Pengarang Karim Raslan bersama Adun Subang Jaya dan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh - Foto The Malaysian Insight |
Oleh Karim Raslan:
Istilah "Meng-Ahok-kan" telah memasuki kamus politik Indonesia. Ianya bermaksud mendakwa seseorang (paling elok seorang musuh politik) menista agama.
Istilah "Meng-Ahok-kan" telah memasuki kamus politik Indonesia. Ianya bermaksud mendakwa seseorang (paling elok seorang musuh politik) menista agama.
Semua orang tahu saya seorang peminat besar Indonesia. Tetapi dengan pemenjaraan Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok, Indonesia telah gagal menjadi dirinya yang lebih baik dan menimbulkan kebimbangan besar di kalangan minoritinya sendiri.
Malaysia kini berhadapan dengan satu situasi yang kelihatan mengekori kes Ahok yang diketahui ramai itu. Ianya melibatkan seorang ahli politik rakyat yang bekerja kuat dan sangat disayangi bernama Hannah Yeoh Tseow Suan.
Pertama kali saya bertemu dengan Yeoh - yang adalah ahli DAP - adalah pada 2013 dan sejak masa itu saya mengikuti jejak karirnya.
Hakikatnya, selepas pilihanraya tahun 2013, saya menulis bahawa pengundi-pengundi di kawasan dewan undangannya di Subang Jaya, yang pada waktu itu 29.2% Melayu dan 68.8% bukan Melayu, "suka Hannah Yeoh kerana dia bekerja sangat kuat dan ikhlas serta senang didekati. Fakta bahawa dia adalah petugas DAP adalah perkara yang kurang utama."
Yeoh telah diundi semula dengan majoriti besar 28,069 undi. Dia kemudiannya akan menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, wanita pertama, dan ahli undangan yang termuda dalam sejarah untuk memegang jawatan itu.
Saya sentiasa memikirkan Yeoh sebagai seorang ahli politik yang hebat dan, lebih penting lagi, seorang yang baik.
Pintar dan bertekad tinggi, dia mendedikasikan diri untuk kebaikan awam.
Oleh itu, saya merasa sedih mendengar bahawa satu laporan polis telah dibuat terhadapnya.
Yeoh telah dituduh cuba mengubah agama orang-orang Muslim, yang merupakan kesalahan di negara kita.
Mengapa? Kerana kisah hidupnya, "Becoming Hannah", dikatakan mengandungi petikan kata-kata daripada Alkitab.
Ini melucukan, tidak ada orang yang memaksa sesiapa untuk membaca bukunya.
Saya mungkin menggemari Yeoh, tetapi saya tidak mungkin ingin membaca kisah-kisah politiknya. Hidup terlampau singkat dan Subang Jaya adalah salah satu tempat yang paling kurang disukai saya.
Begitupun, Yeoh telah membuat satu laporan terhadap pendakwanya dan saya tidak ada keraguan bahawa dia akan dibenarkan jika dibawa ke proses undang-undang.
Saya juga berharap dengan ikhlas bahawa dakwaan-dakwaan itu tidak ada kaitan dengan pilihanraya yang mendatang, di mana Selangor dijangka menjadi medan sengit yang penting.
Sebenarnya, jika kita mengkaji sejarah, kita akan mempelajari bahawa mencampur adukkan agama dengan politik selalu berakhir dengan kemusnahan. Tidak ada pengecualiannya dalam perkara ini.
Indonesia telah mempelajarinya dengan cara yang keras - pemenjaraan Ahok telah merosakkan reputasi baik Republik itu dalam pluralisme di pentas dunia. Ini akan membangkitkan kebimbangan golongan minoriti, dan tentu juga para pelabur.
Apa yang lebih membimbangkan lagi, permasalahan yang dihadapi oleh Hannah telah berlaku berikutan beberapa perselisihan di antara orang-orang Muslim dan bukan Muslim di Malaysia.
Insiden-insiden itu boleh dibahaskan telah timbul daripada perasaan kurang terjamin orang-orang Melayu-Muslim - samada berkenaan lokasi rumah-rumah ibadah atau dakwaan kandungan "tidak halal" dalam makanan mahupun berus cat.
Tetapi saya tak pernah faham kenapa kita sebagai Melayu-Muslim harus merasa begitu.
Lihat saja faktanya: pada 2016, Jabatan Statistik menganggarkan bahawa 68.6% populasi Malaysia adalah Bumiputera, di mana orang-orang Melayu adalah sebahagian daripadanya.
Tambahan lagi pada 2015, laporan "Masa Hadapan Agama-Agama Dunia" oleh Pew Research Center telah menunjukkan bahawa orang-orang Muslim akan menjadi 72.4% populasi Malaysia pada 2050, atau 32,7 juta daripada 45.2 juta yang diunjurkan.
Orang-orang Kristian Malaysia, sebaliknya, akan kekal pada hanya 9.4%, manakala semua agama lain akan melihat bahagian mereka semakin berkurang.
Dan juga, kedudukan Melayu dan Islam adalah terjamin oleh Perlembagaan. Tempat kita dalam politik, pemerintahan, pertahanan dan perniagaan adalah semuanya terjamin.
Jadi dengan itu, kenapakah kita harus merasa begitu takut dan diserang pada setiap waktu?
Mengapakah kita harus memberikan reaksi begitu negatif apabila orang-orang bukan Muslim secara awam dan aman mengamalkan agama mereka - yang juga adalah satu hak yang dijamin oleh Perlembagaan?
Memang benar bahawa orang-orang Melayu-Muslim adalah komuniti majoriti dan penjaga negara ini.
Tetapi marilah kita juga tidak melupakan bahawa semua rakyat Malaysia, tanpa mengira apa pun kaum atau agama mereka, mempunyai bahagian dalam negara ini dan masa depannya.
Seperti yang pernah dikatakan oleh Tunku Abdul Rahman, "Semua orang mempunyai tempat di bawah mentari di Malaysia."
Saya tidak menyangkal bahawa orang-orang Melayu-Muslim sedang menghadapi banyak cabaran dan ancaman.
Tetapi rakyat senegara kita yang bukan Muslim - seperti Hannah Yeoh - bukanlah salah satu daripadanya. - 18 Mei 2017.
(Diterjemahkan daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Who's Afraid of Hannah Yeoh?" yang ditulis oleh Karim Raslan bertarikh 18 Mei 2017)
(Diterjemahkan daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Who's Afraid of Hannah Yeoh?" yang ditulis oleh Karim Raslan bertarikh 18 Mei 2017)