Pada bulan lepas, saya telah membeli sebuah buku bertajuk
“Becoming Hannah” apabila berpeluang untuk menemuramah Hannah Yeoh sebagai
tetamu khas bagi program “Helo Roket”. Helo Roket merupakan sebuah program temu
bual DAP bersama pemimpin politik bagi membincangkan isu-isu semasa Malaysia.
Pada mulanya, membaca buku tersebut boleh dikatakan sebagai
“homework” saya, kerana telah menjadi kebiasaan saya untuk membuat sedikit kaji
selidik mengenai tetamu khas Helo Roket sebelum menemuramah mereka pada setiap
episod. Tetapi tidak lama kemudian, “homework” tersebut telah menjadi biografi
kegemaran saya.
Tidak dinafikan, buku Hannah Yeoh memang menarik untuk
dibaca dan berjaya menyentuh hati saya. Buku beliau telah menjadi sumber
inspirasi buat saya, kerana saya juga seorang yang masih baru dalam perjuangan
politik, dan buku tersebut telah membantu memberikan ilham dan kekuatan pada
diri saya, apabila isi kandungannya menceritakan perjalanan seorang rakyat
Malaysia dalam mengorbankan dirinya demi melakukan sesuatu untuk tanah airnya.
Saya merasa begitu terkait dan terharu, kerana saya juga
terpanggil untuk menyumbangkan sesuatu untuk tanah air ini. Saya mahu bangkit
berjuang seperti beliau untuk memastikan tiada kekesalan dalam diri saya di
kemudian hari, apabila tidak melakukan apa-apa untuk menyelamatkan negara kami
daripada kleptokrasi.
Namun, isi kandungan buku ini jauh sekali daripada mampu
mencabar atau mengugat keimanan diri saya terhadap Tuhan saya, Allah.
Keimanan saya tidak akan tercabar hanya kerana kisah
pengalaman Hannah Yeoh di dalam buku biografinya. Pada saya, ianya terletak di
tangan Tuhan, bagaimana Tuhan hendak menunjukkan jalannya kepada umat yang
lain, walaupun umat itu bukanlah seseorang yang beragama Islam.
Itu adalah keputusan takdir daripada-Nya dan bukanlah hak
saya ataupun sesiapa yang lain untuk menghukum ataupun menilai takdir tersebut.
Namun, tidak kiralah apa jua takdir Hannah Yeoh, pengalaman beliau tidak
mewakili pengalaman umat di seluruh alam dan tentu sekali tidak akan
menjejaskan kepercayaan saya terhadap agama saya.
Jujur saya katakan, saya merasakan begitu terkesan sebagai
seorang umat Islam, apabila Kamarul Zaman Yusoff mengatakan buku biografi
Hannah Yeoh itu mampu mencabar keimanan dan ketakwaan saya. Kenyataan Kamarul
Zaman menggambarkan seolah-olah begitu tipisnya keimanan umat Islam di
Malaysia, dan begitu senang iman itu boleh dimusnahkan, hanya dengan sebuah
buku biografi yang ditulis seorang ahli politik.
Pada saya, jika iman seseorang itu boleh digugat sebegitu
senang oleh sebuah buku biografi, maka masalah keteguhan iman seseorang itu
terletak pada dirinya sendiri, bukannya tanggungjawab Hannah Yeoh.
Sepanjang karier politik Hannah Yeoh sebagai seorang wakil
rakyat, beliau pernah menghadiri pelbagai jenis program perayaan umat Islam di
dalam masjid mahupun surau. Namun, beliau tetap seorang penganut Kristian yang
begitu komited terhadap kepercayaannya.
Jika ini merupakan satu pengajaran buat saya, maka
pengajaran itu adalah kita harus yakin terhadap kepercayaan agama kita,
bukannya begitu mudah untuk melepaskan akidah kita hanya kerana mengetahui
tentang pengalaman hidup orang lain.
Untuk Kamarul Zaman, mungkin dirinya kagum dengan kehebatan
“Tuhan Hannah Yeoh”. Namun bagi saya, itu adalah kelemahan iman diri Kamarul
Zaman sendiri dan ingin saya menasihatkannya perbanyakkan istighfar. Pada saya,
tidak kiralah apa-apa cerita ataupun kisah yang telah ditulis Hannah Yeoh,
tidak perlulah kita sebagai umat Islam kagum terhadap kepercayaan atau Tuhan
orang lain, jika kita benar-benar mempunyai akidah yang kuat.
Pengalaman Hannah Yeoh semestinya tidak boleh dibandingkan
dengan pengalaman ataupun kepercayaan saya kepada Tuhan saya. Malah, jika
seseorang umat Islam boleh dipengaruhi begitu senang ataupun terpujuk hanya
dengan sesebuah penulisan, maka ingin saya persoalkan bagaimana pula dengan
filem-filem Hollywood yang selalu menyebarkan ajaran Kristian? Adakah perlu
diharamkan juga?
Bagaimana pula dengan dakwah-dakwah Kristian yang begitu
senang didapati dalam laman sosial seperti Youtube. Adakah perlu diharamkan
juga? Dan akhirnya, begitu banyak negara barat yang majoriti rakyatnya adalah
penganut Kristian, adakah kita perlu mengharamkan umat Islam di Malaysia untuk
melawat negara tersebut? Jika jawapannya ya, berapa banyak lagi perkara yang
perlu kita haramkan untuk memastikan iman umat Islam di Malaysia ini tidak
tergugat?
Kamarul Zaman jelas mengejek kepercayaan dan keimanan saya.
Maaf, tetapi iman saya terletak pada diri saya sendiri dan bukannya pada orang
lain. Oleh itu, kenyataan Kamarul Zaman merupakan satu penghinaan terhadap saya
dan umat Islam di Malaysia, kerana kenyataannya memberikan gambaran seolah-olah
iman umat Islam di Malaysia ini senipis kulit bawang.
Pada saya, komitmen Hannah Yeoh terhadap kepercayaan agama
beliau adalah soal peribadi beliau dan saya menghormati kepercayaan beliau.
Malah, saya lebih senang dengan seorang wakil rakyat yang memilih untuk komited
terhadap kepercayaan agamanya daripada seorang wakil rakyat yang komited
terhadap kesenangan dan kekayaan hidup di dunia.
Jamaliah Jamaluddin ialah ahli Majlis Bandaraya Petaling
Jaya (MBPJ), pembantu khas Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin dan hos program
temu bual “Helo Roket” yang disiarkan secara langsung di Facebook DAP.
(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "'Tuhan Hannah Yeoh': Iman Umat Islam Tak Senipis Kulit Bawang" yang ditulis oleh Jamaliah Jamaluddin bertarikh 18 Mei 2017)
(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "'Tuhan Hannah Yeoh': Iman Umat Islam Tak Senipis Kulit Bawang" yang ditulis oleh Jamaliah Jamaluddin bertarikh 18 Mei 2017)