Khamis, 2 November 2017

Siasatan Awam Suhakam - Kehilangan Pastor, Aktivis (Hari Ke-4)


Siasatan Awam Suhakam ke atas kehilangan Pastor Koh dan tiga orang lagi masuk ke hari keempat (2 Nov 2017).

Panel Suhakam terdiri daripada: Mah Weng Kwai, Aishah Bidin dan Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh.

9.10am: Hari keempat siasatan awam kehilangan Pastor Raymond Koh bersambung dengan Inspektor Ali Asrar dari ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya dipanggil sebagai saksi.

9.30am: Pegawai Suhakam tanya Ali adakah dia memberi pandangannya mengenai penculikan itu kepada saksi pertama Roeshan Gomez ketika menjalankan siasatan.

Ali berkata ketika Gomez bertanya kepadanya mengenai penculikan itu, dia beritahu ia kelihatan seperti orang yang terbabit dalam insiden itu ditahan.

“Saya hanya beri pandangan saya ia mungkin penculikan itu nampak seperti operasi polis.”

Pegawai Suhakam kemudian bertanya, mengapa dia kata itu operasi polis dan adakah semua penculikan adalah operasi polis, Ali menjawab tidak.

Ali berkata ketika temu bual berkenaan, dia beritahu Gomez tidak ada operasi polis pada hari itu.

10.05am: Pegawai Suhakam tanya apa tindakan Ali selepas menemu bual saksi pertama Gomez.
Ali berkata selepas temu bual itu pada 13 Februari, dia pergi ke tempat kejadian mencari bukti bagi membantu siasatan itu.

“Kami jumpa pecahan kaca dan nombor plat kenderaan yang patah di tempat kejadian.

“Selepas pulang dari tempat kejadian, saya serahkan kes itu kepada ASP Supari. Saya hanya terlibat dalam siasatan awal kes itu. Pada jam 4 petang hari yang sama saya tidak ditugaskan lagi menyiasat kes itu.”

Pegawai Suhakam tanya mengapa Ali menghubungi Gomez pada 14 Februari untuk temu bualnya sekali lagi sedangkan sebelum itu berkata tidak lagi terlibat dalam kes berkenaan.

Ali berkata dia hanya terus membantu dalam siasatan.

“Saya diminta membantu merekodkan kenyataan daripada ASP Supari.”

Inspektor Ali Asrar hadir di pejabat Suhakam untuk memberi keterangan

10.45am: Pesuruhjaya Suhakam Mah tanya Ali adakah dia menyimpan diari tentang apa yang berlaku pada 13 Februari.

Ali berkata dia ada Diari Siasatan (ID).

Ketika Mah meminta Ali menunjukkan diari itu kepada panel, dia berkata mereka perlu mendapatkan kebenaran dari Pejabat Peguam Negara.

Mah berkata panel itu berhak melihat ID berkenaan seperti dinyatakan di bawah Seksyen 14 Akta Suhakam.

Pemerhati polis berkata ID itu sulit dan pada masa ini mereka tidak boleh menyerahkannya kepada panel itu.

“Kami mohon penangguhan untuk merujuk kepada Pejabat Peguam Negara sebelum menyerahkan ID itu kerana siasatan masih dijalankan.”

Mah berkata jika setiap kali mereka minta bukti dan mereka tidak dapat kerana siasatan sedang dijalankan, maka lebih baik panel itu ditutup saja.

“Kami sepatutnya dibenarkan melihat ID itu kerana kami mahu periksa tarikh yang dinyatakan Ali. Ia sepatutnya selaras dengan kenyataannya.”

Pemerhati polis kemudian bangun untuk membantah dan Mah meminta pegawainya mendapatkan ID itu daripada Ali.

Pegawai itu kemudian memperoleh ID berkenaan dan menyerahkannya kepada panel.

11.15am: Siasatan awam berhenti rehat 10 minit.

11.55am: Peguam keluarga Koh tanya Ali ketika isteri Pastor Koh, Susanna Liew datang memberi keterangan kenapa dia berulang kali ditanya sama ada Koh memurtadkan orang atau tidak.

Ali berkata dia hanya ditugaskan untuk mengambil keterangannya dan bertanya soalan yang diberikan.

