Khamis, 2 November 2017

Polis Mulanya Enggan Serahkan Diari Siasatan Kepada Suhakam

Inspektor Ali Asrar ketika hadir di ibu pejabat Suhakam hari ini

KEENGGANAN seorang inspektor polis menyerahkan diari siasatannya (ID) berhubung penculikan Pastor Raymond Koh mengganggu panel yang menyiasat kes berkenaan hari ini. 

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Mah Weng Kwai berkata, sekiranya polis menggunakan alasan bahan seperti itu adalah sulit setiap kali diminta oleh panel sebagai bukti, siasatan itu juga boleh dihentikan.

Mah berkata, bukti berkenaan perlu diserahkan kepada panel menurut Seksyen 14 Akta Suhakam. 

Beliau dan Inspektor Ali Asrar dan dua anggota polis pemerhati yang hadir pada pendengaran hari ini, juga tidak bersetuju untuk menunjukkan ID Ali kepada panel.   

Ali yang dipanggil untuk memberi kenyataan hari ini merupakan pegawai polis yang hadir kepada saksi pertama, Roeshan Gomez, apabila beliau membuat laporan berhubung penculikan Koh pada 13 Februari. Gomez sedang memandu di belakang kereta Koh ketika penculikan itu berlaku di Petaling Jaya. 

Apabila Mah bertanya Ali sekiranya beliau menyimpan diari 13 Februari apabila Koh diculik, inspektor berkenaan berkata beliau ada menyimpannya.

Namun apabila Mah meminta diari itu ditunjukkan kepada panel, Ali berkata polis perlu mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara untuk berbuat demikian.

Mah kemudiannya berkata panel berhak untuk melihat bukti itu di bawah akta suruhanjaya berkenaan. 

"Suruhanjaya berhak untuk melihat dokumen berkenaan untuk menguatkan ingatan saksi. Sekiranya kita tidak melihat ID ia akan menyebabkan siasatan itu tidak berguna," katanya. 

Dua anggota polis yang hadir pada siasatan itu sebagai pemerhati kemudiannya berkata diari berkenaan adalah sulit kerana siasatan masih berjalan dan tidak bokeh diserahkan kepada panel. 

Mereka memohon penangguhan pendengaran itu untuk merujuk kepada Jabatan Peguam Negara. 

Ia menyebabkan Mah membalas dengan tegas sekiranya panel tidak dibenarkan melihat bukti setiap kali diminta atas dasar siasatan masih berjalan, "lebih baik kita simpan semua dan balik".

"Kita perlu dibenarkan melihat ID kerana kita mahu menyemak tarikh yang dinyatakan oleh Ali. Ia untuk membandingkan dengan kenyataan yang diibuat beliau."

Pemerhati polis kemudiannya berdiri dan membantah, namun Mah mengarahkan pegawai siasatan itu mengambil diari berkenaan daripada Ali, yang kemudiannya menyerahkannya.  – 2 November, 2017

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Panel Suhakam. Polis Bertengkar Mengenai Diari" yang ditulis oleh Noel Achariam bertarikh 2 November 2017)