Khamis, 6 Julai 2017

Wanita Yang Pergi Gereja "Lebih Rendah Kemungkinan Mati Awal"


Pergi gereja adalah baik untuk kesihatan wanita dan boleh mengurangkan risiko mati awal sebanyak satu pertiga. 

Menghadiri gereja cuma sekali seminggu telah dikaitkan dengan risiko kematian yang lebih rendah dari semua penyebab, satu kajian Amerika Syarikat menunjukkan. 

Para pengkaji berkata mereka tidak tahu kenapa, tetapi menjangka ianya ada kaitan dengan sikap optimis dan rasa bermasyarakat yang mengatasi kesan stres dan depresi. 

Wanita yang pergi ke gereja lebih dari sekali seminggu mempunyai 33 peratus risiko kematian yang lebih rendah semasa kajian 16 tahun berbanding dengan wanita yang tidak pergi ke gereja.

Mereka yang pergi sekali seminggu mempunyai 26 peratus risiko kematian yang lebih rendah dan mereka yang menghadiri kebaktian tetapi tidak secara mingguan mempunyai 13 peratus risiko lebih rendah. 

Dr Tyler VanderWeele, seorang profesor epidemiologi di Pengajian Kesihatan Awam T.H. Chan, Harvard di Boston, telah membuat kajian merangkumi jururawat-jururawat Protestan dan Katolik yang pergi ke gereja.

Menulis dalam JAMA Internal Medicine, dia berkata, "Sebahagian daripada faedahnya kelihatannya adalah bahawa menghadiri kebaktian keagamaan meningkatkan sokongan sosial, tidak menggalakkan merokok, mengurangkan depresi, dan membantu orang membina sudut pandangan hidup yang lebih optimis dan berpengharapan." 

(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel Daily Mail bertajuk, "Women Who Go To Church 'Are Less Likely To Die Early'" bertarikh 17 Mei 2016)