Isnin, 13 Mac 2017

Mengapa Orang Kristian Tidak Harus Berpacaran Dengan Bukan Kristian?


Oleh Cheryl Lee:

Ini adalah soalan yang sering ditanya, tetapi tidak selalu dijawab dengan tepat. Hal ini mengelirukan, membingungkan malahan menimbulkan kemarahan orang-orang Kristian mahupun bukan Kristian. Ianya kelihatan seperti elit, beranggapan diri lebih baik daripada orang lain dan memandang rendah orang lain. 

Tetapi percayalah saya. Ianya tidak sepatutnya begitu. 

Saya kini berusia 28 tahun, saya bujang, dan salah satu perkara yang paling sering saya dengar daripada kawan-kawan saya adalah seperti ini: "Mengapa cerewet sangat? Mestikah orang Kristian? Jika standard kamu tidak begitu tinggi, saya memang sudah perkenalkan kamu dengan kawan-kawan sayalah." Dan sementara saya sepenuhnya percaya bahawa niat mereka bertujuan baik, saya fikir sudah tiba waktunya seseorang menjelaskan sebabnya di sebalik "kecerewetan" ini, agar tidak disifatkan sebagai satu lagi standard Kristian yang tidak rasional dan sombong yang menjadi amalan hidup. 

Suatu masa yang lama dahulu, saya pernah berpacaran dengan seorang yang selain daripada bukan Kristian, adalah lebih kurang sempurna bagi saya. Sempurna dari segi dia hampir-hampir seperti saya. kami suka benda-benda yang sama, kami punya citarasa yang sama, dia tahu apakah benda-benda yang akan saya sukai, kami juga menyokong pasukan bola sepak yang sama... cocok sekali. Semuanya begitu sempurna kecuali hakikat bahawa dia bukan Kristian. Pada mulanya, ianya tidak menjadi hal bagi saya, tapi saya fikir sepanjang waktu itu, di sudut hati saya, saya tahu bahawa itu akan merupakan satu isu pada satu hari kelak. Dan tentu saja, selepas beberapa waktu, saya berkeputusan bahawa saya tidak dapat meneruskan lagi perhubungan itu, kerana ianya adalah "salah".  Dan dengan itu saya berputus dengan seorang lelaki yang sempurna semata-matanya kerana dia bukan Kristian. Semua orang (termasuk diri saya kadang-kadang) berfikir saya sudah gila dan mereka langsung tidak dapat memahaminya. Saya tidak pasti bahawa dia akan dapat memahaminya juga, dan untuk itu saya rasa bersimpati terhadapnya. Tetapi keputusan seperti ini pasti membingungkan, dan dengan itu ianya harus dan mesti dijelaskan dengan sejelas-jelasnya. 

Manakala saya ingin orang-orang bukan Kristian untuk memahami ini, saya lebih mengambil berat lagi mengenai kita orang-orang Kristian. Sebabnya dari perhubungan-perhubungan dan sikap-sikap yang saya perhatikan di sekeliling saya (dan kadang-kala pada diri saya juga), kita kadang-kadang terlupa "sebab"nya dan menjadi keliru dalam usaha melakukan apa yang kita lakukan.   

Saya fikir contoh yang terbesar adalah ini, dan saya tidak akan meringan-ringankannya di sini, adalah orang-orang Kristian yang cuba memperluaskan "berpacaran dengan seorang Kristian" kepada "berpacaran dengan seorang yang saya ingin bawa ke gereja", "berpacaran dengan seorang yang ada keterbukaan terhadap Kekristianan", atau "berpacaran dengan seorang yang menggelarkan dirinya Kristian tetapi tidak pernah ke gereja selama bebebrapa tahun". Saya boleh teruskan tapi anda pasti sudah faham maksud saya. Melakukan hal-hal seperti itu adalah sebenarnya tidak memahami sebabnya kita ingin berpacaran dengan seorang Kristian. Ianya merupakan usaha mengambil hikmat Tuhan dan cuba memperlebar-lebarkannya sehingga kita dapat mencari ruang meloloskan diri.

Oleh itu, ya, berbalik kepada sebab-sebab mengapa orang Kristian tidak harus berpacaran dengan yang bukan Kristian. Mungkin ada sebab-sebab lain lagi, tetapi di sini saya ingin berikan empat sebab yang ringkas: 

1. Anda percaya pada hal-hal yang sepenuhnya dan sesungguhnya berbeza.

Orang-orang Kristian yang komited tahu bahawa Kekristianan bukanlah satu kegiatan sampingan yang timbul pada hari Minggu dan hari Krismas - ianya melibatkan dan mengkehendaki satu perubahan sepenuhnya dalam cara pandang, sikap, gaya hidup, keputusan dan keutamaan. Ianya bukan jenis perbezaan "bersetuju untuk tidak bersetuju" - umpamanya samada Manchester United atau Liverpool pasukan yang lebih bagus (tapi bukankah jelas jawapannya?), tetapi ianya akan menjadi isu dalam cara anda menggunakan masa, wang, apa yang anda akan ajarkan anak-anak di masa hadapan, bagaimana anda menghadapi kesukaran... Saya boleh meneruskan lagi. Sebahagian daripada ini anda mungkin hadapi atau mungkin tidak hadapi sebelum pernikahan, tetapi selepas pernikahan ianya pasti terjadi.

