Sabtu, 20 Mei 2017

Pemuda PAS Sokong Pensyarah UUM Tentang Buku Yeoh


PEMUDA PAS mendesak ahli akademik tempatan untuk bangkit menentang “ancaman halus tapi bahaya”, sebagai sokongan parti itu kepada pensyarah Kamarul Zaman Yusoff yang mendakwa buku autobiografi ahli politik DAP Hannah Yeoh ada unsur hendak memurtadkan rakyat Malaysia.

Naib ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata perdebatan mengenai buku Yeoh “Becoming Hannah: A Personal Journey” tidak lagi dalam asas akademik, kerana Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan membenarkan pengawalan atau sekatan terhadap penyebaran mana-mana doktrin atau kepercayaan agama terhadap umat Islam.

“Kami sokong sepenuhnya usaha ahli akademik seperti Dr Kamarul, yang membuka mata masyarakat terhadap usaha terpencil tetapi bahaya seperti ini.

“Sekatan dalam Perlembagaan Persekutuan jelas bertujuan menghentikan sebaran agama lain kepada umat Islam dalam apa juga bentuk termasuk bahan bertulis seperti bibliografi,” katanya dalam satu kenyataan.

Yeoh menerbitkan buku itu pada 2014 tetapi ia menjadi kontroversi baru-baru ini apabila pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata speaker DUN Selangor berkenaan menyebarkan fahamannya.

Fadhli berkata Pemuda PAS menyokong kebebasan bersuara selagi ia tidak digunakan untuk memurtadkan umat Islam.

“Maka, mendedahkan propaganda seperti itu sangat dipuji dan dihargai,” katanya, menambah kumpulan itu juga menyokong usaha Kamarul membuat laporan polis terhadap Hannah.

Kamarul membuat laporan polis di Kedah sebagai balasan kepada laporan polis dibuat Yeoh terlebih dahulu terhadap post Kamarul di Facebook pada 10 Mei, yang mendakwa hipokrasi DAP dalam perkara membabitkan agama.

Kamarul memetik Yeoh, seorang Kristian sebagai contoh DAP hanya mahu mengasingkan agama daripada politik jika ia membabitkan Islam.

Yeoh menafikan ada agenda rahsia dalam bukunya kerana ia sudah pun dilancarkan pada 2014 dan dirasmikan Januari 2015. – 20 Mei, 2017.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Pemuda PAS Sokong Pensyarah UUM Tentang Buku Yeoh" bertarikh 20 Mei 2017)