Khamis, 15 Februari 2018

Mesej 6 Perkataan Mengenai Yesus Di Papan Peluncur Olimpik Lebih Bersinar Daripada Pingat Emasnya


Lebih kurang pada usia kebanyakan kita sedang belajar main lompat tali semasa waktu rehat, Kelly Clark yang berusia 7 tahun sudah mula menguasai kemahiran sukan penuh persaingan snowboarding.

Anak jati Newport, Rhode Island itu mula bertanding pada 1999 dan menjadi pemenang pingat emas Olimpik untuk acara halfpipi wanita di Olimpik Musim Sejuk 2002.

Kini, 16 tahun kemudian, Clark menuju ke Olimpik Musim Sejuk 2018 di PyeongChang sebagai peserta Olimpik yang paling banyak pingat kemenangan dalam snowboarding.

Senarai pencapaian yang panjang ahli sukan berusia 34 tahun itu termasuk Juara 5 kali musim Jelajah Snowboard Dunia, juara 8 kali Terbuka Amerika Syarikat Burton untuk halfpipe, 7 kali pemenang pingat emas Kejohanan X untuk halfpipe, 2 kali pemenang pingat gangsa Olimpik untuk halfpipe. Ringkasnya dia adalah Michael Phelps untuk snowboarding.

Tetapi seperti mana dengan semua penganugerahan, rasa kepuasan daripadanya mulai pudar melalui masa. 

Clark khususnya mengingati kemenangan Olimpiknya pada 2002, yang menandakan kemenangan simbolik bagi negaranya apabila dia memenangi emas pertama selepas serangan 9/11.


"Saya telah mencapai puncaknya, tahap tertinggi," kata Clark. "Ianya sukar untuk dipercayai."

Tetapi cuma beberapa bulan kemudian, selepas pelbagai temuramah berita, acara-acara sambutan di kota kelahirannya, dan pujian antarabangsa mulai reda, dia mendapati dirinya merasa kosong sekali lagi.

"Dalam semua kejayaan luaran itu, saya sebenarnya sedang mencari rasa berharga," kata Clark. "Saya fikir bahawa keperluan terbesar kita sebagai manusia adalah untuk menjadi berharga, dan kita mencarinya di mana-mana. Itulah yang saya lakukan dengan snowboarding."

Pada tahun berikutnya, dia mulai menanya satu soalan yang mengganggu berulang kali, "Apa lagi sekarang?"

Soalan yang ringkas dan menimbulkan tanda tanya itu akan membawanya ke lorong renungan diri dan pencarian juruselamatnya Yesus Kristus. 

Jurulatihnya pada musim berikutnya, Rick Bower memerhatikan satu perbezaan ketara pad Clark selepas kemenangan besarnya di Olimpik. Mereka berdua kini berhadapan dengan cabaran untuk menjadikan peserta snowboarding terbaik dunia lebih hebat lagi dan itu adalah tugas berat yang jelas memberi tekanan ke atas ahli sukan itu. 

Clark merasakan dirinya terhimpit dengan beban jangkaan dirinya dan mutu kecemerlangan tertinggi yang telah diletakkan oleh dirinya. 

"Dia tidak dapat merasa pautan dengan apa pun," kata Bower. "Dia benar-benar sedang bergumul. Anda dapat melihat pergumulan itu."

Dengan perasaan depresi di acara pertama musim itu pada tahun itu (yang juga adalah lokasi kejayaan terbesar dalam karirnya), Clark mencurahkan perasaan hatinya dalam jurnalnya. 

"Saya tak peduli kalau saya bangun atau tidak pagi esok, dan saya fikir tiada juga orang lain yang peduli," tulisnya.

Walaupun dalam keadaan murung itu, dia berjaya juga sampai ke peringkat akhir, tetapi ianya tidak membawa makna seperti dulunya. Pada tahap paling rendahnya ini, dia telah terdengar sesuatu yang akan mengubah halatuju perjalanan rohaninya. 


