Rabu, 25 Januari 2017

Inilah Khutbah Yang Didengar Oleh Donald Trump Sebelum Dia Menjadi Presiden

Reverend Robert Jeffress dan Presiden Donald Trump

Sebelum menghadiri majlis perlantikannya, Presiden Trump telah mengikuti satu kebaktian peribadi di St. John Episcopal Church yang di seberang jalan dari Rumah Putih, sebagai satu amalan modern Hari Perlantikan. 

Kebaktian itu telah dipimpin oleh Rev. Robert Jeffress, seorang pastor Southern Baptist yang telah berkempen kuat untuk Trump semasa bulan-bulan terakhir pilihanraya.

Berikut adalah transkrip eksklusif dari khutbah Jeffress, yang diambil dari kisah Nehemia, seorang tokoh bersejarah yang dikisahkan dalam Perjanjian Lama membina semula Yerusalem:

Rev. Robert Jeffress menyampaikan khutbah
di St. John Episcopal Church, Washington
pada pagi Hari Perlantikan 20 Jan 2017.

Bakal Presiden dan Puan Trump, bakal Naib Presiden dan Puan Pence, keluarga-keluarga dan kawan-kawan, ini merupakan satu penghormatan untuk bersama anda pada hari bersejarah ini. 

Bakal Presiden Trump, saya masih mengingati bahawa tepat setahun yang lalu pada hujung minggu ini bahawa saya bersama anda di atas jet Citation anda untuk terbang sekeliling Iowa sebelum pengundian pertama untuk memilih calon parti. Selepas kita makan burger keju Wendy's, saya telah mengatakan bahawa anda akan menjadi Presiden Amerika Syarikat yang akan datang. Dan jika itu berlaku, ianya adalah kerana Tuhan telah menempatkan anda di situ.

Seperti yang dikatakan oleh nabi Daniel, Tuhanlah yang memecat dan melantik pemimpin-pemimpin.

Pada hari ini - setahun kemudian - Tuhan telah mengangkat anda dan bakal Naib Presiden Pence untuk tujuan yang besar dan abadi.

Apabila saya memikirkan mengenai anda, bakal Presiden Trump, saya diingatkan kembali mengenai seorang lagi pemimpin agung yang telah dipilih Tuhan beribu-ribu tahun yang lalu di Israel. Negara itu telah berada di bawah tawanan untuk berdekad-dekad, infrastrukturnya dalam keadaan teruk, dan Tuhan membangkitkan seorang pemimpin yang kuat untuk memulihkan negara. Dan orang yang telah dipilih oleh Tuhan bukan seorang ahli politik ataupun seorang imam. Sebaliknya, Tuhan memilih seorang pembina yang namanya Nehemia.

Dan langkah pertama untuk membangun kembali negara itu adalah membina tembok yang besar. Tuhan mengarahkan Nehemia membina tembok di keliling Yerusalem untuk melindungi penduduknya daripada serangan musuh. Lihatlah, Tuhan tidak menentang pembinaan tembok!

Dan buku Nehemia dalam Perjanjian Lama merekod bagaimana Nehemia menyelesaikan pembinaan projek besar itu dalam masa rekod - dalam masa cuma 52 hari.

Mengapakah Nehemia begitu berjaya membina tembok dan membangun kembali negara?

1. Nehemia Tidak Mengizinkan Pengkritik-Pengkritiknya Mengalihkan Perhatiannya.

Ada orang pernah mengatakan ada tiga cara yang terjamin untuk mengelakkan kritikan: jangan buat apa-apa, jangan kata apa-apa, jangan jadi apa-apa.

Seorang pemimpin yang sejati akan menghadapi kritikan.

Bakal Presiden Trump, anda telah menerima kritikan dari hari anda mengumumkan memasuki perlumbaan untk Presiden, tetapi anda telah mengejutkan mereka di setiap peringkat. Pertamanya, mereka katakan anda tidak akan dapat pencalonan, tetapi akhirnya anda telah memperolehi paling banyak undi dalam sejarah di kalangan Republikan. Kemudian mereka katakan itu secara kebetulan sahaja tetapi anda tidak akan dapat menang pilihanraya. Dan anda dengan mudah mengatasi pencabar anda. Dan kini para pengkritik mengatakan bahawa anda tidak mungkin berjaya mencapai agenda anda.

Nehemia juga mempunyai pengkritik-pengkritiknya. Dua orang penentang utamanya bernama Sanballat dan Tobiah. Mereka adalah seperti media arus perdana pada zaman itu. Mereka secara berterusan menjejak dan mencemuh Nehemia dan menyebarkan khabar-khabar angin palsu manakala dia dan umat Israel membina tembok.

Pada suatu ketika, mereka berkata, "Nehemia, anda perlu hentikan projek ini dan turun dari tembok dan adakan pertemuan dengan kami."

Respon Nehemia sungguh bijak, "Aku tengah melakukan suatu pekerjaan yang besar... Untuk apa pekerjaan ini terhenti oleh sebab aku meninggalkannya dan pergi kepada kamu!" (Nehemia 6:3).

