Oleh Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa:
1. Bukan sahaja sukar untuk menjadi kaum lain di Malaysia, menjadi Melayu pun susah. Lebih rumit bangsa dan kaum diadun dengan isu agama dan kepercayaan. Malah berkarya dan berkongsi pengalaman ketuhanan dalam kehidupan seseorang pun adalah satu jenayah di Malaysia.
1. Bukan sahaja sukar untuk menjadi kaum lain di Malaysia, menjadi Melayu pun susah. Lebih rumit bangsa dan kaum diadun dengan isu agama dan kepercayaan. Malah berkarya dan berkongsi pengalaman ketuhanan dalam kehidupan seseorang pun adalah satu jenayah di Malaysia.
2. Kalau buku ‘Menjadi Hannah Yeoh’ dikatakan menyebar agama
Kristian dan cubaan memurtadkan orang Islam, saya orang Melayu dan Muslim
jujurnya dalam keadaan dilema. Ia membawa mesej membimbangkan kerana bangsa
saya dan agama saya dipertontonkan sebagai lemah hanya dengan satu karya dari
penulis bernama Hannah Yeoh.
3. Saya kata sukar menjadi Melayu dan Islam di Malaysia
kerana saya terperangkap antara bersikap objektif dan emosional. Terperangkap
dalam dilema inilah menyebabkan rakyat kita kurang peduli kepada isu yang lebih
besar negara.
4. Implikasinya ialah setiap kaum dan agama berada di balik
tembok kubu masing-masing. Mereka yang cuba keluar dari belengu kubu masing-masing
dikatakan ‘musuh’ dengan label Liberal dan Murtad tidak kurang Munafik. Itu
kubu Melayu.
5. Semua insiden negatif di Malaysia dikaitkan dengan agama
atau bangsa, walhal secara objektifnya insiden itu datang dari sikap individu
dan bukan mewakili bangsa atau agamanya.
6. Saya lebih terperangkap dalam ‘dunia tembok’ ini apabila
kebencian kaum dan agama diinstitusikan melalui sikap parti politik tertentu
dan pihak kerajaan sendiri seolah mendapat ‘barakah’ restu nuansa-nuansa keji
ini. Isu perundangan RUU 355 hanya kerana namanya Islam distrukturkan begitu
rupa dengan kerjasama pemerintah sehingga menimbulkan kebencian terancang
sesama umat Islam dan umat beragama lain.
7. Logik dunia hari ini mudah, ia berputar di paksi bekalan
dan permintaan. Semua pihak yang berkepentingan ambil kesempatan membekalkan
permintaan ini kerana hasilnya lumayan. Para penunggang agama, para penyebar
kebencian dan parti politik yang terdesak adalah benifisarinya. Sekali lagi
saya terperangkap.
8.Tembok kubu dikawal oleh bomoh-bomoh handal dan
pendita-pendita yang kerjanya ‘menjampi serapah’ mangsa ‘sihir’ dan para
pendita yang siang malam berkhutbah dan menghukum mereka yang mahukan bebas
dari kubu-kubu ini. Terimakasih kepada teknologi media sosial.
9. Namun saya beruntung kerana ada ‘kunc’i keluar dari
tembok penjara ini. Tiada bomoh atau pendita yang mampu menghalang saya. Saya
tak perlu menjadi bangsa lain dan saya tak perlu ada agama lain. Saya tetap
Melayu beragama Islam dan bangsa lain tetap mereka dengan agama mereka.
10. Saya telah temui apa yang perlu dijaga dan dikawal,
bukan tembok Melayu-Islam, tembok Cina- Kristian, tembok India-Hindu atau
tembok Sabah Sarawak. Saya perlu memelihara Tembok Kubu Kemanusiaan, Kubu
Kebebasan dan Kubu Kasih-Sayang.
11. Kubu ini tidak dicam dengan agama atau bangsa, luas
terbentang, semuanya bebas keluar masuk di dalamnya. Hanya satu sahaja matlamat
mereka iaitu mengawal musuh durjana yang mengancam kemanusiaan daripada para
penunggang kaum dan agama. Awas musuh-musuh ini yang berselindung di sebalik
wajah agama dan bangsa.
12. Malaysia memerlukan kubu dan tembok kukuh kemanusiaan
dan kebebasan untuk dipertahankan barulah menjadi Melayu dan Muslim adalah satu
kebanggaan bukan satu dilema. Kubu ini menyelamatkan juga kaum lain dan agama
lain kerana kita semua adalah Manusia.
“Tidak Aku Utuskan dikau (wahai Muhammad) Melainkan untuk
bawa Rahmat kepada semua alam ini”
Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia
Naib Presiden AMANAH
(Diambil daripada artikel Dr. Mujahid Yusof Rawa bertajuk, "Hannah Yeoh, Jadi Melayu Muslim Pun Susah" bertarikh 18 Mei 2017)