Sabtu, 8 Julai 2017

Kristian Malaysia Tidak Sokong Zionisme, Kata Forum Antara Agama

Dr. Maszlee Malik (kanan) bersama-sama Rev Hwa Yung (kiri) dan moderator
forum, Rev Sivin Kit (tengah) dalam forum antara agama yang diadakan
hari ini (Foto The Malaysian Insight oleh Deborah Loh)

PENGANUT Kristian Malaysia tidak menyokong Zionisme, kata Bishop Emeritus Gereja Methodist Malaysia, Rev Hwa Yung dalam forum antara agama bertajuk ‘Deceitful? Distracting? Or Dedicated? Evangelicals and Current Controversies’ yang diadakan di Menara Wesley di Kuala Lumpur hari ini.

Hwa mengulas persepsi menyelubungi sambutan Jerusalem Jubilee di Melaka dan dakwaan yang penganut Kristian Malaysia menyokong Zionism.

“Ada hubungan antara kepercayaan Yahudi dan Kristian berdasarkan sejarah, jadi ada simpati untuk Israel daripada Kristian Malaysia, tetapi ia tidak sama dengan menyokong Zionisme.

“Saya bagi jaminan, majoriti Kristian Malaysia bukanlah Zionist. Mereka tidak terima semua perkara yang dilakukan Israel sebagai betul,” kata Hwa, menambah yang ramai juga rakyat Palestin beragama Kristian juga menderita hidup dibawa rejim Israel.

Bagaimanapun, Hwa mengakui yang pertubuhan Kristian negara boleh menjelaskan pendirian mereka dengan lebih jelas dan terbuka bagi menenangkan kemarahan orang Islam kepada pertemuan Jerusalem Jubilee itu.

“Perkara itu perlu kami nilai kembali,” katanya kepada hampir 100 orang yang datang ke forum itu, termasuk beberapa orang Islam.

Hwa juga menjelaskan terma ‘evangelism’ (berkongsi dan menyebarkan Gospel Kristian), ‘evangelicalism’ (sebuah pergerakan atau kumpulan teologi dalam Kristian Protestant) dan ‘evangelical’ (pendirian teologi).

“Evangelism dalam Kristian serupa dengan dakwah dalam Islam,” kata Hwa.

Bagaimanapun, Dr Maszlee Malik salah seorang penceramah forum itu yang juga tenaga pengajar di Fakulti Pendedahan Pengetahuan Islam dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata walaupun kedua-dua Islam dan Kristian ialah agama dakwah, ia masih sensitif untuk orang Islam dan mana-mana cubaan penganut Kristian untuk mempertahankan hak mereka untuk berdakwah akan dipandang buruk.

Katanya, sebahagiannya disebabkan psiki orang Melayu melihat Kristian yang diperkenalkan di Tanah Melayu melalui mubaligh sebelum kemerdekaan dan ia masih lagi disamakan dengan penjajahan.

“Sebaik sahaja mereka melihat anda mempertahankan hak untuk berdakwah, lebih banyak wadah kebencian akan wujud.

“Banyak lagi cara untuk orang Kristian dan orang Islam untuk bekerjasama- untuk melindungi alam sekitar, untuk menentang korupsi dan pelampau, lebih banyak dialong antara agama- pendakwahan tidak semestinya sentiasa menjadi tumpuan,” kata Maszlee.

‘Kambing hitam Barisan Nasional’

Maszlee juga mengatakan yang serangan anti-evangelical Kristian ialah sebahagian daripada cara Barisan Nasional (BN) mencari kambing hitam bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada kedudukannya yang semakin lemah.

Dia berkata ahli politik BN pernah menggunakan taktik yang sama dengan mempolitikkan isu melibatkan kaum China, Singapura atau tuduhan ‘Kristianisasi’, dalam cubaan untuk meraih sokongan dan mempergunakan sentimen Melayu atau kebangsaan.

Dia bercakap mengenai kebimbangan evangelical tentang retorik terbaru misalnya yang digunakan Kamarul Zaman Yusoff dengan mendakwa Yang Di Pertua Dewan Undangan Negeri Selangor Hannah Yeoh menggunakan biografinya untuk menyebarkan agama Kristian kepada orang Islam, kekecohan yang berlaku bulan lepas mengenai sambutan Jerusalem Jubilee di sebuah gereja Melaka yang akhirnya dibatalkan dan desakan sebuah kumpulan pemikir Islam supaya evengelical Kristian di negara ini diharamkan.

“Kalau anda perasan, semua kecaman dan salah menyalahkan kambing hitam ini berlaku ketika BN dalam krisis,” kata Maszlee di forum

Pada masa yang sama, sebilangan ahli akademik dan kumpulan pemikir turut menyemarakkan sentimen ini, tambah Maszlee, yang merupakan

Retorik seperti ini memanipulasikan situasi rakyat pelbagai kaum Malaysia yang kurang mengetahui kerana mereka mendapatkan maklumat tentang kaum berlainan daripada sumber yang terhad, tambahnya.

“Rakyat Malaysia sudah lama tinggal bersama, tetapi hanya tahu sedikit sahaja tentang satu sama lain. Maklumat yang dipunyai kaum tertentu tentang agama dan budaya lain tidak berada pada tahap sepatutnya, sedangkan kita sudah lama hidup bersama. Ini ialah kegagalan sistem pendidikan dan sosial kita, dan kita perlu mengubahnya.

“Misalnya, orang berbahasa Cina mendapatkan maklumat tentang orang Islam daripada akhbar bahasa Cina. Begitu juga, orang Melayu mendapatkan maklumat tentang agama dan budaya lain melalui media bahasa Melayu. Media seharusnya tidak boleh jadi sumber maklumat tunggal, media hanya boleh bagi kita sedikit sahaja maklumat tentang perkara tertentu,” katanya.

Hwa juga berkata yang banyak kali agama dijadikan alat politik di Malaysia dan memetik dakwaan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dari PAS yang mendakwa evangelical Kristian sudah “meresap masuk ke dalam parti politik utama’ untuk melaksanakan ‘agenda Kristianisasi’ mereka.

“Mengapa dia hanya berkata begitu sekarang? Bukankah PAS bersama DAP dalam Pakatan Rakyat sebelum ini? Ia jelas penggunaan agama sebagai alat politik untuk menyerang pihak lawan.” – 8 Julai, 2017.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Kristian Malaysia Tidak Sokong Zionism, Kata Forum Antara Agama" yang ditulis oleh Deborah Loh bertarikh 8 Julai 2017)