PETALING JAYA: Isteri kepada aktivis Perlis yang hilang,
Amri Che Mat, Norhayati Ariffin merayu pihak terlibat dengan kehilangan
suaminya supaya melakukan perkara yang betul dengan mengakui kesilapan.
“Kepada yang terlibat dalam menangkap, menghilangkan Amri,
anda masih ada peluang dan diberi peluang. Ingatlah anda juga punya keluarga,
punya anak-anak, lambat laun kebenaran akan muncul,” katanya.
Beliau yakin suaminya, yang dilaporkan hilang pada 24
November 2016, masih hidup dan kini berada dalam tahanan pihak tertentu.
“Kami sentiasa berdoa Amri masih hidup, selamat dari segala
malapetaka, kuat menghadapi dugaan ini walau di mana jua beliau berada.
Kebenaran akan muncul dan saya yakin kita ada Yang Maha Pencipta dan selebihnya
itu kuasanya,” tambahnya.
Kehilangan Amri dan beberapa individu lain kini sedang
disiasat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
Saksi inkuiri menceritakan beberapa lelaki mencurigakan
memintas kenderaan Amri pada malam kehilangan.
Keretanya ditemui kira-kira 20km dari rumahnya di Bukit
Chabang, Perlis.
Norhayati dalam keterangannya 30 Mei lalu mendakwa suaminya
diambil polis dari Bukit Aman.
Norhayati berkata perkara itu didedahkan seorang pegawai
polis berpangkat sarjan bernama Shamzaini pada malam 12 Mei lalu, 10.30 malam.
Jelas Norhayati, Shamzaini memberitahu Amri diambil secara
kasar dan suaminya dipukul dan cermin keretanya dipecahkan.
Polis bagaimanapun berkata Shamzaini ada membuat laporan
menafikan ada memberi maklumat tentang kehilangan Amri kepada Norhayati.
Norhayati berharap kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH)
memandang serius isu kehilangan Amri.
“Sekarang masih lagi dijalankan siasatan berkaitan pemberi
maklumat siapa sebenarnya yang menangkap Amri, saya amat berharap kerajaan baru
mengambil kes ini sebagai penting kerana ia melibatkan nyawa seorang manusia.
“Bawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan. Saya yakin
kepimpinan yang ada sekarang lebih telus dan jangan pandang isu ini kecil,”
katanya.
Norhayati berkata hari ini adalah hari kelahiran Amri ke-45.