Jumaat, 15 Jun 2018

Temuilah Bintang-Bintang Piala Dunia Yang Cinta Pada Yesus


Demam Piala Dunia menguasai planet untuk sebulan ini. Sambil kita mendengar kisah-kisah dari beratus ahli-ahli sukan dari lebih tiga puluh negara, dengarlah mereka berbicara mengenai iman mereka dalam kata-kata mereka sendiri. 


Allison Backer, Penjaga Gol (Brazil)

Salah satu daripada beberapa pemain pasukan kebangsaan Brazil yang bersifat terbuka mengenai iman Kristian mereka, Alisson Backer menggunakan media sosial untuk memuji Tuhan atas kesempatan untuk bermain dalam Piala Dunianya yang pertama: "Sungguh gembira untuk mendapat kesempatan untuk mempertahankan negaraku dalam piala dunia! Penggenapan suatu impian!!!!...Kemuliaan bagi Tuhan!!" Bintang Roma berusia 25 tahun itu baru-baru ini menasihatkan pemain-pemain yang berimpian menjadi penjaga gol profesional bahawa iman memainkan peranan penting dalam kejayaan. "Jika anda ingin menjadi penjaga gol yang hebat, anda perlu bekerja sungguh keras. Itulah yang saya lakukan. Anda perlu memberi fokus kepada bola sepak dan saya fikir iman juga penting," katanya. "Jika anda percaya kepada Tuhan, anda tahu bahawa anda perlu melakukan yang terbaik di atas padang dan sertakan kasih dalam segala yang anda lakukan dalam hidup." 


Edinson Cavani, Pemain Serangan (Uruguay)

Pada 2014, rakan sepasukan kebangsaan Edinson Cavani, Luis Suarez telah mendapat cemuhan antarabangsa kerana menggigit pemain lawan dalam satu perlawanan Piala Dunia. Tahap agresif itu bukanlah gaya Cavani. Bermain dalam Piala Dunia ketiganya, pemain kegemaran Paris St-Germain berusia 31 tahun itu telah berterus terang mengenai peranan yang dimainkan Yesus dalam hidupnya, termasuk memakai baju T "I Belong to Jesus." Beberapa tahun yang lalu. Cavani ditanya samada dia menganggap dirinya ahli sukan Kristus. "Bukan, bukan. bukan. Saya seorang ahli sukan untuk Kristus," katanya. "Itulah sebabnya saya bermain untuk-Nya, untuk memberi kemuliaan kepada-Nya, untuk berterima kasih kepada-Nya kerana memberi saya kebolehan untuk bermain bola sepak... kerana memberikan bakat dari syurga yang saya cuba kendalikan lebih dan lebih lagi."


Radamel Falcao, Pemain Serangan (Colombia)

Apabila negaranya akhirnya layak ke Piala Dunia pada 2014 selepas 16 tahun, Radamel Falcao pula tercedera. Pada kali ini, Falcao, penjaring terbanyak Colombia sepanjang masa, dalam keadaan sihat dan bersedia untuk pertandingan ini. Kapten pasukan kelab Ligue 1, AS Monaco, Falcao terkenal menyingkap jersinya selepas menjaringkan gol. menunjukkan baju T yang menyatakan "Con Jesus nunca estara solo" (Bersama Yesus anda tidak akan keseorangan). Dia juga mempunyai reputasi mengajak rakan-rakan sepasukannya untuk membaca Alkitab bersama dengannya dan menghadiri kebaktian gereja. Falcao sentiasa memuatkan di media sosial mengenai imannya. Awal tahun ini, dia mengingatkan pengikut-pengikut Twitternya yang seramai hampir 17 juta, "Yesus adalah pengharapan kita. Dia lakukan segalanya untuk kamu. Jika kamu mengakui dengan mulutmu bahawa Yesus Kristus adalah Tuhan dan percaya (...) kamu akan diselamatkan."


Odion Ighalo, Pemain Serangan (Nigeria)

Sebelumpun dia layak ke Piala Dunia pertamanya, Odion Ighalo tahu bahawa dia harus banyak bersyukur. Ighalo. 28, telah membesar dengan sangat sedikit akses kepada air bersih, makanan dan elektrik, dalam salah satu kawasan paling miskin di Lagos. Kini bermain untuk Changchun Yatai di China, dia sentiasa menghantar sebahagian daripada gajinya kepada keluarganya, berimpian membuka sebuah rumah anak-anak yatim, dan sering bersyukur kepada Tuhan atas hidupnya dan karir bola sepaknya di akaun-akaun media sosialnya. "Kami tidak sentiasa ada apa yang kami inginkan atau perlukan, kami terpaksa bergelut" dia memberitahu The Guardian. "Hidup susah, makan pun susah dan itulah sebabnya saya bersyukur kepada Tuhan apabila saya melihat di mana saya hari ini."



Keylor Navas, Penjaga Gol (Costa Rica)

Pada 2014, Costa Rica mengejutkan dunia dengan melangkah ke suku akhir. Salah satu sebab utama kejayaan pasukan itu adalah Keylor Navas, penjaga gol yang kini 31 tahun. Bagi Navas yang juga bermain untuk Real Madrid. imannya adalah bahagian yang asasi dalam hidupnya. "Iman saya adalah perkara yang terpenting. Saya percaya bahawa, pada ketika saya memiliki hubungan yang sangat peribadi dengan Tuhan dan saya benar-benar mengetahui apa yang Firmannya katakan, ianya bukan mengenai agama. Ianya mengenai mengetahui apa yang Alkitab ajar kita tentang apa yang telah Dia tinggalkan untuk kita," dia berkata dalam satu temu bual dengan suratkhabar Sepanyol El Mundo. "Itu telah mengubah hidup saya. Itu telah mengisi kekosongan dalam hati saya. Itulah sebabnya saya sungguh bersyukur."


Luis Tejada, Pemain Serangan (Panama)

Dia dikenali secara mesra sebagai The Matador, The Panamanian, dan Golden Tooth. Dialah penjaring terbanyak dalam sejarah bola sepak Panama (43 gol). Kini persaraannya sudah mendekat, negara Luis Tejada telah layak ke Piala Dunia tahun ini, dan inilah segala-galanya yang diingininya. Tejada yang kini bermain untuk Sport Boys dalam Primera Division, Peru, telah membesar dalam kejiranan paling keras di Panama City dan memberi penghargaan kepada bola sepak dan Tuhan yang telah menyelamatkan hidupnya. "Saya tidak tahu apa yang sudah jadi dengan saya jika tidak menjadi pemain bola sepak," dia memberitahu The Guardian. "Saya tidak tahu samada saya sudah mati, samada saya dalam sebuah geng, atau samada saya akhirnya melakukan hal yang baik. Untuk sebab ini, saya bersyukur kepada Tuhan bahawa Dia menangkap saya pada waktunya dan mengambil alih hidup saya."

(Diterjemahkan daripada artikel Christianity Today bertajuk, "Meet The World Cup Stars Who Love Jesus" yang ditulis oleh Morgan Lee bertarikh 14 Jun 2018)