Pelakon "The Passion of the Christ", Jim Caviezel berkata bahawa setelah dia melakonkan watak Yesus, dia secara mendadak ditolak oleh Hollywood -- sama seperti Kristus yang ditolak oleh manusia sewaktu Dia di dunia.
"Secara tiba-tiba saya berhenti menjadi salah satu daripada lima pelakon lelaki paling popular di studio, dan saya tidak berbuat apa-apa yang salah. Saya hanya melakonkan watak Yesus," pelakon itu memberitahu wartawan dan pengkritik filem Poland, Lukasz Adamski mengenai karirnya berikutan "The Passion". "Adakah saya terkilan secara peribadi oleh penolakan itu? Semua orang perlu memikul salibnya. Dunia akan berubah... tetapi saya tidak akan ada di dunia selamanya. Begitu juga dengan penerbit-penerbit dari Hollywood. Pada satu ketika semua orang perlu memberi pertanggunganjawab atas apa yang mereka lakukan."
"The Passion of the Christ" yang mula ditayangkan pada 2004, telah mencapai kejayaan besar secara komersial, mendapatkan jumlah besar $612 juta di sekeliling dunia, dengan bajet penerbitan $30 juta, menjadikannya filem keagamaan yang menjana pendapatan tertinggi dalam sejarah. Filem itu juga menerima tiga pecalonan di Anugerah Academy ke-77.
Pelakon 48 tahun itu, yang kemudian telah muncul dalam rancangan TV "People of Interest," berkata ianya bukan kebetulan bahawa ketika dia memainkan peranan Yesus, dia berusia 33 tahun, dan nama singkatnya adalah J.C.
"Jangan katakan bahawa itu satu kebetulan! Tidak ada kebetulan sebenarnya. Saya sering mendengar orang mengatakan mengenai "kebetulan" dan "nasib". Fahaman sekular mempengaruhi seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat. Hanya ateis yang percaya kepada kebetulan," kata Caviezel.
"Tidak ada kebetulan bagi Tuhan. Bila Tuhan membangkitkan orang dari mati, mereka juga akan katakan bahawa itu adalah kebetulan."
Caviezel menambah bahawa sepertimana orang percaya yang lain, dia juga kadangkala mengalami pergumulan mengenai iman. Walau bagaimanapun, walau apa pun peranan yang dimainkannya, atau kerja yang diterimanya, dia tidak pernah melupakan nama Yesus.
"Kasih itu ada kontroversinya, dan Dia adalah kasih yang menjadi manusia. Yesus memberitahu orang-orang Rum mengenai kasih dan mereka membunuh Dia kerana itu. `Siapakah Dia untuk mengajar aku apakah aku harus menjadi?' mereka bertanya secara angkuh. Dia telah dikhianati oleh orang-orangnya sendiri, dan ditinggalkan oleh semua orang," tambahnya.
"Tugas saya bukanlah hanya untuk menampilkan semuanya di skrin. Tugas saya yang sebenar adalah untuk hidup menurut Injil setiap hari dan memberi kesaksian mengenai kebenaran."
Caviezel yang dengan isterinya, telah mengambil sebagai anak tiga orang kanak-kanak yang mengidap kanser, juga berkata dia akan sangat senang hati memainkan suatu peranan dalam filem susulan Gibson kepada "The Passion of the Christ" yang sedang dirancangkan: "Saya ingin bekerjasama dengan Gibson lagi. Kali ini ianya adalah filem mengenai kebangkitan. Jika "The Passion of the Christ" telah menginspirasikan begitu ramai orang untuk melakukan kebaikan, kenapa kita tidak mencuba lagi? Saya rasa seperti ada tujuan dalam hidup saya lagi," katanya.
"Itulah sebabnya saya berlakon dalam siri TV mengenai seorang lelaki yang sedang mencari tujuan selama lima tahun yang lepas. Saya tidak lakukan hanya untuk wangnya. Saya lakukan kerana kasih. Itu adalah misi Kristian saya."
(Diterjemahkan oleh SDP dariapda artikel The Gospel Herald bertajuk, "'Passion of the Christ' Star Jim Caviezel Says Hollywood 'Rejected' Him After He Played Jesus Christ" yang ditulis oleh Leah Marieann Klett bertarikh 3 Mei 2017)