Bakal Presiden Trump, anda dan Naib Presiden Pence, dan pasukan anda telah dipanggil Tuhan dan dipilih oleh rakyat untuk melakukan kerja yang besar. Ianya adalah kerja yang terlalu penting untuk berhenti dan menjawab para pengkritik anda.

2. Nehemia Tidak Mengizinkan Halangan-Halangan Untuk Menghentikannya.

Sambil anda membaca jurnal Nehemia, anda akan dapati bahawa dia menghadapi halangan-halangan yang besar sambil dia berusaha membangun semula negara: kemelesetan ekonomi, serangan teroris daripada musuh, dan juga kekecewaan di kalangan penduduk.

Tetapi halangan-halangan itu tidak cukup untuk menghalang Nehemia. Dua tahun yang lalu, dua pengulas sukan di televisyen sedang membincangkan mengenai mendiang tokoh sukan ternama Walter Peyton, yang dulu bermain sebagai running back untuk Chicago Bears. Seorang pengulas mengatakan, "Percayakah kamu semasa karirnya, Peyton telah berlari lebih daripada sembilan batu dengan bola (football Amerika)?"

Pengulas yang seorang lagi mengatakan, "Apa yang lebih mengkagumkan lagi adalah setiap 3.8 meter dalam sembilan batu itu, Peyton telah dijatuhkan oleh pemain lelaki yang dua kali besar daripadanya dan dia masih maju ke hadapan meskipun mendapat luka-luka dan ketukan teruk."

Bakal Presiden Trump, anda, dan pasukan anda, dan keluarga-keluarga anda akan menghadapi halangan yang melukakan. Tetapi ingat...

Ukuran sebenar seorang pemimpin adalah apa yang akan menghentikannya. Dan mengenali anda, saya percaya bukan mudah untuk menghentikan anda.

(Dan akhirnya)

3. Nehemia Mencari Pertolongan Tuhan Untuk Memampukan Dirinya.

Nehemia adalah pemimpin yang berkebolehan, tetapi dia tahu bahawa dia tidak akan berjaya tanpa pertolongan Tuhan. Itulah sebabnya ketika dia memulakan pekerjaan besar ini, dia berlutut di hadapan Tuhan dan berdoa:

"Ya, Tuhan, berilah telinga kepada doa hamba-Mu ini dan kepada doa hamba-hamba-Mu yang rela takut akan nama-Mu, dan biarlah hamba-Mu berhasil hari ini dan mendapat belas kasihan dari orang ini" (Nehemia 1:11).

Bakal Presiden, saya tidak percaya bahawa kita pernah miliki seorang presiden dengan sebanyak kebolehan semulajadi seperti anda. Seperti yang anda ketahui, saya telah memberi dukungan kepada anda dalam beberapa minggu selepas pengumuman anda adalah kerana saya percaya anda adalah satu-satunya calon yang memiliki kemahiran-kemahiran kepimpinan yang diperlukan untuk mengubahkan halatuju negara yang semakin menjunam.

Dan bermula dengan bakal Naib Presiden Pence - seorang lelaki yang unggul dan patuh akan Tuhan - anda telah mengumpulkan sekumpulan penasihat yang sangat berkebolehan untuk mengelilingi anda.

Tetapi cabaran-cabaran yang dihadapi negara kita adalah begitu besar, ianya memerlukan lebih daripada kebolehan semulajadi untuk mengatasinya. Kita perlukan kuasa luarbiasa Tuhan. Berita baiknya adalah Tuhan yang sama yang telah memberi kuasa kepada Nehemia hampir 2,500 tahun lepas juga sedia membantu setiap kita hari ini yang rela merendahkan diri dan meminta pertolongan-Nya.

Tuhan mengatakan dalam Mazmur 50:15, "Berserulah kepada-Ku pada waktu kesesakan, Aku akan meluputkan engkau dan engkau akan memuliakan Aku."

Ketika Presiden Ronald Reagan berbicara di Konvensyen Kebangsaan Republikan di kota saya, Dallas pada 1984, dia berkata, "Amerika perlukan Tuhan lebih daripada Tuhan perlukan Amerika. Jika kita lupa bahawa kita adalah 'sebuah negara di bawah Tuhan,' kita akan jadi negara yang tengelam ke bawah."

Bakal Presiden Trump, anda mempunyai slogan kempen yang mendapat sambutan berpuluh juta rakyat Amerika kerana ianya menyentuh kerinduan hati mereka: "Jadikan Amerika Unggul Lagi."

Mazmur 33:12 memberi kita titik permulaan untuk menjadikan itu nyata: "Berbahagialah bangsa, yang Allahnya ialah Tuhan."

Semoga Tuhan memberkati bakal Presiden Trump, bakal Naib Presiden Pence, keluarga-keluarga dan penasihat-penasihat mereka. Dan semoga Tuhan benar-benar memberkati Amerika Syarikat.

(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel TIME bertajuk, "Read The Sermon Donald Trump Heard Before Becoming President" bertarikh 21 Januari 2016)