KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mencipta
sejarah apabila mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kali kedua hari ini
susulan Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Beliau yang memakai baju Melayu hitam dan bersamping songket
hitam keemasan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh di hadapan
Yang di-Pertuan Agong ,Sultan Muhammad V, di Istana Negara di sini.
Dr Mahathir, pertama kali dilantik menjadi perdana menteri
keempat pada 1981 sewaktu berumur 56 tahun sebelum meletakkan jawatan pada
2003, setelah menerajui tampuk pimpinan negara selama 22 tahun.
Berumur 92 tahun, Dr Mahathir mencipta sejarah lagi menjadi
perdana menteri tertua di dunia dengan kembali ke Pejabat Perdana Menteri di
Putrajaya setelah 15 tahun meletakkan jawatan pada 2003.
Isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali duduk di
sebelahnya di majlis itu.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan
Presiden Amanah, Mohamad Sabu merupakan pemimpin utama Pakatan Harapan yang
hadir.
Seri Paduka kelihatan bersalaman dengan Dr Mahathir dan Dr
Siti Hasmah sebaik sahaja memasuki ke majlis itu di Singgahsana Kecil sebelum
mengambil tempat baginda bersemayam.
Setelah membaca ikrar angkat sumpah jawatan di hadapan
baginda, Dr Mahathir menandatangani dokumen tersebut.
Di luar istana, ia bagaikan pesta apabila kalangan rakyat
dari pelbagai kaum dan peringkat umur berkumpul sejak petang lagi bagi meraikan
pelantikan Dr Mahathir yang dilihat dapat membawa harapan baharu kepada rakyat
dan negara.
Rakyat bertepuk tangan sebaik sahaja selesai majlis itu yang
disiarkan secara langsung.
Mereka kelihatan begitu gembira menyambut pembentukan
kerajaan pusat yang baharu dengan mengibarkan Jalur Gemilang serta bendera
parti.
Mereka turut menyanyikan lagu kebangsaan dan patriotik
beramai-ramai serta melaungkan slogan ‘Hidup Tun', ‘Hidup Rakyat' dan
‘Reformasi'.
Keadaan itu juga turut menarik perhatian pelancong asing.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) semalam, Pakatan Harapan
memenangi 135 daripada 222 kerusi Parlimen bagi membentuk Kerajaan Persekutuan
yang baharu.
-Bernama
(Diambil daripada artikel Mstar bertajuk "Tun M Angkat Sumpah Perdana Menteri Ke-7" bertarikh 10 Mei 2018)