Khamis, 23 Mac 2017

Kaum Muda Singapura Jauhi Agama?


SINGAPURA: Laporan Banci Rumahtangga 2015 oleh Jabatan Statistik yang telah dikeluarkan awal bulan ini menunjukkan bahawa komposisi penduduk menurut agama di Singapura adalah lebih kurang stabil berbanding lima tahun sebelumnya. 

43.2 peratus daripada penduduk dikenal pasti penganut Buddhisme atau Taoisme, 18.8 peratus Kristian, 14 peratus Muslim dan 5 peratus Hindu. Bilangan Kristian telah bertambah sedikit, manakala agama-agama lain mengalami pengurangan kecil. 

Mereka yang menggelarkan diri tidak memiliki anutan agama berjumlah 18.5 peratus daripada jumlah penduduk tahun 2015 - meningkat dari 17 peratus pada 2010.

Dari kumpulan itu, ramai adalah dari golongan muda. Sebanyak 65 peratus berusia di antara 15 hingga 44 tahun, dan lebih kurang 23 peratus di antara 15 dan 24 tahun, berbanding dengan 14.6 peratus untuk penduduk berusia 55 tahun dan ke atas. 

Ahli-ahli akademik dan agama yang dihubungi oleh The Straits Times mengatakan bahawa trend tiada anutan agama adalah berkaitan dengan populasi yang semakin berpendidikan, yang sebilangannya akan menjauhi agama jika ianya tidak berhubung kait dengan kehidupan dan keperluan mereka. 

Penyelidik senior Institute of Policy Studies, Matthew Matthews berkata ini lebih biasa terjadi kepada individu-individu yang membesar dalam keluarga-keluarga yang hanya mengamalkan agama atas nama sahaja.

Gereja Katolik mengatakan bahawa agama-agama tradisi lambat dalam berdialog dengan orang-orang muda dan membantu mereka memahami kepercayaan mereka.

Presiden Persekutuan Buddhis Singapura, Seck Kwang Phing percaya wajah muda kumpulan tiada anutan itu berkaitan dengan perubahan sikap di kalangan kaum muda, yang telah menjadi lebih berdikari dalam pemikiran mereka.

Dia berkata, "Mereka bertanya dan berbahas dan tidak sebegitu saja mengizinkan ibu bapa mereka memilih kepercayaan mereka bagi pihak mereka."

Orang-orang muda masa kini juga terdedah kepada pelbagai ragam ideologi, yang membawa kepada kepelbagaian pandangan dalam kategori tiada anutan itu. Dengan demikian, kumpulan itu terdiri daripada orang-orang ateis dan agnostik; humanist dan sekular; dan juga free-thinker (kepercayaan bebas) dan juga individu-individu yang tidak semestinya anti agama.

Para pakar mengatakan bahawa kestabilan sesebuah negara secara bandingan juga bererti kurangnya kebimbangan akan masa depan kerana masa kini yang "tiada ancaman."

Apabila keadaannya seperti itu, insentif untuk datang kepada agama untuk mendapatkan pertolongan Ilahi atau jaminan akan berkurangan.

Orang-orang muda juga mungkin menjalankan penyelidikan mereka sendiri sebelum akhirya memeluk sesuatu kepercayaan, kata pakar pakar itu.

(Sumber: The Straits Times, "Youth In Singapore Shunning Religion" bertarikh 21 Mac 2016)