Sabtu, 11 Mac 2017

Pusat Bacaan Yang Diasaskan Oleh Pastor Koh Yang Diculik Akan Ditutup


PETALING JAYA: Komuniti Harapan, pusat bacaan yang diasaskan Pastor Raymond Koh yang telah diculik, akan ditutup bulan ini kerana kekurangan dana. 

Sin Chew Daily melaporkan hari ini bahawa pusat itu di PJS3/48 di sini akan ditutup kerana dana semakin berkurangan dan tiada orang yang tampil ke hadapan untuk membantu. 

Seorang pekerja bernama Sri Ram memberitahu akhbar harian Cina itu bahawa tiada orang yang membekalkan kewangan untuk menguruskan pusat itu. 

Dia berkata pastor itu adalah orang yang mengutip sumbangan daripada orang ramai untuk membiayai pengurusan pusat itu.

"Dia adalah pemimpin rohani pusat ini.

"Dia datang ke sini tiga kali sebulan dan berbual-bual dengan kanak-kanak dan remaja di pusat ini," katanya kepada akhbar harian Cina itu. 

"Tetapi kini tiada orang yang mengetuai pusat ini dan tiada sumbangan yang diterima.

"Kami ttiada pilihan lain tapi untuk menutupinya bulan ini," katanya, dan menambah bahawa dia telah memaklumkan tuan rumah dan pelajar-pelajar yang menggunakan pusat itu mengenai penutupannya. 

Koh telah diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang daripada 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari. 

Rakaman CCTV menunjukkan bahawa penculikan itu telah dirancang rapi dan dilaksanakan secara profesional oleh lebih 10 orang menggunakan tujuh kenderaan.

Keluarga Koh telah menawarkan ganjaran RM100,000 untuk maklumat mengenai lokasinya. 

(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk "The End For Reading Centre Founded By Abducted Pastor Koh" bertarikh 8 Mac 2017)