,'" dia memberitahu CBN. "Ianya semuanya mengenai menghadiri gereja dan diberitahu agar jangan merokok di belakang pondok basikal. Saya berfikir jika ini ialah Tuhan, maka saya telah tersalah faham, oleh itu saya pun meninggalkan iman saya."

Pada usia 16 tahun, dia telah kehilangan bapa angkatnya, yang telah menjadi seperti bapa yang kedua kepadanya. "Saya ingat kembali bahawa saya ingin berdoa, tetapi tidak tahu bagaimana," dia mengisahkan kembali kepada CBN. 

Grylls memanjat pokok dan mencurahkan hatinya kepada Tuhan. "Bolehkah Engkau menjadi sahabat kepadaku seperti yang kurasakan ketika berusia lima atau enam tahun?" dia bertanya.

Kakaknya menggelarnya "Bear" sewaktu dia
kecil - nama itu melekat sehingga ke hari ini
Dia percaya detik yang istimewa itu dan doanya yang ringkas itu adalah "pengalaman menemukan iman" - atau menemukan kembali iman waktu kecilnya.

"Ianya semudah itu. Dan sebenarnya hal yang paling menakjubkan adalah Tuhan hanya meminta kita membuka pintu dan Dia akan melakukan yang selanjutnya," dia memberitahu Relevant Magazine.

"Kita seringkali bersembunyi di sebalik kerinduan kita untuk kasih dan penerimaan dengan menimbulkan banyak persoalan teologia yang rumit, dan sebenarnya apabila semua itu dilenyapkan, kita sebenarnya cuma adalah suatu peribadi yang menginginkan hubungan dengan Bapa kita."

Grylls berkata ianya sesuatu yang memberi penghiburan kepadanya apabila dia menyedari bahawa Yesus bukanlah semuanya mengenai keagamaan - bahawa Yesus sebenarnya, "adalah peribadi yang paling tidak keagamaan yang anda akan temui."

Grylls bertemu dengan bakal isterinya, Shara sewaktu menjalani latihan untuk mendaki Gunung Everest. Tetapi pendakian itu bukanlah cabaran yang terbesar dalam hidupnya. Dalam masa kurang setahun selepas dia dan Shara bernikah, ayahnya - yang merupakan peribadi paling menginspirasikan dalam hidupnya - telah meninggal dunia pada usia 66 tahun. Shara juga telah kehilangan ayahnya pada tempoh masa yang sama.

"Kehilangan ayah saya ketika kami baru saja berkahwin adalah sangat sukar," dia mengakui dalam satu temuramah dengan The Telegraph. "Tiba-tiba ianya seperti, 'Nah! Ok. Bagaimanakah kami nak membayar bil elektrik? Bagaimanakah kami nak menjaga kedua ibu kami?' Saya terasa sungguh tertekan. Ianya rasanya terlampau cepat terjadi. Kami terpaksa bersandar pada satu sama lain, dan di situlah pernikahan kami benar-benar bermula."

Bear Grylls dan isterinya, Shara
Pada tahap yang paling bawah itu, mereka mengambil keputusan mengikuti "Kursus Alpha" mengenai Kristian. "Ianya telah membantu kami menyelidiki persoalan-persoalan besar dengan cara yang sederhana dan tidak mendesak," katanya.

Alpha, sebuah kursus 10 minggu mengenai asas-asas Kristian yang telah dilancarkan oleh Rev. Charles Marnham di Holy Trinity, Brompton di London - telah menolongnya dan Shara menguatkan iman.

"[Iman] merupakan pengembaraan yang paling dahsyat," dia memberitahu CBN. "Dan Yesus, yang merupakan teras iman Kristian adalah peribadi paling dahsyat dan radikal yang pernah anda temui. Dia sering berinteraksi dengan para pelacur dan para pemungut cukai dan mengikuti jamuan dan pesta, dan saya mendapati diri saya tertarik dengan peribadi itu, bukannya dengan hal-hal enteng yang kita ingin kaitkan dengan agama."

"Yesus tidak pernah berkata, 'Aku datang supaya kamu boleh rasa memiliki penampilan segak dan teratur dengan wajah tersenyum dan keagamaan," Grylls memberitahu Relevant Magazine. "Iman adalah perihal menemukan kehidupan, sukacita dan damai. Saya tidak sering di gereja sebab saya sering dalam perjalanan, oleh itu saya biasanya berpaut pada hal-hal yang ringkas seperti, 'Aku dapat melakukan segalanya melalui Kristus yang memberiku kekuatan' dan 'Aku memegang tangan kananmu.' Saya berpegang pada iman saya melalui perkara-perkara ringkas ini. Yesus tidak berubah dan saya telah diampuni."

Grylls dan isterinya, Shara mempunyai tiga orang anak lelaki, Jesse, Marmaduke dan Huckleberry - yang bongsunya telah dilahirkan di atas rumah perahu yang berlabuh di Sungai Thames.

Bear dan Shara memiliki tiga anak lelaki
Grylls merujuk kepada iman yang mereka kongsi bersama sebagai komponen utama dalam perkahwinan mereka. "Kami telah berkahwin hampir 10 tahun, dan itu adalah penyatu untuk keluarga kami sebenarnya. Mengimbas kembali, saya fikir bahawa ianya akan amat sukar tanpa iman bersama itu - yang menguatkan kami."

Dia mengakui bahawa mereka bukanlah pengunjung gereja yang tetap dalam cara yang biasa. "Saya seringkali dalam perjalanan," dia memberitahu The Telegraph. "Secara jujur, jika tujuannya ialah untuk mencari komuniti dan mendapat dorongan, saya dapati gereja yang terbagus seringkali terjadi bersama anak-anak saya. Kami di rumah pada hari Ahad, saya akan keluarkan piano lama dan menyanyi beberapa lagu kanak-kanak dan sebuah lagu hymn. Saya suka menyanyi, 'He's got Huckleberry, Marmie in his hands...'

"Itulah gereja. Kami akan baca satu ayat. Seperti, 'Aku memegang tangan kananmu.' Kami ucapkan doa ringkas untuk satu sama lain dan kami selesai dalam masa tujuh minit. Ianya indah." Kemudian seluruh keluarga akan pergi berjalan atau mendaki bersama.

Man Vs Wild - Kembara Bear Grylls di pulau-pulau pesisiran Borneo



Sebagai seorang yang berkeluarga, Grylls menyedari risiko dalam gaya hidup kembara yang dijalaninya. "Hidup itu berisiko. Jika kita menghadapinya, menjaga satu sama lain dan belajar bagaimana untuk mengurus risiko, kita semua akan dalam keadaan lebih baik,"

"Bagi diri saya, saya tidak ingin sampai ke penghujung nyawa saya dengan tubuh yang terpelihara sempurna. Saya ingin tiba sambil melayang, dipenuhi dengan bekas luka, dalam keadaan teruk dan menjerit, "Yahoo! Ini pengembaraan yang dahsyat!"


Dalam satu temuramah, Grylls sukar sekali menahan perasaannya ketika mengisahkan mengenai ayahnya yang telah meninggal dunia.




(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel God Reports yang bertajuk, "The Wild, Childlike Faith Of Bear Grylls" yang ditulis oleh Mark Ellis bertarikh 15 September 2015)