Bagi semua peminat bola sepak, nama Neymar memang tak asing lagi sebagai bintang pasukan Brazil. Kemahiran dan kehandalannya ketika mewakili kelabnya Barcelona dan negaranya Brazil memang dikagumi. Namun begitu Neymar hanyalah seorang daripada sebelas pemain yang mewakili pasukannya. Sepenting-pentingnya Neymar kepada pasukannya, namun setiap pemain adalah penting untuk membawa kejayaan pasukan. Neymar sendiri pasti mengakui bahawa pemain-pemain di sekelilingnya sangat membantunya menyempurnakan tugas sebagai penyerang dan penyudah di barisan depan.
Setiap pemain penting dalam pasukan. Begitu juga setiap pelayanan penting dalam kerajaan Tuhan. Tidak kira apa bahagian pelayanan anda, anda penting dalam pekerjaan Tuhan. Tidak kira pelayanan anda kecil atau besar, anda penting dalam pelayanan Tuhan. Jika anda menggembalakan gereja yang besar, anda penting dalam kerajaan Tuhan; jika anda menggembalakan gereja yang kecil, anda juga penting dalam kerajaan Tuhan.
Jika tiada pemain pertahanan menghantar bola kepada pemain tengah, yang seterusnya menghantar bola kepada pemain sayap, yang meleret bola kepada pemain serangan di hadapan gol lawan, bagaimanakah pemain Neymar dapat menjaringkan gol? (Ya, saya tahu, kadang-kala bola dilambung terus dari pertahanan kepada pemain serangan!)
Begitu jugalah kita yang melayani di kampung-kampung dan pekan-pekan kecil. Sumbangan kita tidak kurang pentingnya berbanding gereja-gereja besar di kota. Jika bukan guru sekolah minggu yang setia melayani anak-anak di kampung, bagaimanakah mereka akan menjadi pelayan dan pemimpin masa depan gereja yang kuat apabila mereka dewasa? Jika bukan kerana pastor dan pemimpin yang melayani dengan setia di kampung, bagaimanakah kita dapat mengutus pemuda-pemudi yang kuat dari kampung untuk melayani ketika mereka berhijrah ke kota?
Mungkin kita tidak menyedarinya, tetapi sebenarnya setiap kita mempunyai bahagian yang penting dalam pelayanan.
"Setiap Pemain Penting Dalam Pasukan,
Setiap Pelayanan Penting Dalam Kerajaan Tuhan."
- Corat-Coret Si Domba Putih