Peguam Negara baru dilantik mengucapkan syukur kepada
komuniti Kristian atas doa mereka.
PETALING JAYA: Peguam Negara Tommy Thomas mengucapkan rasa syukur kepada komuniti Kristian Malaysia atas sokongan mereka menerusi doa yang diadakan di gereja, dan berkata beliau percaya pelantikannya ke jawatan perundangan tertinggi negara baru-baru ini adalah “keajaiban” daripada Tuhan.
“Ketika berada di gereja, di depan penganut Kristian lain, saya beritahu anda, saya dilantik kerana keajaiban Tuhan. Tuhan menjawab doa kita.
“Tetapi sebenarnya ia adalah doa ibu saya,” kata Tommy kepada mass Ahad semalam di Gereja St Thomas Mar Thoma di Kuala Lumpur.
Gereja Mar Thoma sering dikunjungi penganut Kristian denominasi Koptik Syria, yang merupakan denominasi ikutan Tommy.
Tommy, 66, dilantik sebagai peguam negara oleh Yang di-Pertuan Agong minggu lepas, selepas tertangguh sementara berikutan spekulasi pelantikannya tidak mendapat persetujuan diraja.
Bercakap kepada pengunjung ke gereja, Tommy menganggap pelantikannya berpunca daripada “kekuatan doa dan keajaiban”.
“Ribuan penganut Kristian dan gereja berdoa untuk saya, jadi ini adalah keajaiban. Saya bersyukur kepada Tuhan. Sebab itulah saya dilantik,” katanya.
Tommy yang tidak menggunakan telefon bimbit, berkata beliau kini tidak mempunyai pilihan, dan terpaksa membelinya.
“Saya mengelak membeli telefon bimbit lebih 20 tahun,” katanya, sambil menambah begitu banyak perkara berlaku sepanjang 2 setengah hari bertugas di Jabatan Peguam Negara.
“Peralihan itu sukar dipercayai,” katanya.
(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Tuhan, Ibu, Doa Dan Keajaiban Punca Perlantikan, Kata Tommy" bertarikh 11 Jun 2018)