Khamis, 30 November 2017

Museum of the Bible Berteknologi Canggih Dibuka Di Washington


WASHINGTON - Museum of the Bible di Washington DC yang serba modern dan mendapat publisiti meluas mula mengalu-alukan para pengunjung melalui gerbang besar gangsanya bermula 17 November 2017. 

Terletak tiga baris kedai dari bangunan Capitol, muzium itu meliputi ruang 430,000 kaki persegi, di mana para tetamu akan memasukinya melalui Gerbang Gutenberg setinggi 40 kaki, yang memaparkan kata-kata permulaan Kitab Kejadian dari Alkitab Gutenberg. 


Sebagai sebahagian daripada acara pendahulu kepada pembukaan muzium, replika sebenar gerbang itu telah dipamerkan di lima bandaraya Amerika Syarikat, berakhir di National Mall di Washington DC minggu lepas.

Saiz gerbang itu mencerminkan sebahagian daripada saiz dan ruang apa yang terdapat di dalamnya: dalam lapan tingkat, muzium itu akan memaparkan bahan pameran dan galeri yang bersaiz besar, sebuah restoran, sebuah "taman alkitabiah" dan sebuah panggung teater untuk tayangan dan pementasan - menawarkan begitu banyak sehingga memerlukan "berhari-hari untuk melihatnya," menurut muzium itu.


Walaupun subjeknya mengenai Alkitab tentu saja menjadi tarikan kepada ramai orang, apa yang menjadikan ini salah satu daripada muzium yang paling dinanti-nanti adalah fokus muzium itu kepada teknologi terkini, kunjungan yang dibimbing secara digital menggunakan tablet, interaksi 3D dengan artifak alkitabiah yang digambarkan dalam sebuah buku doa yang dihiasi teliti, dan lawatan realiti maya melalui babak-babak dari Perjanjian Lama.


Antara koleksi paling penting di muzium itu termasuk Gulungan-gulungan Laut Mati, gulungan-gulungan Taurat, manuskrip-manuskrip zaman pertengahan yang yang dihiasi, dan edisi-edisi pertama sebilangan Alkitab.


Muzikal Amazing Grace, yang telah dipersembahkan di Broadway pada 2015, akan menjadi pementasan sulung di teater muzium itu.

Seperti banyak lagi muzium di Washington DC, kemasukan ke Museum of the Bible adalah percuma, namun begitu penempahan waktu perlu dilakukan terlebih awal. - AFP-Relaxnews



(Diterjemah daripada artikel Malay Mail Online bertajuk, "High Tech Museum of the Bible Opens Its Door" bertarikh 16 November 2017)