Sabtu, 17 Jun 2017

Kumpulan Kristian Menggesa Perdana Menteri Melindungi Hak-Hak Setiap Rakyat

Foto Free Malaysia Today

Persekutuan Kebangsaan Kristian Evangelikal (NECF) hari ini telah menggesa Perdana Menteri untuk melindungi hak-hak rakyat Malaysia, dan meminta setiap anggota kerajaan untuk bersuara selepas satu gabungan kumpulan Islam menyifatkan Kristian Evangelikal sebagai "pergerakan yang berbahaya" dan menggesa untuknya diharamkan.

Pengerusi NECF, Dr Eu Hong Seng menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan ke atas Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra), Azril Mohd Amin kerana "pandangannya yang ekstrim" dan mengecam Utusan Malaysia kerana menerbitkan artikel itu.

Azril telah menulis bahawa kerajaan harus mengharamkan Kristian Evangelikal, oleh kerana ianya "pergerakan yang berbahaya."

"Azril harus membekalkan bukti sokongan sebelum mendakwa bahawa Kristian Evangelikal adalah sebuah 'pergerakan berbahaya.'

"Laporan-laporan kedua-dua media tempatan dan antarabangsa berkenaan ekstrimisme dan terorisme tidak menyebut penglibatan Kristian Evangelikal Malaysia dalam aktiviti-aktiviti seperti itu.

"Dengan itu, penulisan Azril adalah tidak bertanggungjawab, bersifat menghasut dan menimbulkan kebencian dan buruk sangka terhadap Kristian Evangelikal.

"Ianya juga sangat tidak menyenangkan bahawa pandangan-pandangan yang radikal dan ekstrim ini diterbitkan oleh Utusan Malaysia, sebuah akhbar kebangsaan," kata Eu, yang menambah bahawa akhbar tersebut dan penulis tersebut harus disiasat di bawah Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan kerana menimbulkan kebencian di kalangan rakyat yang berbeza agama.

Eu berkata bahawa seruan agar kerajaan untuk menubuhkan "undang-undang anti-evangelikalisme" seperti Akta Yarovaya di Rusia untuk membendung ekstrimis agama dan terorisme, adalah tidak patut dan sangat provokatif.

"Untuk menyerang orang-orang Kristian dengan cara begini melanggar hak asasi kemanusiaan dan perlindungan-perlindungan yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan kita.

"Artikel 11(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa setiap orang mempunyai hak untuk menganut dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Artikel 11(4), untuk menyebarkannya.

"Pengisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia, yang mana Malaysia merupakan salah satu daripada penanda tangannya, dengan jelas menyatakan perlindungan sejagat untuk hak asasi manusia dalam kebebasan berfikir, memiliki hati nurani dan beragama."

Azril telah mengatakan pengharaman Evangelikalisme adalah sejajar dengan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan, ke arah memelihara keamanan di antara agama.

Eu berkata Kekristianan adalah berdasarkan kasih; pengikut-pengikutnya diperintahkan untuk mengasihi dan mengampuni orang-orang yang menyalahi mereka. Itulah yang telah diajar kepada mereka untuk dikongsikan dan diamalkan.

"Kami menyeru kepada Perdana Menteri untuk memastikan bahawa hak-hak setiap rakyat negara ini yang terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan tanpa mengira anutan agama mereka, akan dilindungi, ditegakkan dan dikuatkuasakan.

"Kami menyeru kepada Perdana Menteri dan setiap anggota kerajaan untuk menyuarakan dan berpegang pada amanah jawatan yang dipikul mereka, dan untuk menegakkan hak-hak asasi semua warganegara, termasuk orang-orang Kristian minoriti di negara ini dengan mengecam kenyataan-kenyataan seperti ini yang dibuat dan diterbitkan oleh peribadi-peribadi yang mengancam keamanan, keharmornian dan rasa muhibah yang dinikmati di Malaysia.

Lebih awal hari ini, peguam perlembagaan Shahredzan Johan memberitahu The Malaysian Insight bahawa setiap rakyat Malaysia mempunyai hak menganut dan mengamalkan agamanya mengikut Perlembagaan Persekutuan, dan hak itu tidak boleh disekat atau dinafikan oleh kerajaan.  

Peguam itu menambah bahawa untuk mengharamkan evangelikalisme di sini adalah bertentangan dengan Perlembagaan terutamanya apabila gereja beribadah secara tertutup tanpa menyebarkan agama kepada orang-orang Muslim - 16 Jun 2017.

(Diterjemahkan daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Christian Group Urges PM To Stand Up For Every Malaysian's Rights" yang ditulis oleh Low Han Shaun bertarikh 16 Jun 2017)