Polis Kelantan berjaya menyelesaikan kes khianat ke atas
Gereja Methodist Kota Bharu dan sebuah kuil di Jalan Hamzah selepas
tertangkapnya suspek sejam selepas kejadian tengah malam, Sabtu lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata
selepas bertindak membaling objek berupa kompenan penapis air sehingga
memecahkan beberapa cermin tingkap bangunan gereja, suspek yang juga seorang
penjawat awam, melarikan diri sebelum terlibat dengan kemalangan langgar lari.
Menurut Hasanuddin, selepas kereta dipandu suspek berlanggar
dengan sebuah motosikal, suspek melarikan diri ke arah Pasir Mas namun disedari
orang awam yang kebetulan melalui jalan tersebut.
"Orang awam tersebut telah mengekori kereta suspek
sebelum berselisih dengan dua anggota polis yang sedang melakukan rondaan
bermotosikal berhampiran rumah suspek di Kampung Belukar dan memaklumkan
suspek terlibat dengan kes langgar lari.
"Sejurus itu satu pasukan polis dari IPD Pasir Mas
membuat serbuan ke rumah suspek kira-kira jam 1 pagi, semalam," katanya
pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Gereja
Methodist dan Kuil Arulmigu Siva Subramaniya dibaling dengan objek keras sehingga
menyebabkan beberapa keping cermin tingkap bangunan tersebut pecah dan retak.
Hasanuddin berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek
yang juga seorang pembantu am di Hospital Pasir Mas positif dadah dan mengalami
halusinasi serta terlibat dengan kes khianat terhadap rumah ibadat tersebut.
"Suspek mengatakan beliau terdengar bisikan yang
menyuruh melakukan perkara tidak elok terhadap rumah ibadat bukan Islam.
"Suspek yang berusia 34 tahun dikatakan mengalami
tekanan hidup selepas kematian ibunya tahun lalu," jelasnya.
Tambah beliau, suspek ditahan dan direman sehari atas
kesalahan positif dadah sebelum ditahan kembali pada jam 1.30 petang semalam
mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap rumah
ibadat.
"Suspek merupakan seorang bapa kepada seorang cahaya
mata dan isterinya sedang mengandung anak kedua mereka.
"Pihak polis turut merampas dua komponan penapis air (filter)
dan batu di lokasi kejadian dan pakaian serta kereta jenis Nissan Grand Livina
ketika serbuan dilakukan di rumah suspek.
"Suspek kini direman selama empat hari bermula hari
ini," kata Hasanuddin.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk "Suspek Khianat Gereja Dakwa Dengar Bisikan" yabg ditulis oleh N Faizal Ghazali bertarikh 9 Januari 2018)