Jumaat, 1 Disember 2017

Pertahan Sekolah St Thomas Demi Ayah Dan Negara

M. N. D'Cruz (kiri) guru besar paling lama
berkhidmat di Sekolah St Thomas, Kuantan

KETIKA Rebecca D'Cruz memulakan petisyen online minggu ini untuk menyelamatkan Sekolah St Thomas di Kuantan daripada ditukarkan namanya, dia juga memikirkan tentang bapanya dan negara ini.

Bapanya menjadi guru besar paling lama berkhidmat di sekolah itu dan Rebecca merasakan hari-hari ada saja perkara tidak kena berlaku dalam negara ini, dengan keputusan dibuat tanpa alasan kukuh.

Dia melancarkan petisyen online, “Berhenti tukar nama sekolah mubaligh di Malaysia”, tiga hari lalu, dalam usaha menghalang kerajaan menukar nama sekolah itu kepada Sekolah Mahkota Abdullah sebaik saja ia dipindahkan ke tapak baharu.

Pada kiraan terakhir, hampir 20,000 menandatangani petisyen itu.

Rebecca berkata dia memulakan petisyen itu sendirian, tanpa memberitahu bapanya M.N. D'Cruz, yang menjadi guru besar di sekolah itu selama 11 tahun dari 1973.

Walaupun petisyen itu terus mengumpul tandatangan, dia dan bapanya tidak membincangkan perkara itu, tetapi bapanya kemudian mengetahui hal itu daripada rakan.

“Sebagai anak sulung daripada empat beradik, saya ingat betapa bapa saya mencurahkan segala-galanya untuk sekolah itu.

“Kami membesar di Kuantan ketika itu, dan kadangkala tidak pergi bercuti pun kerana ayah sangat sibuk membuat perubahan di sekolah berkenaan.

“Bila-bila saya ada terjumpa bekas pelajar, ramai yang beritahu yang mereka pastinya akan tersalah langkah jika tidak kerana bapa saya.

“Saya tahu ayah sedih dengan berita tentang sekolah itu. Jadi saya berharap menerusi media sosial, saya dapat bangkitkan isu ini,” kata perunding alam sekitar berpangkalan di Kuching itu kepada The Malaysian Insight.

D'Cruz antara yang bertanggungjawab menaikkan taraf Sekolah St Thomas pada zaman kegemilangannya sebagai sekolah perdana di pantai timur. Sekolah itu turut menerima pelajar dari negeri jiran Kelantan dan Terengganu.

Pelajar mengingatinya sebagai seorang guru yang berdisiplin dan membawa sekolah itu mencapai keputusan cemerlang.

Demi Malaysia

Rebecca turut melihat kepada gambaran lebih besar berkenaan sekolah mubaligh di Malaysia ketika dia memulakan petisyen itu.

Rebecca D'Cruz (kanan) mulakan petisyen
untuk kekalkan nama Sekolah St Thomas

Katanya, pendidikan dan sekolah sangat penting kepada ibu bapa, termasuk bagi generasi lebih tua.

“Tinggal di Kuching sekarang, saya dengar kebimbangan yang sama tentang sekolah mubaligh di sini, isu itu turut banyak berlaku di sini.

“Saya juga buat ini untuk negara ini. Setiap hari kita baca tentang sesuatu yang salah, keputusan dibuat tanpa sebab. Saya mahukan yang terbaik untuk negara ini,” katanya.

Bukan St Thomas saja

D'Cruz memberitahu The Malaysian Insight menerusi WhatsApp bahawa kempen itu bukan untuk kepentingan St Thomas saja.

“Bekas pelajar ada ikatan yang kuat dengan sekolah mereka. Tetapi kempen ini melangkaui itu semua kerana ramai bekas pelajar sekolah mubaligh boleh nampak langkah ini mungkin akan berlaku pada sekolah mereka juga dalam tempoh jangka panjang,” katanya.

