Khamis, 7 Julai 2022

Adakah Mimpi dan Penglihatan Mesej Dari Tuhan?


Peranan mimpi dan penglihatan dalam kehidupan Kristian boleh menimbulkan perbahasan dan kekeliruan di kalangan orang-orang percaya dan di gereja-gereja. Adakah Tuhan masih berbicara kepada umat-Nya melalui mimpi dan penglihatan? Atau adakah zaman untuk mimpi dan penglihatan sudah berlalu dan tidak akan kembali lagi?

Apakah Mimpi dan Penglihatan? 

Pertamanya, kita perlu menjelaskan perbezaan di antara mimpi dan penglihatan. Penglihatan itu terjadi sewaktu seseorang itu terjaga dan sedar; mimpi itu terjadi ketika seseorang itu sedang tidur. Petrus dalam keadaan terjaga ketika penglihatannya mengenai makanan yang tidak tahir (KPR 10:9-23). Yohanes terjaga ketika penglihatannya yang tercatit dalam Wahyu (Wahyu 1:9-11). Sebaliknya, pengurus minuman dan pengurus roti Firaun sedang tidur ketika mereka mendapat mimpi yang ditafsirkan oleh Yusuf (Kejadian 40:5-19). Begitu juga Yusuf, tunang Maria, sedang tidur ketika malaikat berbicara kepadanya dalam mimpi (Matius 1:20-24).

Mimpi dan penglihatan adalah penting bagi ramai daripada kita. Sesetengah orang merasakan hampir setiap mimpi adalah penting dan mereka perlu tahu tafsiran untuk mimpi-mimpi mereka. Mungkin mereka akan merujuk kepada pastor-pastor yang mereka percaya memiliki kurnia penafsiran. Mimpi-mimpi tertentu memiliki pola tradisi untuk penafsiran, manakala yang lainnya tidak. Dalam sesetengah kes, orang yang bermimpi akan mengingati mimpi itu sehingga sesuatu terjadi yang mana dia akan kaitkan kepada mimpi itu.

3 Jenis Mimpi dalam Alkitab

Berdasarkan pengajaran alkitabiah, mimpi dapat dikelaskan dalam tiga kategori: 

Pemprosesan Dari Ingatan Bawah Sedar

Pertamanya, sesetengah mimpi adalah hasil daripada apa yang ada dalam pemikiran seseorang atau tersimpan dalam ingatan bawah sedar. Ini mungkin adalah memori, kejadian masa silam, keinginan yang tidak dinyatakan, dan pengharapan yang tidak dipenuhi. Yesaya mengatakan, "Seorang yang lapar bermimpi ia sedang makan, pada waktu terjaga, perutnya masih kosong" (Yesaya 29:8). Dan Salomo menulis, "Mimpi disebabkan oleh banyak kesibukan" (Pengkhutbah 5:2).

Serangan Rohani 

Keduanya, sesetengah mimpi mungkin mesej palsu daripada musuh-musuh rohani kita (Ulangan 13:1-5, Yudas 1:8). Menerusi Yeremia, Tuhan mengatakan ini mengenai nabi-nabi palsu yang bermulut manis, "Aku akan menjadi lawan mereka yang menubuatkan mimpi-mimpi dusta, demikianlah firman TUHAN, dan yang menceritakannya serta menyesatkan umat-Ku dengan dustanya dan dengan bualnya. Aku ini tidak pernah mengutus mereka dan tidak pernah memerintahkan mereka." (Yeremia 23:32).

Mesej-Mesej Penting

Ketiganya, Tuhan kadangkala memberikan mimpi yang istimewa, seperti dua mimpi yang diterima oleh Firaun dalam Kejadian 41:1-7; mimpi-mimpi yang dialami Yusuf (Kejadian 37:5-10), Salomo (1 Raja-Raja 3:5) dan Nebukadnezar (Daniel 2:28) dan mimpi-mimpi yang mengiringi kelahiran Tuhan Yesus (Matius 1-2). Mimpi-mimpi itu memberi mesej-mesej penting yang hamba-hamba Tuhan perlu fahami. 

Mimpi, Penilaian dan Fiman

Oleh kerana tiada petanda dalam Alkitab bahawa Tuhan telah berhenti menggunakan mimpi, jawapan ringkas samada Tuhan masih berbicara hari ini menerusi mimpi dan penglihatan adalah "Ya." Tetapi kita mesti berhati-hati bagaimana kita mengaplikasikan ini. Ingat bahawa wahyu Tuhan yang istimewa - Alkitab - telah dilengkapkan, dan ianya melingkupi semua perkara yang kita perlu tahu mengenai Tuhan, pekerjaan-Nya dan tujuan-Nya. Kita tidak harus mencari atau menjangkakan wahyu-wahyu baharu yang mengembangkan pengetahuan mengenai Tuhan, doktrin dan Alkitab. Informasi baharu dari mana-mana sumber termasuk mimpi dan penglihatan, mestilah selaras dengan Firman.