Selepas seorang peserta wanita gagal melayakkan diri, Clark mendengar seorang peserta snowboarding yang berprofail tinggi berbisik kata-kata ini kepada wanita itu, "Hai, tak apa-apa, Tuhan tetap mengasihi kamu. Kamu tak perlu nangis." 

Kata-kata itu menerjah terus ke dalam kalbu Clark. Selain daripada melihat kata-kata "Yesus mengasihimu" yang kadangkala dilekat di papan-papan tanda dan bumper kereta, dia benar-benar tidak tahu apakah Kekristianan itu - tetapi kini dia mempunyai rasa ingin tahu yang baru tercetus dan membara untuk mengetahuinya. 

Pada malam yang sama, dia mengambil keluar sebuah Alkitab dari laci bilik hotelnya dan mula mencari jawapan untuk dirinya. 

"Saya seperti, 'Uh, saya tidak tahu pun bagaimana untuk membaca ini,'" Clark mengakui. 

Bertuah baginya, pesaingnya yang gagal melayakkan diri ke pusingan akhir kebetulannya tinggal di hotel yang sama.

Membuat satu langkah berani, Clark mengetuk pintu wanita itu dan berkata, "Saya rasa kamu Kristian, dan saya rasa kamu perlu beritahu saya mengenai Tuhan."

Hampir 15 tahun kemudian, Clark tetap bersyukur untuk pertemuan itu yang jelas telah diaturkan oleh Tuhan. 

"Saya mengetuk di pintu yang tepat," katanya.

Menerusi pembacaan Alkitab, mendapat dorongan daripada peserta-peserta lain snowboarding yang Kristian, dan membaca buku Rick Warren, Purpose Driven Life, Clark telah mendapat kesimpulan yang tidak dapat digoncang bahawa Yesuslah Tuhan - dan hidupnya benar-benar telah berubah sama sekali sejak itu. 

"Dia sungguh nyata, sungguh hadir dalam hidup saya," kata Clark. "Saya telah berikan hati saya kepada Tuhan pada hari itu."

Untuk bertahun-tahun, lagenda snowboarding itu telah meluncur dengan mesej 6 perkataan yang dengan berani dicetak di bahagian atas papannya, "Jesus, I can not hide my love" (Yesus. aku tidak dapat sembunyikan cintaku). 


Setelah menerima pernyataan kasih Tuhan yang besar untuknya dan pengorbanan mutlak Yesus, Clark hanya ingin menggunakan pentas untuk mengisahkan kasih Kristus kepada seluruh dunia. 

Ahli sukan yang telah ditransformasi sepenuhnya ini juga dapat menangani kegagalan dengan cara yang dia dulunya tidak mampu, kerana dia tahu bahawa Yesus telah pun menanggung rasa bersalah dan rasa malunya di atas salib dan dia tidak menanggungnya lagi. 

Jurulatih Bower telah perhatikan pendekatan mentalnya yang baru, "dengan mempercayai rancangan Tuhan untuknya sebelum setiap acaranya," terutamanya selepas dia mendapat tempat keempat yang menghampakan pada Olimpik 2006 setelah terjatuh. Clark tidak terus melayani kesedihannya, tetapi bersyukur dan bangkit semula. 

Kejatuhannya dan kegagalannya tidak lagi menjadi yang paling utama dalam hidupnya. tetapi Kristuslah yang terutama dalam hidupnya. 

"(Imannya) telah membantunya mendapatkan fokus," kata Bower. "Ianya telah memberikannya perspektif yang lebih besar daripada dirinya. Dia telah menemukan tujuan dalam hidup." 

(Diterjemahkan daripada artikel Faith It bertajuk, "6-Word Message About Jesus On Olympian's Snowboard Outshines Her Gold Medal" yang ditulis oleh Kelsey Straeter bertarikh 13 Februari 2018)