Mata pelajaran Bible Knowledge untuk SPM adalah sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris sehingga kini. Pada Mac 2012, Pemuda Majlis Gereja-Gereja Malaysia (Pemuda CCM) pernah mengeluarkan kenyataan yang menyeru agar Kementrian Pendidikan Malaysia mempertimbangkan mata pelajaran itu diadakan secara dwibahasa, iaitu diadakan dalam Bahasa Inggeris dan juga Bahasa Malaysia. Berikut adalah kenyataan dari siaran media Pemuda CCM:
Kuala Lumpur, 2 Mac 2012 -- Merujuk kepada artikel
dalam Sunday Star bertarikh Februari 26, 2012, bertajuk “Review of
Education System Soon”, Pemuda Majlis Gereja-Gereja Malaysia (Pemuda CCM/CCM
Youth) menyuarakan kebimbangan mereka agar Kementerian Pelajaran memberi
pertimbangan kepada masyarakat Kristian dalam kaji semula sistem pendidikan
negara, terutamanya dalam peperiksaan mata pelajaran SPM Bible Knowledge,
Pengetahuan Alkitab.
Sempena perayaan ulang tahun ke-400 penerbitan Alkitab,
Pemuda CCM meminta Kementerian Pelajaran menjadikan mata pelajaran Bible
Knowledge dwibahasa. Ini adalah kerana sebahagian besar masyarakat
Kristian, terutamanya di Sabah dan Sarawak, menggunakan Bahasa Malaysia dan
bukannya Bahasa Inggeris. Golongan ini telah dipinggirkan selama ini dan
keadaan ini harus diperbetulkan.
Mengikut laporan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010, oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, penganut agama Kristian berjumlah
sebanyak 2.6 juta atau 9.2% daripada 28.3 juta penduduk di Malaysia.
Kajian lebih mendalam menunjukkan 73.3% daripada penganut
agama Kristian bermastautin di Sabah, Sarawak dan Labuan. Kebanyakan daripada
mereka adalah penganut bumiputra yang menggunakan bahasa Malaysia atau bahasa
ibunda sebagai bahasa sehari-hari.
Peperiksaan mata pelajaran SPM Bible Knowledge selama
ini hanya dalam Bahasa Inggeris dan adalah satu-satunya mata pelajaran yang
berkaitan dengan agama Kristian di sekolah menengah. Walaupun bilangan
bumiputra Kristian begitu tinggi, mereka seolah-olah terlepas dari perhatian
Kementerian Pelajaran.
Anggapan bahawa penganut Kristian di Malaysia hanya
berbahasa Inggeris adalah kurang tepat dan Pemuda CCM berpendapat adalah wajib
ini dibetulkan. Disebabkan tanggapan salah ini, pelajar-pelajar bumiputra
beragama Kristian di Sabah dan Sarawak kehilangan hak menimba ilmu serta
peluang menduduki peperiksaan SPM dalam bidang Pengetahuan Alkitab.
Hal in juga mendorong Pemuda CCM untuk membawa perhatian
kepada sambutan ulangtahun ke-400 Alkitab oleh masyarakat Kristian yang
diterajui Persatuan Alkitab Malaysia (Bible Society of Malaysia) dan Seminari
Teologi Malaysia.
Penterjemahan Injil Matius ke Bahasa Malaysia telah diterbit
pada tahun 1612. Ini merupakan penerbitan yang amat bersejarah dan penting
kerana ia adalah penterjemahan terawal yang bukan ke mana-mana bahasa Eropah.
Justeru, Pemuda CCM mengesyorkan agar Kementerian Pelajaran
melaksanakan perubahan-perubahan seperti berikut:
- Menjadikan peperiksaan mata pelajaran SPM Bible Knowledge dwibahasa, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris demi kebaikan semua pelajar;
- Menyediakan kemudahan dan bahan pelajaran agar guru-guru bumiputra beragama Kristian dapat dilatih mengajar Pengetahuan Alkitab sebagai mata pelajaran teras semasa waktu sekolah di Sabah dan Sarawak;
- Memastikan hanya guru-guru beragama Kristian ditugaskan untuk menyediakan kertas peperiksaan Pengetahuan Alkitab;
- Memastikan hanya guru-guru beragama Kristian ditugaskan untuk menyemak kertas peperiksaan Pengetahuan Alkitab;
Pemuda CCM akan terus berusaha demi keadilan dan hak-hak
pelajar-pelajar beragama Kristian dan pelajar-pelajar bukan Islam agar mereka
dapat menikmati sepenuhnya sumber-sumber pengajaran yang boleh membawa manfaat
kepada iman mereka; dan dengan ini, menyumbang kepada usaha-usaha membina
negara yang patuh kepada ajaran agama dan taat kepada Tuhan.
Yang benar,
DANIEL CHAI,
Setiausaha Pemuda CCM,
Pemuda Majlis Gereja-Gereja Malaysia