Jika Tuhan memilih untuk berbicara dengan seseorang melalui mimpi, mesej mimpi itu akan konsisten dengan, dan bukan bertentangan dengan ajaran-ajaran Alkitab. Ingat bahawa Alkitab telah diilhamkan oleh Tuhan dan bercukupan untuk pengajaran (1 Timotius 3:16).

Apa yang kita lakukan sebagai respons kepada mimpi kita haruslah selaras dengan ajaran-ajaran Alkitab. 

Tuhan Telah Menggunakan Mimpi Di Serata Benua Afrika

Tuhan telah menggunakan mimpi-mimpi untuk membawa orang-orang kepada diri-Nya. Ramai orang Afrika bersaksi bahawa mereka telah memulakan pencarian mereka akan Tuhan, atau telah menjadi orang percaya dalam Yesus, setelah menerima mimpi yang istimewa. 

Di Afrika Utara, kami diberitahu mengenai seorang lelaki yang sangat aktif dalam salah satu persatuan sivil masyarakat. Ayah mertuanya, seorang yang percaya kepada Yesus, telah sering bercakap dengannya mengenai Injil. Tetapi orang ini tak pernah mengendahkannya. Yesus muncul kepadanya dalam suatu mimpi dan berkata, "Semua kerja kebajikan yang kamu buat itu baik, tetapi Aku mahu kamu bersama-Ku di jalan-Ku." Tetapi sedihnya, lelaki ini tidak memberi respons yang positif. Sebaliknya dia menolak mimpi itu dan mesejnya itu kerana kedudukan sosialnya dan apa yang dia perlu korbankan untuk mengikuti Yesus.

Seorang lelaki yang lain dari kawasan yang sama adalah seorang yang belum percaya sehingga Kristus muncul kepadanya pada suatu malam dan berbicara kepadanya dalam mimpi. Mimpi itu telah memulakan perjalanannya mencari sehingga dia menjadi seorang yang percaya. Pada hari ini dia adalah seorang pemimpin di salah sebuah gereja di situ. 

Apa yang ditunjukkan oleh dua kisah itu adalah Tuhan boleh menggunakan mimpi dan penglihatan untuk berbicara kepada orang hari ini. Tetapi akhirnya kita mesti memilih untuk mengikuti dan respons dengan ketaatan.  

Bagaimanakah Kita Harus Respons Terhadap Mimpi?

Apakah yang kita harus lakukan apabila kita mendapat mimpi yang kelihatannya penting?

  • Tuliskan mimpi yang penting supaya anda tidak akan terlupa butir-butir terperincinya.
  • Minta Tuhan memberi anda pengertian samada mimpi anda memiliki makna, dan apakah makna itu, Tuhan boleh mengesahkan makna mimpi itu dengan pelbagai cara lain.
  • Pastikan tafsiran mimpi anda adalah konsisten dengan ajaran-ajaran Alkitab. Tuhan tidak akan memberikan anda sesuatu mesej dalam Firman-Nya dan suatu mesej lain dalam cara yang subjektif  seperti mimpi. 
  • Mendapat pandangan seorang pastor atau seorang Kristian yang matang dan berhikmat, meminta perspektif mereka mengenai mimpi itu.
  • Jika mimpi itu memberi petunjuk mengenai sesuatu yang anda harus lakukan, tunggulah sehingga Tuhan dengan jelas membukakan pintunya. Kesabaran adalah satu syarat biasa yang diperlukan dalam Alkitab. 
  • Jika mimpi itu memberi petunjuk mengenai sesuatu yang anda akan alami, berilah masa untuk Tuhan menggenapkan butir-butir dalam  mimpi itu.
  • Dengan kerendahan hati, janganlah menjadi kecewa jika anda mendapati bahawa mimpi itu bukan suatu pernyataan daripada Tuhan

Tanda-Tanda Mimpi dan Penglihatan Ilahi

Seperti yang ditunjukkan kepada kita oleh penulis-penulis Alkitab, mimpi dan penglihatan biasanya diberikan pada waktu keperluan atau krisis yang tertentu. Sebagai contohnya, ketika anda memerlukan pimpinan atau dorongan yang khusus dari Tuhan. Seringkali ianya terjadi untuk mereka yang mengisytiharkan Injil di kawasan baru.

Mimpi-mimpi Ilahi memuliakan Tuhan dan membantu mendorong orang untuk mengisytiharkan Injil. Mimpi-mimpi itu tidak diberi untuk membawa kemasyhuran atau kemuliaan kepada seseorang individu. Kita tidak harus mengizinkan diri dimanipulasikan oleh seseorang yang berkata, "Saya telah menerima perkataan ini untuk anda dalam mimpi." Kita harus mendengar, berdoa dan menguji mesej itu untuk diri kita untuk mengesahkan samada ianya adalah daripada Tuhan.

Jika Tuhan berbicara kepada anda melalui mimpi, bersukacitalah dan ikutlah arahan Tuhan. Jika Tuhan tidak berbicara kepada anda melalui mimpi, anda bukan kurang bagus atau kurang rohani berbanding orang yang menerima mimpi. 

(Dipetik dan diterjemahkan daripada The Gospel Coalition - Africa Edition bertajuk, "Are Dreams and Visions Messages from God?" bertarikh 13 Nov 2020)