Pendidik yang sudah bersara itu berkata St Thomas ialah sebuah institusi dan namanya patut dikekalkan.

“Sama juga seperti sekolah mubaligh yang terkenal lain, di mana ia berpindah ke tapak baharu, dan namanya dikekalkan. Jadi nama St Thomas juga perlu dikekalkan.

“Tahun demi tahun sekolah itu mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan sukan. 

Kerjasama antara staf dan pelajar sangat indah.

“Itu sebabnya walaupun selepas 30 tahun bersara, saya bangga mengatakan St Thomas ada dalam diri saya kerana saya membina sekolah itu,” kata D'Cruz yang kini berusia 87 tahun.

Sokongan besar

Dalam tempoh 24 jam pertama, petisyen Rebecca menerima lebih 10,000 penyokong. Menjelang 5 petang Khamis, sebanyak 18,100 menandatanganinya untuk menyokong tujuan itu.

Rebecca berkata dia hanya menjangkakan mungkin 2,000 orang menandatanganinya.

“Jujurnya, saya hanya jangkakan sokongan keluarga dan rakan. Pada hari pertama, saya melihat perkembangan dan rasa terharu melihat jumlah semakin meningkat.

“Ramai, termasuk rakan-rakan saya di luar negara, turut menandatanganinya. Itu menunjukkan rakyat Malaysia bila mereka rasakan sesuatu, mereka akan bercakap. Apatah lagi, kita ada kebebasan untuk bersuara,” katanya.

Rebecca berharap untuk mengutip 25,000 tandatangan yang akan dihantar ke Putrajaya.

Bekas pelajar tekad lawan selamatkan nama sekolah

Pengurus syarikat perlombongan Tham Tuck Yip, 54, berkata kelasnya iaitu bekas pelajar darjah satu hingga tingkatan lima di sekolah itu, sangat bersemangat dengan kempen mengekalkan nama sekolah itu.

“Kami mahu namanya dikekalkan. Senang saja. Jika kerajaan mahu bina sekolah baharu, mereka boleh pilih nama dan letakkan sesuka hati.

“Tetapi dalam kes ini, mereka memindahkan St Thomas, sebuah sekolah lama. Kami tidak nampak sebab kenapa tidak boleh kekalkan nama St Thomas,” katanya yang juga penolong ketua pelajar pada 1980, kepada The Malaysian Insight.

Bermula dengan Kristian, tetapi tidak lama

Sekolah St Thomas School dibuka pada 1950 oleh Reverend Father Louis Guittat di bawah arahan Marist Brothers. Ia diambil ahli oleh Brothers of St Gabriel, 10 tahun kemudian.

Sekolah itu tersepit dalam pertelingkahan undang-undang antara Gereja St Thomas dan kerajaan negeri Pahang berkaitan tanah milik gereja seluas 2.4 hektar di Jalan Gambut.

Apabila kerajaan negeri menggugurkan kes dan tidak meneruskan pemerolehan tanah, sekolah rendah dan menengah berkenaan perlu dipindahkan.

Sekolah rendah dipindahkan ke premis sementara di SK Teruntum sementara sekolah menengah ke SMK Sultan Abu Bakar pada 2014.

Baru-baru ini, kerajaan negeri Pahang berkata Unit Perancang Ekonomi sudah memberi kelulusan kepada Kementerian Pendidikan untuk membina kompleks baharu menempatkan kedua-dua sekolah. 

Kerja pembinaan dijangka bermula tahun depan dengan peruntukan RM56 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas Khas negeri Norol Azali Sulaiman dilaporkan berkata sekolah itu akan diberikan nama baharu, kerana jabatan pendidikan mendapati nama St Thomas sudah tidak sesuai lagi. – 1 Disember, 2017.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Pertahan Sekolah St Thomas Demi Ayah Dan Negara" yang ditulis oleh Looi Sue-Chern bertarikh 1 Disember 2017)