Susanna Liew, isteri Pastor Raymond Koh (Gambar The Malaysian Insight) |
Di tingkat satu sebuah rumah kedai di Taman Sri Manja,
Petaling Jaya, seorang wanita kelihatan menyusun buku di rak.
Tempat itu kemas, dengan dua meja dan beberapa kerusi
diletakkan di bahagian tengah unit itu. Di sebuah bilik berasingan ada beberapa
komputer kelihatan.
Selepas ditutup selama kira-kira seminggu pada Februari,
Harapan Komuniti kini beroperasi semula seperti biasa. Ia pusat bacaan dan
pembelajaran dibuka oleh Pastor Raymond Koh yang hilang sejak hampir dua bulan
lalu.
Pusat itu dibuka pada 2004, usaha yang tidak berorientasikan
keuntungan ditubuhkan oleh Koh bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan dan
persahabatan, tanpa mengira kaum, bangsa atau status sosial.
Pada masa ini, pusat itu membantu kanak-kanak miskin di
sekitar kawasan itu. Kebanyakannya anak yang mempunyai ibu bapa Indonesia dan
Malaysia.
Di pusat itu pada masa ini mempunyai empat kanak-kanak
berumur lima hingga 10 tahun yang datang setiap hari untuk menghadiri kelas.
Pada hujung minggu, ada lebih ramai pelajar.
Mereka datang untuk belajar perkara asas – Bahasa Malaysia,
Bahasa Inggeris dan Matematik. Bagi kanak-kanak lebih kecil, mereka belajar
membaca dan menulis.
Hanya ada satu staf di pusat itu, Salvee yang menguruskan
dan mengajar kanak-kanak di situ.
Harapan Komuniti juga bekerjasama dengan kaunseling kesedaran HIV/Aids dan menyediakan bantuan kepada ibu tunggal.
Salvee memberitahu The Malaysian Insight yang Koh bercadang
untuk menambah lagi program serta mendapatkan lebih ramai sukarelawan, tetapi
semuanya tergendala kerana kehilangannya.
“Kanak-kanak di pusat ini juga kerap bertanya di mana Uncle
Raymond dan apa berlaku padanya? Mereka kata ‘Dia bukan orang jahat, dia orang
baik’,” katanya.
Salvee berkata sewa premis dan bil utiliti dibayar oleh
isteri Koh, Susanna Liew.
“Keluarga itu bersungguh terhadap kerja Koh dan mereka mahu
terus membuka pusat itu. Anak Koh juga ada sesekali datang untuk menjadi
sukarelawan,” katanya.
Koh diculik pada 13 Februari ketika memandu di Jalan SS4B/10
di Petaling Jaya. Sekumpulan 15 lelaki dalam kereta SUV hitam menculiknya dan
ia dilihat seperti operasi yang dirancang dengan teliti.
Tiada permintaan wang tebusan atau komunikasi dengan
penculik, memberi gambaran yang wang bukan motif penculikan itu.
Awal minggu ini, Suruhanjaya mengenai Kebebasan Beragama di
Amerika Syarikat dalam laporan tahunannya berkata pihak berkuasa agama Malaysia
sebelum ini pernah mengganggu Koh selepas mengesyaki beliau menggalakkan umat
Islam menukar agama kepada Kristian.
Laporan itu menambah ketakutan itu ditambah lagi dengan
laporan yang ketua agama diganggu dan diculik.
Keluarga Koh enggan mengulas laporan itu.
Beberapa minggu lalu, ketika timbul dakwaan Koh menukar
agama umat Islam, isterinya Susanna berkata: “Saya terkejut kerana ini kali
pertama saya mendengar perkara itu.”
“Walau apa pun yang berlaku (merujuk kepada laporan kerja
dakwah Koh), tidak ada justifikasi untuk menculik seseorang,” katanya.
Beliau kemudian mengulas mengenai laporan berita memetik
Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar sebagai berkata polis menerima laporan
mengatakan Koh melakukan cubaan berdakwah kepada beberapa belia di Kangar,
Perlis.
Berhubung laporan terkini jawatankuasa AS itu, keluarga itu
sekali lagi enggan memberi komen tetapi jurucakap kepada mereka berkata setahu
mereka, gangguan yang diterima Koh hanyalah apabila beliau menerima dua butir
peluru pada 2011.
Kejadian itu berlaku selepas serbuan Jabatan Agama Islam
Selangor (Jais) di sebuah program di Gereka Methodist Damansara Utama di mana
Koh menganjurkan makan tengah hari yang turut dihadiri umat Islam.
Difahamkan, keluarga Koh kini memberi tumpuan kepada
perjalanan Harapan Komuniti untuk terus menghidupkan harapan Koh sehinggalah
kepulangannya nanti.
Sementara itu, gereja dan kumpulan persatuan sivil tidak
akan membiarkan kehilangan Koh terus dilupakan.
Mereka terus menganjurkan beberapa siri vigil memperingati
pastor yang masih hilang itu di Dataran Merdeka dan beberapa kawasan lain di
Lembah Klang.
Vigil juga diadakan di Sabah dan Sarawak.
Ahad ini, satu acara mengenang Koh dan cuba mencari jawapan
kepada kehilangannya akan diadakan di Ipoh, Perak dengan beberapa speaker akan
bercakap dan memberi tekanan kepada pihak berkuasa supaya memberikan jawapan
terhadap penculikan itu. – 4 Mei, 2017.