Sabtu, 11 Mac 2017

Mengapakah Orang Kristian Makan Daging Babi, Tetapi Orang Yahudi Tidak?


Orang-orang Yahudi terkenal tidak memakannya. Orang-orang Islam juga begitu. Jadi, oleh itu mengapakah orang-orang Kristian memakan ham, bacon dan juga produk babi yang lain?

Pengharaman daging babi yang "haram" telah disebut dalam kedua-dua Imamat 11:7, AVB - "Babi, yang kuku kakinya terbelah walaupun babi tidak mengunyah bahan mamahan adalah haram bagimu." - dan Ulangan 14:8, AVB: "Demikian pula babi, kerana haiwan ini memang terbelah kuku kakinya tetapi tidak mengunyah bahan mamahan. Jadi, haiwan itu haram bagimu. Jangan kamu makan daging haiwan-haiwan itu, dan jangan juga kamu sentuh bangkainya."

Sesetengah orang percaya bahawa orang-orang Kristian awal menghindarkan dari memakan daging babi, dan amalan memakannya telah bermula kemudian. 

Itu adalah benar tetapi ianya tidak begitu terkemudian dan detik perubahan itu tercatit dalam Perjanjian Baru.  

Detik utama perubahan itu disenaraikan di Kisah Para Rasul, fasal 15, yang mengisahkan Majlis di Yerusalem. Itu adalah majlis yang bertujuan menyelesaikan konflik di antara orang-orang Kristian Yahudi yang berpegang pada Taurat di Yerusalem, dan orang-orang Kristian dari bangsa-bangsa asing dari Antiokhia di Syria. Orang-orang Yahudi itu ingin orang-orang berbangsa asing mengikuti amalan-amalan Musa seperti berkhatan.

Satu delegasi - yang dipimpin oleh Paulus dan kawannya Barnabas - telah dilantik untuk bersidang dengan penatua-penatua di Yerusalem. Pada detik itu, secara asasnya, Gereja telah dimodernkan. Tanpanya, Gereja mungkin tidak akan berkembang seperti yang telah terjadi, dan mungkin tidak bertahan hari ini. 

Keputusannya adalah sepucuk surat diutus kepada bangsa-bangsa asing yang percaya yang diakhiri dengan langkah kompromi ini: "Cuma, jauhkanlah diri daripada makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala, daripada daging binatang yang mati dicekik, daripada darah dan daripada perbuatan cabul." (KPR 15:29, AVB)

Sesetengah orang juga membahaskan bahawa Yesus telah pun menunjuk ke arah itu, dengan mengatakan, "Apa yang masuk dari luar ke dalam seseorang tidak dapat menajiskannya. Apa yang keluar daripada seseorang itulah yang menajiskannya. (Markus 7:15, AVB).

Mungkin itulah yang telah membawa Paulus untuk mengatakan, "Dalam Tuhan Yesus, aku tahu dan percaya bahawa tiada sesuatu pun yang najis..." (Roma 14:14-15, AVB).

Biar bagaimana perbahasan itu telah berkembang, keputusan yang telah diambil oleh orang-orang percaya Yahudi di Majlis Yerusalem untuk membenarkan orang-orang berbangsa asing untuk menjadi Kristian tanpa perlu mengikuti peraturan pemakanan Yahudi dan berkhatan, boleh dikatakan faktor utama dalam Kekristianan menjadi iman kepercayaan yang benar-benar tersebar ke seluruh dunia. Ianya menyatakan dengan jelas bahawa keanggotaan dalam masyarakat Kristian adalah berdasarkan iman dalam Kristus, dilambangkan dengan kedatangan Roh Kudus ke atas murid-murid-Nya dan bukannya melalui amalan luaran.

(Diterjemah oleh SDP daripada artikel Christian Today bertajuk, "Why Do Christians Eat Pork And Jews Don't" bertarikh 9 Mac 2017)