Khamis, 22 Jun 2017

Tidak Begitu Ramai Dijangka Hadir Perhimpunan Kristian Di Miri


DIJANGKA tidak ramai yang akan hadir ke perhimpunan keagamaan Kristian di Miri esok oleh kerana gereja Sarawak telah mengumumkan pembatalan acara asal dua minggu lalu, kata pastor tempatan ketika perdebatan nasional mengenai perhimpunan itu masih hangat.

Kira-kira 1,500 penganut dijangka hadir di Gereja The Rock, sebuah gereja Evangelical Borneo (BEM) di Miri untuk acara tiga hari itu yang akan dipenuhi dengan acara keagamaan termasuk bacaan kitab suci dan kerohanian.

"Kita tidak dapat membuatnya secara besar-besaran kerana pembatalan awal acara itu," kata Pastor Andy Anyi Wan.

Bilangan peserta akan jauh kurang daripada puluhan ribu yang dijangka pada perhimpunan besar-besaran bertema "All Borneo Revival Convocation" itu yang telah dijadualkan diadakan di Sarawak sebelum penganjur memutuskan untuk membatalkannya dua minggu lalu.

Persatuan Gereja Sarawak sebelum ini membatalkan perhimpunan kebangkitan di negeri ini selepas acara sama bertemakan "Jerusalem Jubilee" diharamkan di Melaka setelah dibantah beberapa kumpulan Islam yang mendakwa penganjur tidak sensitif kerana mengadakan perhimpunan itu pada Ramadan.

"Acara ini berbeza dan lebih sederhana," kata Reverend Augustine Saang, jurucakap Good News Ministry yang berpusat di Sabah.

"Akan ada beberapa ratus orang melawat dari Sabah. Mereka ibu bapa pelajar di Curtin University di Miri," katanya.

Empat perhimpunan diadakan tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku di empat lokasi di Sabah dalam tempoh dua minggu lalu, termasuk satu di Keningau di mana 10,000 penganut Kristian hadir pada upacara keagamaan itu.

Sebelum ini, gereja Sarawak membatalkan acara itu walaupun kerana negeri tidak membantah penganjurannya, menyebabkan Menteri Perpaduan dan Integrasi Nasional Joseph Kurup mempersoalkan mengapa acara itu dibatalkan kerana Sarawak mempunyai jumlah populasi Kristian yang besar.

Berikutan pengharaman perhimpunan kebangkitan Melaka, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Pusat (Centhra) Azril Mohd Amin mendesak supaya evangelikalisme diharamkan.

Gesaannya disokong tokoh Islam konservatif yang mendakwa ada kumpulan Kristian berkonspirasi untuk "mengkristiankan" rakyat Malaysia di mana majoritinya beragama Islam.

Pemimpin PKR Sarawak Baru Bian dan Majlis Gereja Sabah menyifatkan komen Azril, yang diterbitkan Utusan Malaysia, sebagai "penuh kemarahan" dan "menghasut". – 21 Jun, 2017.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Tidak Ramai Dijangka Hadir Perhimpunan Kristian Di Miri" bertarikh 21 Jun 2017)