SEMALAM, sejumlah 200 orang hadir di Gereja Evengelical
Free di Petaling Jaya bagi mendoakan supaya pendengaran awam Suhakam ke atas
kehilangan Pastor Raymond Koh yang tertangguh dapat disambung semula kerana ia
mampu memberi petunjuk apakah sebenarnya yang berlaku dalam kehilangan misteri
pastor itu.
“Kami mahu siasatan Suhakam ada penutupnya. Dengan 12 hari
yang dihabiskan dan sudah banyak yang dilakukan, penutupnya masih tergantung.
Perlu ada penutup yang sewajarnya untuk perkara ini,” kata Pengerusi Pastor Gereja Evangelical Free David Low kepada The Malaysian Insight.
Low berkata sembahyang itu juga mendoakan supaya Koh
selamat ditemui dan dapat bersatu semula dengan keluarganya.
“Itulah hasrat utama kami kerana keluarga mahu
berjumpanya apatah lagi Tahun Baru Cina akan berlangsung tak lama lagi. Inilah
kepedihan yang mereka rasakan,” katanya.
Koh mempunyai seorang isteri, Susanna Liew serta tiga anak,
Jonathan,33, Esther,32, dan Elizabeth,22.
Beliau diculik di Petaling Jaya 13 Februari tahun lepas oleh
15 lelaki bertopeng menggunakan tiga SUV hitam. Penculikan siang hari itu
dirakam CCTV dan kelihatan sangat teratur dan profesional.
Suhakam memulakan siasatan awam atas kehilangan Koh dan tiga
aktivis lain bagi menilai sama ada kehilangan mereka adalah disebabkan
kehilangan paksa yang direstui pihak berkuasa negara ini.
Walaupun begitu, siasatan kehilangan Koh ditangguhkan bulan
lepas apabila polis mengumumkan yang mereka akan mendakwa seorang suspek dalam
penculikan Koh.
Tindakan polis itu bagaimanapun mengejutkan keluarga Koh
kerana tertuduh, Lam Chang Nam yang didakwa kerana peras ugut tahun
lepas sudah dibersihkan daripada tuduhan menculik oleh polis sebelum
ini.
Pada majlis sama, anak perempuan Koh, Esther turut
menayangkan sebuah video kronologi kehilangan bapanya. Matlamatnya, bagi
memastikan rakyat Malaysia tidak melupakan kes itu dan bersama-sama menuntut
penjelasan apakah sebenarnya yang berlaku.
“Terutamanya kepada mereka yang terlepas mengikuti kejadian
yang berlaku ini. Saya harap melalui video ini, Koh akan diingati.
“Kami harap mereka akan kenang Koh dalam doa mereka dan
terus bersuara untuk kes ini.” – 14 Februari, 2018.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Selepas Setahun, Kehilangan Pastor Terus Jadi Tanda Tanya" yang ditulis oleh Noel Achariam bertarikh 14 Februari 2018)
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Selepas Setahun, Kehilangan Pastor Terus Jadi Tanda Tanya" yang ditulis oleh Noel Achariam bertarikh 14 Februari 2018)