"Janganlah kamu merupakan pasangan yang tidak seimbang dengan orang-orang yang tak percaya. Sebab persamaan apakah terdapat antara kebenaran dan kedurhakaan? Atau bagaimanakah terang dapat bersatu dengan gelap?" - 2 Korintus 6:14.

Berkahwin dengan seorang bukan Kristian bererti kesetiaan yang berbelah bahagi seumur hidup, dan satu bahaya besar kepada perhubungan anda dengan Tuhan. Dalam satu cara atau lain, salah satu daripada perhubungan itu (atau mungkin juga kedua-duanya) akan mengalami kompromi.

2. Ianya tidak pernah "sekadar berpacaran" 

Saya juga perlu jelaskan bahawa berkenaan "berpacaran", saya bukan bermaksud hubungan romantik yang saja-saja dan untuk bersuka-suka dengan tiada rancangan masa depan - yang saya maksudkan adalah satu perhubungan yang dijalinkan dengan tujuan untuk mengetahui samada anda berdua sesuai untuk pernikahan. "Apa?" Kamu kata, "Aku tak bersiap untuk itu!" Ya, kalau begitu, mungkin anda belum bersiap untuk berpacaran. Berpacaran yang saja-saja biasanya mementingkan diri dan untuk memuaskan diri: ianya menyenangkan, ianya menggembirakan saya, siapa peduli apa yang berlaku di masa hadapan? Jika kita tahu dengan pasti bahwa kita tak akan pernah mengahwini orang itu, maka menjalinkan hubungan dengannya adalah tidak adil kepadanya juga. Sebagai orang Kristian, soalan yang paling penting untuk kita tanya adalah, "Adakah ini menjadikan saya lebih seperti Yesus?" Berpacaran dengan saja-saja, terutama dengan orang-orang bukan Kristian, hampir pastinya tidak.

3. Sesuatu yang lain telah menjadi lebih penting daripada Tuhan.

Saya hampir-hampir dapat mendengar hujah yang sedang dibentuk sekarang, bahawa secara asasnya, tidak terdapat di mana-mana dalam Alkitab yang menyatakan ianya dosa untuk berpacaran dengan seorang bukan Kristian. Sebenarnya, Alkitab tidak mengatakan pun mengenai berpacaran: jadi bagaimanakah kita boleh mengatakan dengan pasti apakah pandangan Tuhan?

Sekalipun kita tutupi petikan-petikan seperti 2 Korintus 6:14 di atas yang menyuruh kita agar tidak "menjadi pasangan yang tidak seimbang", fikiran waras dan hikmat sebagai seorang yang percaya kepada Tuhan memberitahu kita bahawa hubungan yang rapat (dan jika kita berpacaran, ianya kemungkinan salah satu perhubungan paling rapat yang kita miliki) dengan seorang bukan Kristian tidaklah bijak, apalagi membantu. Jika matlamatnya adalah untuk menjadi lebih seperti Kristus, kita sedang secara sengaja dan sedar menjadikannya lebih sukar.

Kerana itu, kalau kamu dibangkitkan bersama dengan Kristus... Fikirkanlah perkara yang di atas, bukan yang di bumi. Sebab kamu telah mati dan hidupmu tersembunyi bersama dengan Kristus di dalam Allah. Kerana itu matikanlah dalam dirimu segala sesuatu yang duniawi, yaitu percabulan, kenajisan, hawa nafsu, nafsu jahat dan juga keserakahan, yang sama dengan penyembahan berhala,.(Kolose 3:1-5)

Apabila kita rela membahayakan hubungan kita dengan Tuhan untuk apa sahaja - kemungkinan kerjaya, wang dan nikmat - itu akan menjadi berhala bagi kita, tak kira betapa "baiknya" sesuatu itu secara sendirinya. Perhubungan Kristian juga boleh menjadi berhala jika ianya diberi keutamaan ke atas Tuhan. Jadi walaupun ianya tidak dinyatakan secara terang-terangan sebagai dosa, hakikat bahawa kita rela membahayakan iman kita dengan berpaut kepada orang itu menunjukkan keinginan hati kita yang sebenar. 