"ASP Supari yang minta bertanya soalan tentang murtad.”

Peguam kemudian bertanya jika kes ia satu kes penculikan, kenapa Ali asyik bertanya Liew mengenai murtad.

Ali sekali lagi berkata ASP Supari yang memintanya mendapatkan maklumat mengenai gerakan murtad Koh.

Peguam kemudian minta Ali menjelaskan adakah penculikan itu mungkin operasi polis, dan dia bersetuju.

12.40pm: Peguam keluarga Koh tanya Ali mengapa soal siasat Liew dari jam 10 malam hingga 3 pagi dan hanya dibenarkan pulang selepas dia mengadu penat.

Peguam juga bertanya mengenai soalannya kepada Liew berhubung gerakan memurtadkan.

Ali berkata dia diberikan arahan daripada pegawai atasannya untuk bertanya semua soalan itu.

“Kami terpaksa tanya dia semua soalan itu termasuk aktiviti Koh, mengenai keluarganya dan hal lain.

“Tetapi kami hentikan temu bual selepas dia mengadu penat.

“Saya juga diarah menyerahkan kes itu kepada Supari oleh DSP Sazali Adam."

1.20pm: Pemerhati polis meminta panel menarik keluar apa juga yang dibincangkan mengenai Diari Siasatan daripada laporan Suhakam. Beliau juga meminta media tidak melaporkan mengenainya.

Pesuruhjaya Mah berkata apa saja yang disebut mengenai diari itu akan kekal dalam rekod.

“Kami ambil maklum. Tidak ada apa yang menggemparkan pun mengenai ID itu. Ia akan terus ada dalam rekod kami.”

Siasatan awam itu berhenti rehat sejak untuk makan tengah hari.


2.30pm: Keluarga Pastor Koh menyambut hari lahirnya dengan memotong kek ketika waktu rehat.

Susanna Liew berkata dia gembira berada di prosiding itu bersama anak-anak dan menyambut hari lahir Koh yang ke-63.

"Walaupun dia tak berada di sini, kami berharap dapat berjumpanya dengan segera. Supaya dapat menjawab semua persoalan yang bermain dalam fikiran kami dan semua orang.

"Kami berharap kes ini akan ada perkembangan dengan bantuan kepakaran polis.

"Kami sedih, dan dia tiada di sini. Kami harap dia akan segera dibebaskan dan berada dalam keadaan yang sihat, mental dan fizikal.

2.55pm: Siasatan memanggil ASP Supari Mohamad untuk beri keterangan.

3.13pm: Pegawai-pegawai Suhakam menyoal Supari yang merupakan pegawai yang bertanggungjawab ke atas siasatan jika dia ada mengambil foto atau lakaran di tempat kejadian.

Supari kata ada, tetapi ia tidak boleh didedahkan kepada panel.

"Foto dan lakaran adalah sebahagian daripada siasatan dan ia sulit. Panel perlu merujuk kepada Jabatan Peguam Negara jika mahukannya." 

4.05pm: Pegawai Suhakam tanya Supari apa yang terjadi kepada suspek-suspek yang ditangkap ketika serbuan di Utara.

Supari berkata keempat-empat suspek ditangkap (berhubung penculikan Koh) dilepaskan dengan jaminan polis.

"Keempat-empat suspek direman 13 hari. Kawad cam dibuat dan Gomel dipanggil masuk, tetapi keputusannya negatif.

"Mereka kemudiannya dibebaskan. SAC Fadzil berkata ia kes NFA (No further action).

4.35: Panel bertanya kepada Supari jika terdapat sebarang laporan berkenaan perhimpunan DUMC (anjuran Koh) pada 2011.

Supari berkata sebanyak 78 laporan dibuat terhadap Koh antara 20122 dan 2012.

"Laporan dibuat oleh organisasi bukan kerajaan  dan individu. Mereka tak puas hati dengan apa yang Koh buat.

Supari juga berkata polis telah menyoal 28 individu berkaitan kes itu.

"Kami menyoal ahli keluarga, rakan, Komuniti Harapan dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)."

4.45: Siasatan berakhir dan bersambung esok pagi

(Sumber: Artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Langsung: Hari Keempat Siasatan Kehilangan Pastor, Aktivis" bertarikh 2 November 2017)