SATU sindiket antara sempadan yang terbabit dalam
pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah dan senjata api mungkin
bertanggungjawab terhadap penculikan Pastor Raymond Koh, kata Ketua Polis
Negara Khalid Abu Bakar.
Beliau berkata maklumat itu berdasarkan kepada kenyataan
diambil daripada tiga ahli sindiket yang ditahan dalam satu operasi khas
dijalankan polis di Perak pada 17 Julai.
“Kami mengesyakinya berdasarkan kepada soal siasat yang
dijalankan terhadap beberapa suspek yang ditahan dalam operasi itu,” katanya di
Bukit Aman pagi ini.
Katanya, hasil siasatan itu juga mendapati sindiket
berkenaan ada kaitan dengan kumpulan di selatan Thailand.
Bagaimanapun, Khalid enggan mengulas ketika ditanya adakah
kumpulan terbabit sebahagian daripada puak pemisah Islam di sana.
Katanya kepada The Malaysian Insight, tunggu kemas kini dan
maklumat seterusnya hasil kerjasama polis dengan pihak berkuasa Thailand.
Beliau berkata tidak dapat dipastikan sama ada Koh masih
hidup atau sudah meninggal dunia.
Dalang sindiket itu terbunuh dalam operasi yang dijalankan
Unit Jenayah Berat Perak dan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang selepas dia
melepaskan tembakan pada 17 Julai.
Polis merampas 40 gram heroin dan dua plat kenderaan
daripada kenderaan Toyota Vios suspek.
Polis juga menahan isteri suspek, seorang warga Thai di sebuah
rumah di Kampung Selarong, Pengkalan Hulu, Perak dan merampas bom paip, 250
gram syabu, peluru dan gambar pastor itu, rumah suspek dan kenderaannya selain
plat kenderaan bernombor ST5515D.
Turut ditahan ialah ahli sindiket berumur 30-an dan 60-an
susulan operasi itu. – 25 Julai, 2017.
MENYUSUL LAGI
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Pastor Koh Mungkin Mangsa Pemerdagangan Manusia, Kata Polis" bertarikh 25 Julai 2017)