Rabu, 16 Mei 2018

Ada Cubaan Henti Siasatan Kehilangan Pastor Koh, Kata Peguam



KUALA LUMPUR: Peguam keluarga Pastor Raymond Koh, Gurdial Singh mendakwa terdapat cubaan daripada polis untuk menghentikan siasatan awam berkaitan individu hilang.

Gurdial berpuas hati apabila panel Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menolak permintaan polis yang meminta suruhanjaya tidak meneruskan siasatan.

“Kami berpuas hati dengan keputusan panel yang menolak permohonan polis yang meminta suruhanjaya tidak meneruskan siasatan ini. Ia seolah-olah cuba melindungi kebenaran.

“Usaha untuk mencari kebenaran akan tetap diteruskan melalui siasatan awam Suhakam dan kita akan memanggil saksi baru, berhubung penemuan terbaru dalam kes ini,” katanya sewaktu ditemui di Suhakam, hari ini.

Guardial berkata demikian selepas Norhayati Mohd Ariffin, isteri kepada aktivis yang hilang, Amri Che Mat, hari ini mendedahkan seorang anggota unit Cawangan Khas mendakwa suaminya dan Pastor Koh diambil pasukan dari Bukit Aman.

Guardial berkata pendedahan itu membolehkan beberapa saksi baharu dipanggil untuk siasatan.

“Ia menarik perhatian kami, apabila seorang anggota dari unit Cawangan Khas bertindak sebagai pemberi maklumat, iaitu Sarjan Shamzaini Mohd Daud.

“Dia menyatakan mahu membersihkan diri daripada sebarang kesalahan. Kita akan memanggilnya untuk memberikan keterangan sebagai saksi dalam siasatan ini,” katanya.

Gurdial berkata, jika maklumat disampaikan pemberi maklumat itu benar, beberapa saksi yang dipanggil boleh diambil tindakan kerana memberikan keterangan palsu.

“Di bawah Seksyen 15(2) Akta Siasatan Suhakam, jika terdapat mana-mana pihak yang berbohong, anda boleh dikenakan undang-undang. Itu adalah isu yang kita akan cari,” katanya.

Koh diculik di Jalan SS4B/10, kurang 100m dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017, ketika beliau memandu keretanya ke rumah rakannya di Kelana Jaya.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan lebih 10 lelaki bertopeng menggunakan 7 kenderaan menahan kereta Koh pada siang hari.

Polis menafikan bertanggungjawab ke atas kehilangannya, tetapi menahan seorang lelaki berusia 31 tahun yang kemudian didakwa atas kesalahan menculik Koh.

Suhakam sebelum ini menghentikan siasatan awam ke atas Koh, selepas pemandu Uber bernama Lam Chang Nam yang ditahan pada 12 Januari lalu, dihadapkan ke mahkamah 3 hari kemudian.

Manakala Joshua dan Ruth kali terakhir dilihat pada 30 November 2016, dan Amri yang juga pengasas Perlis Hope pula hilang sejak 24 November 2016.

Isteri Amri dilaporkan berkata, 5 kenderaan menyekat kereta suaminya sebelum dibawa pergi kira-kira 500m dari rumah mereka ke Bukit Chabang, Perlis.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Ada Cubaan Henti Siasatan Kehilangan Pastor Koh, Kata Peguam" yang ditulis oleh Adam Abu Bakar bertarikh 16 Mei 2018)