Khamis, 7 Jun 2018

Saksi: Individu Jumpa Isteri Amri Memang Pegawai SB



KUALA LUMPUR: Seorang saksi hari ini memberitahu siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), individu yang berjumpa Norhayati Ariffin, isteri kepada aktivis Perlis, Amri Che Mat pada malam 12 Mei 2018 sememangnya seorang Pegawai Cawangan Khas (SB).

Faisol Abdul Rahman memberitahu panel Suhakam, selepas Norhayati memaklumkan dirinya didatangi seorang pagawai polis dan mendedahkan Amri diambil pegawai polis dari Bukit Aman, beliau membuat semakan dan mendapati individu bernama Sarjan Shamzaini Mohd Daud bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis.

“Setelah dimaklumkan oleh Norhayati, ada pegawai polis datang ke rumah Amri malam 12 Mei , saya hubungi kawan saya dan meminta beliau tanyakan kepada isterinya yang bertugas di IPK Perlis, sama ada dia mengenali Shamzaini, beliau mengaku sambil memberitahu Shamzaini bertugas sebagai anggota Cawangan Khas di IPK Perlis.

“Setelah mendapat nama penuh sarjan itu, saya mencari maklumat di Facebook dan saya tunjukkan gambar sarjan berkenaan kepada Norhayati dan beliau sahkan benar individu tersebut sama dengan inividu yang mendakwa dirinya bernama Shamzaini,” katanya.

Faisol Abdul Rahman telah memberi keterangan di siasatan awam Suhakam hari ini

Faisol berkata tujuan semakan itu bagi memastikan dakwaan Shamzaini bahawa dirinya seorang polis adalah benar.

“Saya tanya Norhayati adakah Shamzaini benar-benar seorang pegawai polis. Dia kata Shamzaini menunjukkan kad pengenalannya.” katanya.

30 Mei lalu, ketika memberi keterangan, Norhayati berkata suaminya diambil sekumpulan pihak polis dari Bukit Aman.

Norhayati berkata perkara itu didedahkan seorang pegawai polis berpangkat sarjan bernama Shamzaini pada malam 12 Mei lalu, 10.30 malam.

Jelas Norhayati, Shamzaini memberitahu Amri diambil secara kasar dan suaminya dipukul dan cermin keretanya dipecahkan.

Bagaimanapun, pada 31 Mei Ketua Polis Daerah Sentul, R Munusami memberitahu siasatan Suhakam bahawa Shamzaini telah membuat laporan polis.

Menurut Munusami, Shamzaini dalam laporannya menafikan keterangan Norhayati sebagai tidak benar, dan berkata dia pergi menemui isteri Amri pada malam itu untuk menyewa kedai milik keluarga Amri.

Menerusi keterangan Faisol hari ini beliau diminta Munusami untuk mendedahkan nama isteri dan rakannya yang bertugas di IPK Perlis yang bertanggungjawab mendedahkan maklumat tentang Shamzaini.

Faisol kemudian enggan mendedahkannya kerana bimbang isteri rakannya diambil tindakan.

“Saya tidak mahu beritahu sekarang,” katanya.

Ketika memberi keterangan, keadaan tegang seketika apabila Munusami memberitahu Faisol tidak memberikan nama tepat pegawai polis yang didakwanya terlibat mengambil Amri.

“Apa nama dia tadi kamu kata, Norhayati beritahu nama pegawai polis berkenaan, Azam Zahari, dan kamu kata nama dia Azam Azahari?” soal Munusami merujuk kepafa kekeliruan nama yang disebut Faisol.

Faisol kemudian menjelaskan sebutannya sedikit berbeza tapi beliau bermaksud untuk menyampaikan ianya adalah individu sama.

“Bagi saya tiada perbezaan, individu tetap sama,” katanya.

Selain Faisol, 2 lagi saksi yang turut memberi keterangan hari ini ialah Aizat Hamid dan Sheryll Stothard.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Saksi: Individu Jumpa Isteri Amri Memang Pegawai SB" yang ditulis oleh Faiz Zainudin bertarikh 7 Jun 2018)