4. Kebahagiaan memiliki pasangan Kristian

Dan akhirnya, kita perlu menimbangkan bukan sahaja jerat tersembunyi yang mungkin terjadi dalam berpacaran (dan mengahwini) seorang bukan Kristian, tetapi juga faedah yang amat besar apabila berpacaran dengan seorang Kristian yang matang dan terus bertumbuh. "Berpacaran dengan seorang Kristian" bukanlah semata-mata untuk menandakan petak kosong dalam senarai berpacaran Kristian, ianya adalah kebahagiaan kerana dapat memimpin atau dipimpin oleh seseorang yang anda boleh yakini akan mengutamakan kehendak Tuhan (dan kebajikan anda) di hatinya, seseorang yang akan memperhatikan dan juga membantu pertumbuhan rohani anda, yang akan mendorong anda dengan Firman pada waktu-waktu yang sukar, yang akan mengasihi anda kerana Kristus telah terlebih dahulu mengasihinya, yang akan menjadi teladan dan dapat dikuti secara rohani oleh anak-anak anda, dan yang menganggap kediaman sejatinya, seperti anda, adalah syurga.

"Kemolekan adalah bohong dan kecantikan adalah sia-sia, tetapi isteri yang takut akan TUHAN dipuji-puji." - Amsal 31:30

"Hai suami, kasihilah isterimu sebagaimana Kristus telah mengasihi jemaat dan telah menyerahkan diri-Nya baginya... supaya dengan demikian Ia menempatkan jemaat di hadapan diri-Nya dengan cemerlang... supaya jemaat kudus dan tidak bercela. Demikian juga suami harus mengasihi isterinya sama seperti tubuhnya sendiri: Siapa yang mengasihi isterinya mengasihi dirinya sendiri." Efeus 5:25-28

Tidak selalu mudah untuk mencari atau menginginkan perkara-perkara ini dalam perhubungan apabila hal-hal lain seperti penampilan, personaliti dan sebagainya menjadi daya penarik - tetapi saya sangat percaya bahawa itu adalah perkara-perkara paling penting dan diperlukan bagi jangka panjang. Jangan salah faham, bukannya daya tarikan tidak penting - ianya tidak sepenting seperti yang kita fikirkan.

Saya bukan katakan bahawa perkahwinan Kristian tidak ada kekurangan dan masalahnya. Tidak ada perkahwinan atau perhubungan, Kristian atau sebaliknya, yang sempurna. Tetapi itulah justeru sebabnya kita perlukan seorang pasangan yang akan menanggap dan menerima ketidaksempurnaan itu melalui cahaya kasih Kristus yang sempurna untuk kita.

Jadi ianya bukan semata-mata pergi ke berlainan tempat pada pagi Ahad - ianya mengenai berakhir di berlainan tempat secara kekekalan. Sebagai seorang Kristian, adakah anda yakin bahawa keselamatan dan hubungan anda dengan Tuhan lebih penting daripada hubungan anda dengan orang lain? Adakah anda yakin bahawa syurga dan neraka itu wujud? Adakah anda percaya bahawa ketaatan kepada Firman Tuhan kadangkala melibatkan perkara-perkara yang kita tidak ingin laksanakan, ataupun tidak dapat fahami? Sebabnya kita tidak dapat duduk di atas pagar - jika jawapan kita adalah ya, kita tidak dapat secara sedar mengingkari Tuhan. Dan lebih membimbangkan lagi, jika jawapan anda adalah tidak, anda mungkin perlu menanya diri apakah yang anda benar-benar yakini.

Saya cuma ingin katakan bahawa ini adalah salah satu daripada banyak dosa yang kita terjatuh dalam, dan anda tidak lebih berdosa atau menjadi orang Kristian yang lebih teruk oleh kerana anda melalui ini. Kehidupan Kristian adalah pergumulan yang berterusan dengan dosa - bahagian yang paling menakutkan bukannya bila kita berdosa, tetapi apabila kita berhenti langsung bergumul, dan juga memberitahu diri kita bahawa ianya ok.

Tidak mudah bagi saya untuk menulis dan menerbitkan ini - ianya sebenarnya telah mengambil lebih setahun sejak membuat drafnya untuk saya menerbitkannya; kerana saya rasa bahawa saya tidak dapat melakukannya sehingga saya benar-benar dapat menanggapinya. Dan sambil saya menulis ini, saya masih berfikir-fikir samada untuk membiarkannya terus dalam bentuk Draf. Ianya begitu sukar bagi saya, ianya begitu dekat di hati saya.

Jika anda sedang bergumul, atau sedang menghadapi isu ini, saya berdoa anda akan mendapat ketabahan untuk mentaati Tuhan, dan iman untuk mempercayai bahawa ketaatan ini tidak akan meninggalkan anda berkekurangan. Percayalah saya, itulah pergumulan yang saya hadapi setiap hari.

(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel Whole Life bertajuk, "Why Can't Christians Date Non-Christians?" yang ditulis oleh Cheryl Lee bertarikh 8 Mac 2016)