Jumaat, 16 Jun 2017

Suhakam Siasat Kehilangan Pastor Raymond, 3 Lain


PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan menyiasat kehilangan Pastor Raymond Koh dan 3 individu lain yang hilang tahun lepas.

Pengerusi Tan Razali Ismail dalam kenyataan hari ini berkata masih banyak yang perlu dilakukan dalam kes Raymond, Amri Che Mat, Pastor Joshua Hilmy dan isteri Ruth Hilmy.

“Semua mangsa dan keluarga terlibat mempunyai hak untuk mengetahui apakah sebenarnya berlaku, hak akses yang berkesan bagi mendapatkan keadilan serta hak memperolehi pampasan,” katanya.

“Hak untuk mengetahui kebenaran merupakan asas isu ini yang dimensi secara individu dan menyeluruh. Orang awam berhak untuk mengetahui tentang keadaan orang yang hilang.”

Koh, 62, diculik dari keretanya oleh sekumpulan lebih 10 orang lelaki yang berkonvoi pada 13 Februari lepas.

Rakaman kamera litar tertutup memaparkan sekurang-kurangnya 3 SUV hitam terlibat dalam penculikan itu. Ramai berspekulasi penculikan itu ada kaitan dengan cubaan menyebarkan agama Kristian, walaupun keluarganya menafikan dakwaan itu.

Aktivis sosial Amri, 44, pengasas bersama persatuan kebajikan Perlis Hope, hilang sejak 24 November lepas.

Isterinya, Norhayati Ariffin berkata saksi berkata 5 kenderaan menghalang laluan kereta Amri sebelum beliau dibawa pergi, kira-kira 550 meter dari rumah mereka di Bukit Chabang, Perlis.

Sementara Joshua dan Ruth kali terakhir dilihat pada 30 November tahun lepas.

Suhakam menyeru individu yang mempunyai maklumat berkaitan dan penting tampil supaya kenyataan mereka boleh dirakam mulai hari ini sehingga 7 Julai.

Kenyataan juga boleh dirakam melalui telefon dengan menghubungi bahagian aduan Suhakam di talian 019-3338490.

“Berdasarkan maklumat berkaitan yang diperolehi daripada orang awam dan hasil siasatan Suhakam yang berterusan, Suhakam akan menggunakan segala maklumat yang diperolehi ini untuk tidakan selanjutnya,” katanya.

Suhakam juga menyeru pihak berkuasa untuk “menyiasat sepenuhnya semua kes dengan segera” jika terdapat keraguan munasabah tentang kemungkinan berlakunya kehilangan secara paksa.

Suruhanjaya berkata kebolehsediaan maklumat berhubung isu berkepentingan awam penting bagi masyarakat demokratik yang mengiktiraf ketelusan.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Suhakam Siasat Kehilangan Pastor Raymond, 3 Lain" bertarikh 16 Jun 2017)