"Kebaktian Penyembuhan Kebangunan Rohani Borneo" berjalan tanpa masalah di Sandakan pada Rabu lalu (Foto The Malaysian Insight) |
SETIAP rakyat Malaysia ada hak untuk mengamalkan agama
masing-masing mengikut perlembagaan dan hak itu tidak boleh disekat atau
dinafikan oleh negeri, kata peguam perlembagaan berhubung gesaan supaya
mengharamkan Evangelikalisme di Malaysia.
Peguam Syahredzan Johan berkata untuk mengharamkan
Evangelikalisme di sini bermakna melanggar perlembagaan terutama jika gereja
melakukan upacara keagamaan secara tertutup tanpa menyebarkan kepada Muslim.
“Pengharaman Kristian Evangelical tidak mengikut
perlembagaan. Kita bercakap mengenai agama Kristian, dan Artikel 11(1) jelas
menyatakan semua orang ada hak mengamalkan agama masing-masing.
“Hak itu tidak boleh disekat atau dinafikan. Jadi tidak ada
asas untuk kerajaan mengharamkannya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pusat Penyelidikan dan Sokongan Hak Asasi Manusia (Centhra),
satu gabungan kumpulan Islamik berkata pengharaman itu selaras dengan Artikel
11 Perlembagaan Persekutuan, dalam memelihara keamanan dalam kalangan agama.
Bagaimanapun, Syahredzan berkata satu-satunya sekatan yang
boleh dikenakan ialah berhubung penyebarannya kepada umat Islam, di mana
undang-undang untuk kesalahan itu sudah pun ada.
“Tetapi jika gereja Evangelikalisme mengadakan upacara agama
secara tertutup dan tanpa penyebaran, maka tidak ada asas untuk kerajaan
mengharamkannya,” katanya.
“Artikel 11 menjamin kebebasan beragama. NGO itu salah
kerana bergantung pada Artikel 11. Artikel 11 tidak menyokong apa yang mereka
kata.
“Itu bukan memetik di luar konteks. Itu mengabaikan
perkataan jelas dalam Artikel berkenaan.
Kamarul Yusoff, pensyarah Universiti Utara Malaysia
yang mendakwa Speaker Selangor Hannah Yeoh berdakwah kepada umat Islam, turut
menggunakan Seksyen 4(1) Enakmen Kawalan dan Hukuman (penyebaran agama bukan
Islam) Selangor 1988 dan Seksyen 298 (A) (1) Kanun Keseksaan yang menyentuh isu
sama berkenaan memelihara keamanan dalam kalangan agama.
Mengulas perkara itu, Syahredzan berkata Seksyen 298A
diisytiharkan sebagai tidak berperlembagaan oleh mahkamah tertinggi.
“Seksyen 298A tidak boleh diguna pakai untuk keseluruhan
gerakan agama Kristian Evangelical di negara ini. Jika ada, ia hanya untuk
individu yang melakukan kesalahan itu, bukan keseluruhan gereja,” katanya. – 16
Jun, 2017.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight, "Salah Untuk Desak Evangelikalisme Diharamkan, Kata Peguam Perlembagaan" yang ditulis oleh Low Han Shaun bertarikh 16 Jun 2017)