Sabtu, 18 Februari 2017

7 Perkataan Ibrani Yang Anda Harus Tahu


Kepentingan Bahasa Ibrani dalam Kekristianan amat jelas. Buku-buku Perjanjian Lama dalam Alkitab telah ditulis hampir kesemuanya dalam Bahasa Ibrani. Berikut adalah beberapa kata-kata Ibrani yang anda harus tahu:

1. Beyth Lechem: Ini adalah perkataan Ibrani untuk kota kecil, Betlehem, di mana Kristus telah dilahirkan. Pemahaman bahasa Ibrani akan membuka pengertian yang penting dari kata ini. Dalam bahasa Ibrani, Beyt Lechem bererti "rumah roti." Dalam versi bahasa Arab, seperti yang dicatit oleh Catholic Encyclopedia, ianya dibaca bet lahm, bererti "rumah daging." Tidakkah kedua-dua makna itu menunjuk ke arah Perjamuan Kudus? Penulis teologi yang popular Charles Spurgeon telah menulis dalam bukunya, The Incarnation and Birth of Christ, "Tidakkah sepatutnya Yesus Kristus dilahirkan di "rumah roti"? Dialah Roti bagi umat-Nya! Seperti bapa leluhur kita memakan manna di padang gurun, kita juga hidup oleh Yesus di bumi ini!" 

Tetapi apakah sebenarnya rumah roti? Dalam bahasa Ibrani, beyt, atau rumah adalah istilah untuk rumah ibadah, di mana orang-orang Yahudi beribadah. Dan sekali lagi, adalah bertepatan sekali bahawa Kristus, Anak Allah, Imam Besar kita, dilahirkan di "rumah" seperti itu. (Nota mengenai ejaan: Bagi mereka yang ingin tahu, ada beberapa cara yang berbeza untuk transliterasi atau merumikan bahasa Ibrani. Artikel ini secara umumnya mengikuti sistem yang digunakan oleh Strong's Concordance. Kecuali dinyatakan, takrifan-takrifan juga diambil daripada Strong's)

2. mashiyach: Dari kata inilah kita mendapat perkataan mesias, yang hampir merupakan satu transliterasi terus. Dalam Israel kuno, mesias datang dari mashach, kata kerja untuk melapkan, menyapukan, atau mengurapi dengan sesuatu cecair, menurut Strong's Concordance. Ianya merujuk kepada raja-raja, imam-imam dan nabi-nabi yang diurapi untuk melayani Allah. Tentu saja Yesus merupakan kesemua itu - raja, imam dan nabi. Dalam abad-abad sebelum kelahiran Kristus, Mesias dipercayai akan memulihkan Kerajaan Daud dan membina semula Bait Allah, bersama dengan Yerusalem, dan sekali lagi ini adalah semua perkara yang Yesus telah lakukan, cuma bukan dengan cara yang dapat disangka oleh seorang Yahudi biasa pada waktu itu. Perkataan Yunani yang digunakan untuk menterjemahkan mesias juga adalah kata yang menjadi kebiasaan bagi kita: christos

3. Yehowshuwa: Dalam Pengakuan Nicene, kita memperakui iman dalam "satu Tuhan Yesus Kristus." Sepertimana dengan Kristus, Yesus adalah nama yang mempunyai makna yang penuh dengan pengertian. Ianya datang dari kata Ibrani Yehowshuwa. yang bererti, Yehuwa adalah keselamatan, menurut Strong's Concordance. Perkataan Ibrani yang berkaitan dengan keselamatan adalah yeshuw ah


4. satan: Syaitan nama yang seerti dengan Iblis, adalah sepenuhnya satu perkataan Ibrani yang mempunyai maksud asal musuh, atau seseorang yang menentang, menurut Strong's Concordance. Dalam Perjanjian Lama, perkataan ini tidak setiap kali digunakan untuk Iblis. Sebagai contoh, dalam 1 Raja-Raja 11:14, ianya berkata seorang musuh, bernama Adad orang Edom, telah bangkit menentang Salomo. Tetapi teks itu secara literal mengenalpasti musuh ini sebagai satan. Perkataan itu, seperti yang muncul dalam Mazmur 109:6, seringkali diterjemah sebagai pendakwa.

5. pesach: Kemungkinan besar, pada musim Paskah, anda akan mendengar frasa "domba Paskah" yang merujuk kepada Kristus, Anak Domba Allah. Ini adalah kata yang datang terus dari bahasa Ibrani, pesach, yang bererti korban Paskah, haiwan yang menjadi mangsa Paskah, atau perayaan Paskah. Perjamuan Kudus adalah kesemua itu - satu korban, satu persembahan mangsa, dan juga satu perayaan.

6. hallelouia: Haleluya adalah salah satu kata pujian yang kita paling biasa gunakan. Tetapi apakah erti sebenar kata ini dan dari manakah ianya datang? Sumber-sumber perbendaharaan kata menunjukkan asal-usulnya dari Israel kuno. Dalam bentuk Ibraninya, ianya terdiri daripada halal dan Yahh. Kata terakhir itu adalah singkatan untuk Yahweh, salah satu nama Ibrani untuk Allah. Tetapi bagaimana dengan kata yang pertama? Ianya mempunyai rangka makna yang menarik: untuk menyinari, untuk menyinarkan cahaya, untuk memuji, untuk membanggakan dan untuk bertindak dengan bersemangat dan bertenaga.

7. amen: Perkataan ini, salah satu perkataan yang paling biasa digunakan dalam doa, diambil secara terus dari bahasa Ibrani. Dalam bahasa Ibrani ianya bererti sesungguhnya, amen, jadilah seperti itu. Amen pula datang dari aman, satu kata kerja yang bererti untuk menyokong, mengesahkan, menjadi setia, memelihara, diteguhkan, dibawa, disahkan; dan untuk berdiri teguh, untuk mempercayai, untuk menjadi pasti, untuk mempercayai. Begitu tepat sekali kita menyudahkan begitu banyak doa-doa kita kepada Allah dengan satu pengakuan bahawa ianya benar, bahawa kita memiliki iman dalamnya, dan Allah sendiri yang akan meneguhkan dan membawa kita dalam perjalanan iman kita. Dan dengan itu sesungguhnya Amen.




(Dipetik dan diterjemah oleh SDP daripada artikel Catholic Exchange bertajuk, "Ten Must-Know Hebrew Words" yang ditulis oleh Stephen Beale bertarikh 22 Julai 2013)